1.  Bertaubat  dan Memohon Keampunan
Di  malam pertama Islam menganjurkan kepada pasangan   suami isteri supaya   membersihkan  diri      dari dosa dan noda yang pernah dilakukan  sebelum ini sama ada zahir dan batin. Oleh itu mereka disarankan supaya   memohon taubat kepada  Allah sama ada dengan sembahyang sunat taubat  atau beristiqfar kepadanya.  Diharapkan pertemuan buat kali pertama,   ini benar-benar memberi makna dalam membina kehidupan  baru yang  dapat   mengabdikan diri kepada Allah.
2.  Amalan Semasa  Masuk Bilik / Rumah
Semasa masuk rumah atau bilik bacalah doa terlebih dahulu iaitu :
اللــــــهُمَّ  إنِي أَسْئَلُكَ خَيْرَالمَوْلج وَخَيْرَ المَخْرَج بِاسْمِ الله ولَحَنَا  وباسم الله خَرَجْنَا وَعَلَى الله رَبَنَّا تَوَكَّلْنَا
Ertinya :  "Wahai Allah, aku pohonkan  daripada kamu sebaik-baik  tempat masuk dan tempat keluar ini.  Dengan  nama Allah kami masuk dan dengan nama Allah kami keluar dan kepada Allah  kami berserah."
Dan dahulukan kaki kanan apabila masuk bilik  / rumah tersebut.
3. Sembahyang Sunat di Bilik Tidur
Seterusnya apabila suami isteri sudah berada  di bilik tidur maka sunat keduanya sembahyang sunat dua rakaat. Selesai  sembahyang sunat, bacalah surah Al-Fatihah, surah Al-Ikhlas  dan selawat  Nabi sebanyak tiga kali dan diiringi dengan doa seperti berikut :
اللــهم  بَارِكْ لِي فِي اَهْلِي وَبَارِكْ لَهُمْ اللــــهم اجْمَعْ بَيْنَنَا  مَا جَمَعْتَ بِخَيْرٍ وَفرّق بَيْنَنَا اذا فَرَقّتَ بِخَيْرٍ
Ya Allah, berkatilah bagiku di sisiku ahliku,  dan berkatilah bagi mereka.  Ya Allah, jadikanlah pertemuan kami ini  suatu pertemuan yang baik.  Dan pisahkanlah kami, andainya perpisahan  itu sebagai kebaikan.
Ya Allah, berilah rezeki kepada mereka  daripada ku dan berilah rezeki  kepada aku daripada mereka.  Dan jadikanlah kemesraanku dan kasih  sayangku bagi mereka.  Dan jadikan kami semua saling cinta mencintai.
4.  Beramah Mesra
Selepas itu si suami hendaklah memusingkan  badannya  dan hadapkan mukanya tepat  kepada isterinya dan duduk  bertindih peha seraya memberi salam kepadanya.
Ini adalah sebagai mukaddimah untuk berbual mesra  antara suami dan isteri supaya ianya benar-benar  merasa gembira  dan mesra.
5.      Meletak tangan kanan di atas ubun-ubun isteri
Selepas itu suami hendaklah meletakkan tangan  kanannya di atas ubun-ubun isterinya bertujuan memohon keberkatan dan  kebaikan dan bacalah doa seperti berikut:-
اللــــــــــــــهم   إني اســـــــــئلك مــِن خَيْرِهَـــــــا وَخَير مَــــا  جـــــبلتُهَـــــا عَليْه وأعــــوذبــِك مـِنْ شَـــرهــــــا وشرمــا  جبلتها عليــه
Ertinya :   Ya Allah, sesungguhnya aku pohon  daripada Kamu dari sebaik baiknya barang ciptaan Kamu.  Dan aku  berlindung dengan kamu daripada seburuk-buruknya dan  seburuk-buruk yang  telah Kamu ciptakannya.
Adab Melakukan Persetubuhan
- Bersedia dan dalam keadaan selesa
Suami isteri hendaklah memastikan pasangan masing-masing dalam keadaan  bersedia, tempat yang selesa dan masa yang sesuai. Suami isteri juga  hendaklah mengambil kira dan tidak melakukan hubungan kelamin ketika  pasangan berada dalam keadaan berikut;
- Sedang sakit yang memudaratkan
- Keletihan
- Kesedihan
- Kekenyangan (baru lepas makan)  atau pun sedang kelaparan.
