Mahdi-Mahdi Palsu Yang Muncul Dalam Sejarah
Assalamualaikum dan salam hormat buat semua pembaca blog redzuan-ridz. seperti entri yang lepas saya pernah berkongsikan 2 entri khas mengenai pemuda bani tamim ini yakni imam mahdi yang akan muncul di akhir zaman nanti untuk menegakkan syiar islam kembali dan tanda-tanda kemunculan imam mahdi ini berdasarkan hadis sahih. dan untuk entri kali ini saya tertarik untuk kongsikan mengenai mereka yang pernah mengakui bahawa merekalah "imam mahdi" seperti yang disebutkan dalam hadis nabi . dibawah ini adalah mahdi-mahdi palsu yang pernah muncul dalam sejarah .
Dikatakan bahawa orang yang pertama sekali mendakwa dirinya sebagai AI-Mahdi ialah Al-Harits bin Suraij pada 128H. Beliau mendakwa dirinya sebagai AI-Mahdi untuk mendapatkan sokongan dalam gerakannya menentang pemerintahan Bani Umaiyah.
Pada tahun 1166H, muncul pula seorang Syiah di Ahsaa’i (Arab Saudi) bernama Syeikh Ahmad Ahsaa’i menyebarkan ajaran-ajaran batiniyah. Syeikh Ahmad Ahasaa’i adalah penganut mazhab Syiah Ithna Asyariah pada asalnya, tetapi ia banyak bertentangan dalam perkara-perkara yang terdapat di dalam mazhab tersebut. Di antaranya, beliau membantah kepercayaan golongan Syiah tentang Al-Mahdi yang ghaib dan akan muncul di suatu masa kelak. Ia menjelaskan bahawa Al-Mahdi belum lahir dan sedang berada di alam rohani. Pendapatnya itu telah menimbulkan kemarahan di kalaangan golongan Syiah. (Al-Islam Fi Qarnil Isynin m.s 133)
Selepas kematian Syeikh Ahmad Ahasaa’i pada 12 Zulkaedah 1242H, penggantinya bernama Kazim Ar-Rasyti meneruskan lagi ajaran-ajarannya. Kazim Ar-Rasyti lahir pada tahun 1205 Hijrah. Di mana-mana sahaja ia menyampaikan ajaran-ajaran gurunya, ia menyebut tentang kelahiran Al-Mahdi yang semakin hampir. Sungguhpun demikian, sehingga ia meninggal dunia Al-Mahdi yang diperkatakannya itu tidak juga muncul-muncul. Selepas kematian Kazim Ar-Rasyti, tempatnya itu diganti oleh Ali Muhammad Al-Bab. Ali Muhammad Al- Bab mendakwa dirinya sebagai wakil Al-Mahdi. Para pengikutnya digelar sebagai kumpulan Babiyah iaitu salah satu dari cabang agama Bahai. Apabila pengaruhnya semakin meluas, akhirnya Ali Muhammad Al-Bab mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi.
Ali Muhammad Al-Bab seterusnya mecetuskan pemberontakan dan di samping itu menyebarkan beberapa amalan yang ternyata terkeluar dari ajaran Islam. Di antaranya ia mengatakan bahawa syariat yang dibawanya itu memansuhkan syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Syariat yang dibawanya juga tidak mewajibkan sembahyang dan juga berpuasa, dan kalaupun dilaksanakan, ianya mengikut bentuk yang diajarkan olehnya. Kiblat sembahyang tidak lagi menghadap ke Kaabah, tetapi menghadap ke arah tempat Ali Muhammad Al-Bab berada kerana dianggap dirinya sebagai tempat penjelmaan roh Allah. Selain itu, Ali Muhammad Al-Bab juga mentakwilkan nas-nas Al-Quran mengikut takwil batiniyah dengan memutar-belitkan pengertiannya yang sebenar agar sesuai dengan kehendak hawa nafsunya.
