iklan baris

Bekam (Hijamah ) : Sunnah Rasullullah S.A.W.



Bekam atau hijamah adalah teknik rawatan dengan kaedah membuang darah kotor (racun yang berbahaya) dari dalam tubuh melalui permukaan kulit.

Perkataan Al-Hijamah berasal dari istilah bahasa Arab: 'Hijama' (حجامة) yang bermaksud pelepasan darah kotor. Dalam bahasa Inggeris, ia disebut ‘cupping’, dan dalam bahasa Melayu, ia dikenali dengan istilah ‘bekam’.

Disebutkan bahawa bekam bekerja dengan cara merangsang atau mengaktifkan :

1. Sistem kekebalan tubuh;
2. Pengeluaran Enkefalin;
3. Pelepasan neurotransmitter;
4. Penyempitan dan pelebaran pembuluh darah; serta
5. “the gates for pain” pada Sistem Saraf Pusat (CNS) yang berfungsi memberikan rasa nyilu.

Berbekam merupakan kaedah rawatan klasik yang telah digunakan dalam merawati berbagai jenis penyakit seperti hemophilia, hipertensi, gout, rheumatik arthritis, sakit belakang, migrain serta penyakit-penyakit umum yang lain, sama ada bersifat fizikal mahupun mental.

Bekam merupakan rawatan yang disukai oleh Nabi Muhammad SAW, dalam hadis berikut: Dari Ibnu Abbas r.a. Rasulullah bersabda : "Kesembuhan itu ada pada tiga hal: Dengan minum madu, pisau hijamah (bekam), dan dengan besi panas. Dan aku melarang umatku dengan besi panas." (HR Bukhari)


SEJARAH BEKAM

Hijamah/bekam/cupping dan banyak istilah lainnya sudah dikenali sejak zaman dulukala, iaitu sejak kerajaan Sumeria, kemudian terus berkembang sampai Babylon, Mesir, Saba’ dan Iran. Pada zaman Rasulullah SAW, Baginda menggunakan kaca berupa cawan atau mangkuk tinggi.

Pada zaman China kuno, mereka menyebut hijamah sebagai ‘perawatan tanduk’ kerana tanduk digunakan menggantikan kaca. Pada kurun abad ke-18 (abad ke-13 Hijriyah), orang-orang di Eropah menggunakan lintah sebagai alat untuk hijamah. Pada suatu masa, 40 juta lintah diimport ke negara Perancis untuk tujuan itu. Lintah-lintah itu dilaparkan tanpa diberi makan. Jadi bila disangkutkan pada tubuh manusia, dia akan terus menghisap darah dengan lahap. Setelah kenyang, ia tidak berupaya lagi untuk bergerak dan terus jatuh.

Seorang pakar herba, Ge Hong (281-341 M) dalam bukunya ‘A Handbook of Prescriptions for Emergencies’ menggunakan tanduk haiwan untuk membekam / mengeluarkan bisul yang dipanggil teknik ‘jiaofa’. Semasa Dinasti Tang, bekam dipakai untuk merawat paru-paru. Pada kurun abad ke-18 (abad ke-13 Hijriyah), orang-orang di Eropah menggunakan lintah sebagai alat untuk berbekam (dikenal dengan istilah ‘Leech Therapy’) dan masih dipraktikkan secara meluas sehingga kini.

Hippocrates (460-377 SM), Celsus (53 SM-7 M), Aulus Cornelius Galen (200-300 M) mempopularkan kaedah pembuangan secara langsung dari pembuluh darah untuk rawatan di zamannya. Dalam melakukan teknik rawatan tersebut, jumlah darah yang keluar cukup banyak, sehingga ramai pesakit pengsan. Cara ini juga sering digunakan oleh orang Romawi, Yunani, Byzantium dan Itali oleh para rahib yang meyakini akan kebaikan berbekam.