Ini untuk mengelakkan dari pasangan merasa benci, kecewa, marah, sedih dan tertekan.
- Lucut Pakaian  Kesemuanya Di Waktu Bersetubuh
Di antara adab-adab bersetubuh iaitu  janganlah mendatangani isterinya selagi  isterinya belum melucutkan  semua pakaiannya.  Kedua-duanya hendaklah berselimut di dalam satu kain  selimut sebaik-baiknya kedua-duanya melucutkan pakaian.
Tetapi janganlah kedua-duanya bertelanjang  bogel di waktu melakukan persetubuhan kerana kepada Allah sepatutnya  kamu lebih-lebih lagi rasa malu.  Adalah Rasul (s.a.w) di waktu dia  mendatangani isterinya, dia menutupi kepadanya.
Suaranya  diperlahankan dan dia berkata  “bertenang”.  Suami yang hendak mendatangani  isterinya, sepatutnya dia  dan  isterinya tertutup di dalam satu kain selimut.  Tidak  menjadi  soalan sama ada mereka menghadap Kiblat ataupun tidak.  Beginilah  tegasnya Al Khatab.
- Bercumbu cumbuan
Di antara sunnah Islam ialah bercumbu  cumbuan, bersuka  ria dan bergurau senda dengan isteri terlebih dahulu.   Rasulullah  s.a.w. pernah berjenaka atau bergurau senda dengan  isteri-isterinya.  Beliau menyelami peringkat  peringkat akal mereka  dalam pekerjaannya dan tingkah laku,  sehingga al Nasai, Abu Daud dan  Ibn Majah ada meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berlumba lari  dengan isterinya `Aisyah menang satu hari dan Rasulullah s.a.w. menang  beberapa hari, maka baginda berkata : “Ini lawan itu” Saiyidina Omar,  walaupun terkenal kasar pernah berkata bahawa seseorang lelaki sebaiknya  menjadi seperti seorang kanak-kanak ketika berada di sisi keluarganya.   Apabila  mereka menuntut sesuatu  daripadanya, hendaklah dia menjadi  seorang lelaki.   Di dalam dua hadis sahih Bukhari dan Muslim, hadis  yang diriwayatkan oleh Jariah bin Wahab al Khazai, bermaksud :
“Apakah kamu mahu mendengar tentang ahli neraka, dia ialah setiap orang yang keras, megah dan angkuh”
Di dalam riwayat Abu Daud :  “Tidak masuk syurga orang yang megah dan angkuh”
Maksudnya orang yang bersikap kasar terhadap  ahli keluarganya dan angkuh dengan dirinya.  Dalam hadis Rasulullah  s.a.w. yang diriwayatkan oleh Jabir :  “Kenapakah kamu tidak mengahwini anak dara, dia bermesra denganmu dan kamu pula bermesra dengannya”
Tetapi sederhana di dalam beramah-mesra adalah baik seperti sederhana di dalam lain-lain hal juga.
Sunat dimulai dengan  menyebut nama Allah  s.w.t. atau dengan membaca `Bismillah’ kemudian membaca surah Al-Ikhlas  serta membaca takbir “Allahu-Akbar” dan tahlil.  Kemudian menyebut :
باسم الله العلي العظيم اللهم اجعلنها ذرية طيبة إن كنت قدرت ان تخرج ذلك من صلبي
“Dengan nama Allah Yang Maha Tinggi  Lagi  Maha Besar.  Ya Allah, jadikanlah dia zuriat yang baik, jika engkau  mentakdirkan ianya keluar dari sulbiku”.
Dan  baca doa terlebih dahulu sebelum memulakan hubungan kelamin, bagi  melindungi mereka dan zuriat mereka dari gangguan syaitan.  Doanya  seperti berikut;
بسم الله اللهم جنبنا الشيطان وجنب الشيطان ما رزقتنا
Maksudnya:  "Dengan nama Allah, wahai Tuhan kami jauhilah kami daripada syaitan   dan hindarilah anak yang Engkau anugerahi kepada kami daripada gangguan  syaitan."