Para ulama di Iran mengecam hebat segala dakwaan Ali Muhammad Al-Bab serta ajaran-ajaran yang dibawanya sehingga mereka menghukumnya sebagai murtad dan halal darahnya untuk dibunuh. Akhirnya pemerintah menjatuhkan hukuman mati ke atasnya pada 28 Syaaban 1266 Hijrah. Setelah kematiannya, terjadilah perpecahan yang hebat di kalangan para pengikut agama Bahai.
Kerajaan Muwahhidin di Afrika Utara juga mempunyai seorang pemimpin yang mendakwa sebagai Al-Mahdi. Beliau ialah Muhammad bin Tumart yang lahir di antara tahun 470~480 Hijrah. Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah menyebut di dalam kitabnya Al-Mananil Munif Fl Sahihi Wad Dha’if bahawa Muhammad bin Tumurt adalah seorang pendusta yang bersikap kejam, berkuasa menggunakan kekerasan dan penipuan, membunuh orang Muslimin dan lebih banyak mengancam agama lebih dari Hajjaj bin Yusuf. Ia memaksa orang-orang Islam memasuki kubur-kubur dan kemudian bersuara dari kubur-kubur itu mengatakan bahawa Muhammad bin Tumart adalah AI-Mahdi yang maksum. Setelah itu orang-orang tersebut ditimbus hidup-hidup.
Ibnu Subki telah menulis riwayat hidup Muhammad bin Tumart di dalam kitabnya Tabaqatus Syafieyah jilid 4 (m.s 71-74). Beliau menerangkan bahawa Muhammad bin Tumart pada asalnya adalah seorang yang soleh, zahid, amat bersungguh-sungguh melakukan amar maaruf dan nahi mungkar, banyak beribadah, bersifat berani, berjiwa besar dan tabah, petah berbicara, tahan menderita, alim dalam ilmu feqah menurut mazhab Syafie dan tidak suka melihat perbuatan yang mungkar. Tetapi sikapnya itu tidak disukai oleh kebanyakan orang di tempatnya. Ia selalu diusir dari tempat kediamannya dan kalau ia khuatir akan dibunuh, ia akan berpura-pura seperti orang gila.
Setelah kembali ke tanah airnya di Maghribi, ia giat menjalankan usaha-usaha dakwah sehingga mendapat tentangan dari pihak pemerintah. Namun demikian ia tetap meneruskan usahanya itu bersama para pengikutnya yang lain. Dalam masalah keimanan, Muhammad bin Tumart mengembangkan aqidah AhIi Sunnah Wal Jamaah mazhab Imam Abul Hassan Al-Asyaari. Para pengikutnya mendapat gelaran Muwahhidin iaitu kaum yang mengesakan Tuhan. Muhammad bin Tumart memerintahkan para pengikutnya mengembangkan ajaran Islam dan menyebut tentang kedatangan Al-Mahdi. Apabila pengaruhnya bertambah luas, pada 515H ia mengaku dirinya sebagai Al-Mahdi.
Di samping itu seorang mulhid bernama Ubaidullah bin Maimun Al-Qaddah juga mengaku dirinya sebagai Al-Mahdi. Datuknya beragama Yahudi dan Ia sendiri berasal dari sebuah keluarga beragama Majusi. Dalam banyak hal, Ubaidullah bin Maimun Al-Qaddah banyak melakukan pendustaan kepada umat Islam. Umpamanya ia mengaku dirinya bernasab kepada Ahlul Bait Rasulullah SAW dan seterusnya mengaku dirinya sebagai Al-Mahdi. Selepas kematiannya, perjuangannya itu disambung oleh keturunannya sehingga mereka berjaya menakluki Maghribi, Mesir, Hijaz dan Syam.
Keturunan Ubaidullah bin Maimun Al-Qaddah telah menyebarkan ajaran-ajaran yang bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam dan mereka mengaku mempunyai kuasa ketuhanan. Mereka mendakwa bahawa syariat Islam di samping mempunyai pengertian yang zahir, juga mempunyai pengertian yang batin. Tetapi pengertian batin yang mereka kemukakan bertentangan sama sekali dengan nas Al-Quran. Akhirnya golongan ini terhapus dengan kemunculan Salehuddin Al-Ayubi yang menumpaskan sama sekali golongan ini.