JENIS BEKAM

Bekam kering atau bekam angin (Hijamah Jaaffah), iaitu menghisap permukaan kulit tanpa mengeluarkan darah kotor. Bekam kering ini berkhasiat untuk melegakan sakit secara darurat atau digunakan untuk meringankan ketidakselesaan urat-urat punggung kerana rheumatik, juga penyakit-penyakit penyebab ketidakselesaan punggung. Bekam kering baik bagi orang yang tidak tahan suntikan jarum dan takut melihat darah. Kulit yang dibekam akan tampak merah kehitam-hitaman selama 3 hari.

Bekam basah (Hijamah Rothbah), iaitu mula-mula dengan melakukan bekam kering, kemudian kita melukai permukaan kulit dengan jarum tajam (lancet), lalu di sekitarnya dihisap dengan alat berbekam dan pam tangan untuk mengeluarkan darah kotor dari dalam tubuh. Lamanya setiap hisapan 3 sampai 5 minit, dan maksimum 9 minit, lalu dibuang darah kotornya.

Penghisapan tidak lebih dari 7 kali hisapan. Darah kotor berupa darah merah pekat dan berbuih. Dan selama 3 jam setelah dibekam, kulit yang lebam itu tidak boleh disirami air. Jarak waktu pengulangan bekam pada tempat yang sama adalah 3 minggu saja.


WAKTU BERBEKAM

Sebaiknya berbekam dilakukan pada pertengahan bulan, kerana darah kotor berhimpun dan lebih terangsang (darah sedang pada puncak gejolak). Anas bin Malik r.a. menceritakan bahawa: "Rasulullah SAW biasa melakukan hijamah pada pelipis dan pundaknya. Ia melakukannya pada hari ke-17, ke-19 atau ke-21." (HR Ahmad).

Pemilihan waktu bekam adalah sebagai tindakan pencegahan untuk menjaga kesihatan terhadap penyakit. Adapun untuk rawatan penyakit, maka harus dilakukan bila-bila sahaja diperlukan. Dalam hal ini, Imam Ahmad melakukan bekam pada hari apa saja ketika diperlukan.

Imam as-Suyuthi menukil pendapat Ibnu Umar, bahawa berbekam dalam keadaan perut kosong itu adalah paling baik kerana dalam hal itu terdapat kesembuhan. Maka disarankan bagi yang hendak berbekam untuk tidak memakan makanan berat 2-3 jam sebelum berbekam.


Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa berbekam pada hari ke-17, 19 dan 21 (tahun Hijriyah), maka ia akan sembuh dari segala macam penyakit.” (HR Abu Dawud)


Dari Abdullah bin Mas’ud r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sebaik-baik bekam yang kalian lakukan adalah hari ke-17, ke-19, dan pada hari ke-21.” (HR at-Tirmidzi)


Dari Anas bin Malik r.a., dia bercerita: ”Rasulullah SAW biasa berbekam di bahagian urat merih (jugular vein) dan punggung. Ia biasa berbekam pada hari ke-17, ke-19, dan ke-21.” (HR Tirmidzi, Abu Dawud, Ibnu Majah, Ahmad, sanad sahih)


Dari Ibnu Abbas r.a., beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda: “Berbekamlah pada hari ke-17 dan ke-21, sehingga darah tidak akan mengalami hipertensi yang dapat membunuh kalian." (Kitab Kasyful Astaar ‘an Zawaa-idil Bazar, karya al-Haitsami (III/388))


Ibnu Sina di dalam kitabnya ‘Al-Qaanun’ mengatakan: “Diperintahkan untuk tidak berbekam di awal bulan kerana cairan-cairan tubuh kurang aktif bergerak dan tidak normal, dan tidak di akhir bulan kerana mungkin cairan-cairan tubuh mengalami pengurangan. Oleh kerana itu diperintahkan melakukan bekam pada pertengahan bulan ketika cairan-cairan tubuh bergerak lancar dan mencapai puncak penambahannya kerana bertambahnya cahaya di bulan."


Wallahua'lam.

2 ulasan:

  1. dulu my dad salu buat kat kpala..now lama tak tengok dia wat dh.agaha

    BalasPadam
  2. ulasan yang berilmiah bagus.....truskan usaha

    BalasPadam

tinggalkan komentar anda jika entri ini bermanfaat dan menarik untuk anda. segala pandangan sangat dihargai