Sabda  Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh al-Syaikhan (Bukhari dan Muslim), daripada Ibn Abbas”
“Jika seorang dari kamu apabila mendatangi keluarganya (mahu menyetubuhi isterinya) lalu berdoa :
اللـــّــــــــهُمَّ جَنِبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا
Erti maksudnya ialah;  “Ya Allah, jauhilah  kami dari syaitan dari apa yang Engkau kurniakan untuk kami.“  Jika  sekiranya mereka berdua dikurniakan anak, nescaya tidak diganggu oleh  syaitan.
Beginilah doa yang tersebut di dalam hadis  yang telah diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a. daripada Nabi  s.a.w. dengan sabdanya yang berbunyi :
لو كان احدكم إذا أتي اهله قال باسم الله اللهم جنبنا الشيطان وجنب الشيطان ما رزقتنا
Ertinya :  “Jikalaulah sesungguhnya   siapapun daripada kamu hendak mendatangi isterinya,  dia  berdoalah :  “Dengan  nama Allah.  Ya Allah ! Jauhilah kami dari syaitan.  Dan  jauhilah syaitan dari barang yang Kamu kurniakan rezeki kepada kami.”   Maka jika dikurniakan bagi keduanya seorang anak, nescaya tidak boleh  dirosakkannya oleh syaitan buat selama-lamanya”.   (Hadith Riwayat Al-Bukhari)
Ulamak-ulamak fiqh bersalahan pendapat  tentang makna “tidak boleh dirosakkannya  oleh syaitan buat  selama-lamanya.”  Ada di antara mereka berpendapat, bahawa syaitan tidak  mampu hendak merosakkan akidah anak yang akan dilahirkan nanti.   Ertinya syaitan tidak boleh menggoda agama kanak-kanak ini, hingga dia   menjadi kafir.  Pendapat ini memberi artikulasi masa depan anak yang  akan dilahirkan ke dunia.  Yang mana dia telah ditulis di masa  dia  masih di dalam kandungan lagi, bahawa dia akan mati kelak di dalam  keimanan.    Golongan  ulamak yang lain pula berpendapat, bahawa yang  dikehendaki dengan hadis tadi, iaitu dengan berkat doa ini, anak yang  akan dilahirkan nanti akan menjadi hamba Allah yang ikhlas.
Apabila hampir mengeluarkan mani (inzal), maka katakan di dalam hati tanpa menggerakkan dua bibirmu:
الحمد لله الذي خلق من الماء بشرا فجعله نسبا  طهرا وكان ربك قديرا
“Segala pujian bagi Allah yang menciptakan  manusia dari air, lalu ia jadikan  manusia itu punya keturunan dan  musaharah (hubungan kekeluargaan melalui perkahwinan seperti menantu,  ipar dan lain-lain).  Tuhanmu Maha Berkuasa”
- Kemudian dia mengelakkan diri dari mengadap qiblat.  Dia  tidak mengadap  ke arah qiblat kerana dia seorang yang berjunub, sebagai menghormati qiblat.
- Kemudian apabila si  suami mahu  menamatkan persetubuhan itu, hendaklah dia perlambatkan sedikit untuk  memberi peluang kepada isterinya sampai ke  puncaknya, kerana inzal atau pancutan mani si isteri mungkin terlewat dan  merbahaya kepada syahwatnya …….
Kemudian jika terlalu lambat mungkin   menyakitkan isterinya pula.  Ketidaksamaan di segi tabiat inzal  ini  akan  menimbulkan kegelisahan, sekalipun suami mendahului, isterinya,  sebaliknya  persamaan masa inzal lebih melazatkan.  Kalau suami berdiam  diri selepas inzal, mungkin isterinya  malu walaupun dia (isteri) belum  sampai ke peringkat tersebut.
Persetubuhan patut dilakukan empat malam  sekali, jika suami mampu berbuat demikian.  Itu lebih adil, difahamkan  daripada bilangan isteri yang dibenarkan kahwin seramai empat orang.   Boleh pula dikurangkan dari kadar  tersebut.  Ya, sebenarnya  boleh   ditambah  atau  dikurangkan    mengikut  kadar  keperluan dalam     menjaga diri melalui perkahwinan, kerana menjaga  diri melalui  perkahwinan itu menjadi kewajipan.