Di zaman pemerintahan Sultan Fairuz Syah Tughluq di India (752-798H), seorang lelaki bernama Ruknuddin telah mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi yang zahir di akhir zaman. Dia mendakwa mengetahui nama semua benda yang tidak pernah diberitahukan oleh Allah SWT kepada sebarang Nabi atau Rasul. Akhirnya Ruknuddin mengaku dirinya sebagai Nabi dan Pesuruh Allah SWT berdasarkan nama sendiri Ruknuddin yang bererti ‘tiang agama’.
Memandangkan keterlanjuran Ruknuddin itu, para ulama telah mengeluarkan fatwa bahawa Ruknuddin adalah seorang kafir dan halal darahnya. Berdasarkan kepada fatwa tersebut, Sultan Fairuz Syah Tughluq memerintahkan Ruknuddin serta pengikut-pengikutnya ditangkap dan dihukum pancung.
Pada abad ke 10H, muncul pula di India seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi. Lelaki tersebut ialah Sayid Muhammad Jaunpur dan Ia telah mengaku dirinya sebagai Al-Mahdi sebanyak tiga kali. Kali yang pertama ialah pada tahun 900H di Makkah dan kali keduanya pada tahun 905H di Ahmadabad, India. Kali yang ketiganya ialah di Barhli, India pada tahun 905H.
Menurut Syeikh Muhammad Al-Barzanji, pengakuan Sayid Muhammad Jaunpur sebagai Al-Mahdi tersiar luas dan banyak penduduk yang menjadi pengikutnya. Selanjutnya beliau menerangkan, bahawa ulama-ulama dan orang-orang yang datang dari India menerangkan kepadanya bahawa para pengikut Sayid Muhammad Jaunpur amat kuat mempertahankan keyakinan mereka. Golongan mereka terkenal dengan nama Mahdawi dan para pengikutnya masih terdapat di India dan Pakistan sehingga ke hari ini. Selain itu golongan mereka juga disebut sebagai Al-Qattaliyah.
Sesiapa yang menyalahkan pendirian mereka akan dibunuh walaupun di hadapan orang ramai. Golongan ini juga mempunyai kepercayaan lain yang dianggap bidaah menurut Islam. Riwayat ini ada tersebut dalam kitab Al-Iza’ah Lima Kana WamaYakunu Baina Yadaihissa’ah karangan Sayid Muhammad Siddiq Hassan.
Ada keterangan yang menyebut bahawa Sayid Muhammad Jaunpur tidak pernah mengaku menyebarkan ajaran agama baru, tetapi apa yang didakwanya ialah dirinya sebagai Al-Mahdi yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk menyemarakkan semula api keimanan yang semakin pudar di kalangan umat Islam. Di samping itu para pengkaji sejarah menyebut Sayid Muhammad Jaunpur sebagai orang yang pertama sekali melancarkan dakwah yang tulen di India tanpa sedikit pun terlibat dalam hal politik.
Pada abad 13 hingga menjelang abad ke 14H, muncul seorang lelaki di India mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi. Lelaki tersebut ialah Mirza Ghulam Ahmad yang menjadi pengasas agama Qadiani atau Ahmadiah. Mirza Ghulam Ahmad di samping mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi, juga mendakwa dirinya sebagai khatamul auliya’ (penutup wali-wali) sebagaimana Rasulullah SAW sebagai khatamul anbiya’.
Mirza Ghulam Ahmad dikatakan lahir di Punjab, India pada tahun 1248H dan Ia telah mempelajari agama dari beberapa orang ulama AhIi Sunnah Wal Jamaah dan juga ulama Syiah. Agama Qadiani yang dibawanya itu adalah atas perancangan pihak penjajah lnggeris untuk menyekat kebangkitan umat Islam di India. Di mana di antara ajaran yang terdapat di dalam agama Qadiani ialah memansukhkan persoalan jihad. Ia juga selalu menyebut-nyebut kebaikan pihak penjajah Inggeris di dalam kitab-kitabnya yang banyak. Di antaranya ia mengatakan. “Maka mulailah aku menolong kerajaan Inggeris itu dengan penaku dan tanganku dan adalah Allah SWT sentiasa menolong aku dan aku berjanji kepada Allah dari masa itu, bahawa tiap-tiap kitab besar yang akan ku karang, tentu aku sebut kebaikan dan budi Maharani India yang wajib kaum Muslimin mengucapkan terima kasih." (‘Nurul Haq’ karangan Mirza Ghulam Ahmad m.s 26)
Mirza Ghulam Ahmad mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi pada tahun 1307H. Oleh kerana dia bukan keturunan Rasulullah SAW, Ialu beliau mendakwa bahawa AI-Mahdi itu bukannya dari keturunan Quraisy. Ia menyebut bahawa kemunculan Al-Mahdi itu lebih kurang 14 abad selepas kelahiran Rasulullah SAW kononnya sama seperti munculnya Nabi Isa AS 14 abad selepas kemunculan Nabi Musa AS.
Beliau mati pada tahun 1326 Hijrah, tetapi segala ajaran-ajaran sesat yang dibawanya sehingga ke hari ini masih tersebar secara meluas di seluruh dunia. Hampir seluruh para ulama Islam menghukumkan bahawa para pengikut agama Qadiani adalah kafir dan terkeluar dari agama Islam.
Di Sudan, pemberontakan menentang penjajah lnggeris diketuai oleh seorang ulama bernama Muhammad Ahmad AI-Mahdi. Pemberontakan itu dikenali sebagai pemberontakan Mahdiah mengambil sempena gelaran pemimpinnya yang mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi pada tahun 1881.
Muhammad Ahmad Al-Mahdi adalah seorang yang soleh dan wara’ dan ia hidup sebagai seorang sufi. Ia sendiri adalah pemimpin tariqat Samaniyah yang terkenal serta mempunyai banyak pengikut yang sanggup berjuang bersama-samanya. Ia menggelarkan para pengikutnya sebagai kaum Ansar. Para pengikutnya memakai jubah yang bertampal-tampal sebagai lambang kemiskinan dan persamaan taraf di kalangan mereka. Gerakan ini dikenali juga sebagai tariqat Mahdiah sehingga kini masih tersebar luas dan mempunyai ramai pengikut-pengikutnya di Sudan.
Dalam serangannya terhadap penjajah Inggeris, Muhammad Ahmad Al-Mahdi serta pengikut-pengikutnya menyeberang sungai Nil untuk menyerang Khortoum. Mereka menyerang sejam sebelum masuk waktu Subuh. Beberapa jam kemudian pihak Inggeris dapat dikalahkan dan Jeneral Inggeris di Sudan, Jeneral George Gordon dibunuh dengan satu tikaman lembing di atas tangga kediamannya. Empat hari selepas itu, Muhammad Ahmad Al-Mahdi memasuki bandar Khartoum dan menjadi imam Jumaat di masjid di situ.
Setengah pihak berpendapat bahawa dakwaan Muhammad Ahmad Al-Mahdi sebagai Al-Mahdi yang ditunggu-tunggu adalah untuk mendapatkan lebih banyak sokongan daripada kalangan rakyat untuk menentang penjajah Inggeris.
Di Afrika Utara pula, pada tahun 800H di zaman pemerintahan Sultan Yusuf bin Yaakob, seorang Ielaki dari kalangan ahli tasawuf dikenali sebagai Tuwaizuri telah mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi. Ramai penduduk Maghribi menjadi pengikut-pengikutnya dan ini amat rnembimbangkan pihak kerajaan. Apabila gerakan dan pengaruhnya semakin meluas, para pemimpin kaum merasa bimbang mengenai kedudukan mereka lantas merancang pembunuhan ke atasnya. Dengan kematiannya, gerakannya turut lumpuh dan musnah.
Pada tahun 790-an Hijrah, seorang lelaki bernama Al-Abbas telah muncul dan mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi dengan mempunyai ramai pengikut. Ia serta pengikut-pengikutnya telah melancarkan serangan ke atas bandar Fez di Maghribi dan membakar gudang-gudang perniagaan. Tetapi dia kemudiannya telah dibunuh dan gerakannya dapat dipatahkan.