- Memberi penghargaan - Suami isteri digalakkan mengucap syukur  pada Allah S.w.t kerana diberi nikmat dan kepuasan dalam melakukan  hubungan kelamin. Suami isteri juga harus saling berterima kasih kepada  pasangan dengan ucapan, ciuman dan pelukan. Penghargaan yang diberi akan  menyuburkan kasih sayang dan meningkatkan kendiri (self esteem).
- Bersederhana - Hubungan kelamin @ jima' yang baik ialah yang  dilakukan dalam keadaan sederhana mengikut keperluan dan kemampuan suami  isteri sama ada dari segi kekerapan ataupun teknik yang digunakan.
Suami isteri dilarang melakukan hubungan kelamin yang boleh memudaratkan  kesihatan dan emosi seperti menyiksa dan memukul pasangan sebelum  melakukan jima'. Pasangan suami isteri dinasihatkan tidak menonton video  lucah atau meniru aksi yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan.
- Tidak menyebarkan rahsia - Suami isteri haram menyebarkan rahsia hubungan kelamin kepada orang lain walau dengan apa cara sekalipun.
Rasulullah S.a.w bersabda yang maksudnya, "Sesungguhnya sejahat-jahat  manusia di sisi Allah pada hari Kiamat ialah seorang lelaki yang  melepaskan hajatnya kepada isterinya dan isterinya melepaskan hajatnya  kepadanya kemudian dia menyebarkan rahsia itu."  (Hadith Riwayat Muslim)
Sebagai kesimpulan lihatlah perkara-perkara seperti berikut :
A.     Sunat-sunat dalam melakukan Persetubuhan
1.   Suci daripada hadas kecil, tegasnya sunat terlebih dahulu mengambil air sembahyang.
2.   Mandi dan memakai wangi-wangian.
"Sesungguhnya Allah itu baik dan menyukai kebaikan, bersih dan menyukai kebersihan".  (Hadith Riwayat Tirmizi)
3. Memakai pakaian yang mengghairahkan tegasnya pakaian menimbulkan nafsu syawat (lelaki atau perempuan).
4.   Sunat melakukan persetubuhan pada hari Jumaat atau malamnya, malam Khamis dan malam Isnin.
5.   Sunat bersetubuh diwaktu sihat, jangan waktu terlalu lapar atau terlalu kenyang.
6.   Sunat bersetubuh dengan bersenda gurau  dan bermain-main terlebih dahulu supaya dapat membangkitkan syawat  seterusnya jika memperolehi  anak, insyaAllah akan cerdik (berakal).   Kemesraan mesti ada, dan proses ini penting untuk mengurangkan  kesakitan, perasaan gemuruh, gementar, malu, takut dan rasa tertekan.
7.  Sunat bersetubuh dalam  satu selimut dan di atas satu hamparan elakan  daripada telanjangbogel tanpa penutup kain.
8.   Sunat membaca bismillah dan doa sebelum  dan sesudah bersetubuh.
9.  Selesai bersetubuh sunat disegerakan  mandi junub jika tidak dapat  dilakukan atas sebab-sebab tertentu sunat  membasuh kemaluan dan mengambil air sembahyang (wuduk).
Imam Al-Ghazali berkata :  “Setengah ulamak  menyatakan sunat bersetubuh  pada hari Jumaat dan Malamnya, berpandukan salah satu ta’wil daripada  sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud  “Allah merahmati orang yang mandi dan memandikan isteri (Pada hari Jumaat).
B.     Perkara Yang Makruh dalam Persetubuhan
1.  Makruh jima' pada malam dua hari raya dan pada awal pertengahan (tanggal 15) dan akhir tiap-tiap bulan Islam.
2.   Makruh jima' di bawah matahari atau bulan mengambang.
3.   Makruh jima' selepas solat zohor hingga ke petang.
4.   Makruh lelaki melihat faraj isterinya dan perempuan melihat zakar suaminya  boleh mewarisi      buta.
5.  Makruh jima' jika dapat dilihat atau didengar orang malah haram sekiranya sengaja dilihat orang.
Ada  pendapat yang mengatakan : Bahawa makruh bersetubuh tiga malam dalam   bulan Islam,   iaitu malam yang pertama, malam yang akhir dan malam  pertengahan bulan.   Dikatakan bahawa kenyataan tersebut adalah mengikut  pendapat Ali, Mu’awiah dan Abu Hurairah.