Golongan Qaramithah yang sesat juga mendakwa pemimpin mereka sebagai Al-Mahdi. Qaramithah merupakan satu gerakan kebatinan rahsia beragama Majusi menyamar ke dalam Islam dan termasuk cabang dari Syiah Ismailliyah. Salah seorang di antara pemimpin mereka yang terkemuka ialah Hamdan Qaramith.
Gerakan ini lahir di Kufah pada tahun 278H di zaman pemerintahan khalifah Al-Mu’tamid. Tujuan utama ianya diwujudkan adalah untuk menghancurkan Islam dan ajaran-ajarannya banyak yang ternyata menyeleweng dari ajaran Islam. Ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW sengaja ditafsir sewenang-wenangnya untuk kepentingan hawa nafsu mereka sendiri.
Pada tahun 317H, seorang leIaki dari golongan Qaramithah bernama Abu Thahir AI-Janabi telah datang ke Makkah bersama-sama 900 orang pengikutnya kononnya untuk menunai fardhu Haji. Tetapi apabila tiba di Makkah, mereka telah menimbulkan huru-hara, kacau-bilau dan pertumpahan darah. Di sini Abu Thahir Al-Janabi mengaku dirinya sebagai Al-Mahdi yang disebut oleh Rasulullah SAW. Ia beserta para pengikutnya menceroboh ke Baitul Haram, merobohkan pintu Kaabah, menurunkan Hajar Aswad, melucutkan kain yang menudungi Kaabah dan menguasai kota’ Makkah selama enam hari dengan melakukan berbagai kezaliman. Seramai 30,000 orang jemaah haji dan penduduk Makkah terbunuh dalam peristiwa tersebut.
Selepas itu, Abu Thahir Al-Janabi serta pengikut-pengikutnya meninggalkan kota Makkah dengan membawa Hajar Aswad, pintu Kaabah, kain selubung Kaabah dsb. Dalam perjalanan pulang, mereka telah diserang hendap oleh suku Huzail di kawasan pergunungan. Tetapi Abu Thahir Al-Janabi berjaya melepaskan diri bersama harta rampasan yang lain, Hajar Aswad yang dirampasnya itu diletakkan di Kaabah baru yang dibinanya sendiri untuk kegunaan golongan Qaramithah di Quthaif. Tetapi selepas kematian Abu Thahir Al-Janabi, Hajar Aswad telah dikembalikan semula ke Kaabah yang asal di Makkah.
Golongan Syiah Al-Imamiah mengatakan bahawa Al-Mahdi itu ialah Muhammad bin Hassan AI-Askari keturunan Zainal Abidin anak Saidina Hussein bin Ali. Dikatakan bahawa beliau pada suatu hari masuk ke dalam gua di bawah rumahnya bersama-sama ibunya di Samira’. Menurut keyakinan mereka, Muhammad bin Hassan Al-Askari adalah Al-Mahdi Muntadzar. Sementara itu golongan Syiah Kaisaniyah pula menganggap Muhammad bin Hanafiah sebagai Al-Mahdi.
Hadis-hadis Rasulullah SAW tidak menerangkan secara terperinci siapakah sebenarnya Al-Mahdi. Justeru, ramai yang mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi yang dinanti-nantikan itu. Dikatakan bahawa Imam Mahdi tidak akan mengakui atau mengisytiharkan dirinya sebagai Imam Mahdi. Dia dipilih oleh Allah SWT, bukan dilantik oleh makhluk. Sesiapa yang mengaku Imam Mahdi tentu sekali bukan Imam Mahdi yang sebenar.
Wallahua’lam.
klik tajuk dibawah utk baca ==>
Imam Mahdi Sinar Penyelamat Umat Islam
Tanda-Tanda Kemunculan Imam Mahdi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
tinggalkan komentar anda jika entri ini bermanfaat dan menarik untuk anda. segala pandangan sangat dihargai