Fatwa  sahabat bukanlah merupakan satu hujah syara' yang diwajibkan  mengikutinya, jika fatwa tersebut tidak disandarkan kepada Rasulullah  s.a.w.  Ini adalah pendapat jumhur (kebanyakan) ulama.
Ada juga ulama' berpendapat makruh bersetubuh pada malam pertama hari raya Aidl Fitri dan Aidil Adha.
C.     Perkara yang haram dalam persetubuhan
1.  Haram jima' ketika  isteri haid, nifas  dan wiladah.  Jika bersetubuh pastikan putus haid, nifas dan wiladah dan  selepas mandi hadas besar.
"Mereka bertanya kepadamu tentang haidh, katakanlah: "Haidh itu  adalah suatu kotoran", oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri  dari wanita di waktu haidh, dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum  mereka suci,  apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di  tempat yang diperintahkan Allah kepadamu. Sesungguhnya Allah menyukai  orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."  (Surah Al-Baqarah : Ayat 222)
Dari Masruuq b.Ajda'i berkata:  "Aku telah bertanya kepada 'Aisyah  tentang sesuatu yang boleh dilakukan seorang suami terhadap isterinya  yang sedang Haid."  'Aisyah menjawab, Apa saja boleh, kecuali  kemaluannya (bersetubuh).  (Riwayat Bukhari)
2. Haram jima' melalui jalan belakang (melalui dubur) walau pun isteri.  "Terkutuklah orang yang menyetubuhi isteri diduburnya."  (Hadits Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa'i dari Abu Hurairah.)
3.  Haram jima' membawa ayat-ayat Al-Quran  nama-nama Allah, Nabi. Malaikat dan lain lain seperti azimat.
4.  Haram jima' dalam masjid / surau.
5.  Haram jima' sedang berpuasa di bulan Ramadhan.
6.  Haram jima' sedang dalam ihram haji atau ihram umrah.
7.  Haram jima' di tempat terbuka (tempat awam).
Tambahan
Boleh  mendatangi dari arah mana pun untuk bersetubuh, tidak kira depan, tepi  atau belakang, asalkan sasarannnya ialah lubang faraj, dan bukannya  lubang dubur. 
Dari  Jabir b. Abdulah berkata,  bahawa orang-orang Yahudi (beranggapan)  berkata,  Apabila seseorang menyetubuhi isterinya pada kemaluannya  melalui belakang maka mata anaknya (yang lahir) akan menjadi juling.  Lalu turunlah ayat suci demikian:
"Isteri-isteri kamu adalah ladang bagimu maka datangilah ladangmu itu dari arah mana saja yang kamu sukai". (Surah Al Baqarah - ayat 223)
Bersetubuh @ berjima' dengan isteri adalah satu ibadah dan mendapat pahala jika melakukannya.   Rasulullah s.a.w. bersabda:  ".....dan apabila engkau menyetubuhi isterimu, engkau mendapat pahala".
Para sahabat bertanya:  Wahai Rasulullah, adakah seseorang dari kami mendapat pahala dalam melampiaskan syahwat?
Nabi menjawab: "Bukankah  kalau dia meletakkan (syahwatnya) di tempat yang haram dia akan  berdosa?  Demikian pula kalau dia meletakkan (syahwatnya) pada jalan  yang halal maka dia mendapat pahala."  (Hadits Riwayat Muslim).
Dan jika mahu mengulangi jima' , hendaklah dibasuh dahulu zakar. Seperti mana sabda Rasulullah S.a.w yang bermaksud, "Apabila  di antara kamu telah mencampuri isterinya kemudian dia akan mengulangi  persetubuhannya itu maka hendaklah dia mencuci zakarnya terlebih dahulu."  (Hadits Riwayat Baihaqi)
والله أعلم
Rujukan : 
1. http://www.unitagamakmb.com
2. JAKIM