iklan baris

Nik Aziz Meninggal Dunia





Mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia malam ini.

Anaknya, Nik Abduh mengesahkan perkara itu di Facebook.

"Dengan izin tuhannya, para malaikat datang menyempurnakan tugas mengiringi roh ayahanda menuju penciptanya tepat jam 9.40 pada malam Jumaat yang agung.

"Semoga ayahanda berbahagia di sisi Allah," katanya dalam rakaman di laman itu.

Katanya lagi, jenazah bapanya itu akan disembahyangkan pada jam 10 pagi esok di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka.

Gambar yang dirakam pada malam ini menujukkan ramai penyokong berhimpun di perkarangan rumah bapanya itu di Pulau Melaka.

Terdahulu, Nik Aziz dibawa pulang ke kediamannya dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian jam 8.40 malam ini.

Nik Abduh dalam tulisan terdahulu di Facebook petang ini berkata, tahap kesihatan bapanya itu merosot selepas rawatan ulser semalam.

Bekas menteri besar itu, yang turut mengidap kanser prostat dimasukkan ke HUSM pada 19 Januari lalu.

Tahap kesihatannya merosot ketika bah besar melanda negeri itu.

Allahyarham, 84, meninggalkan seorang isteri, Tuan Sabariah Tuan Ishak dan sepuluh orang anak.

Seorang daripadanya, Nik Abduh menjadi ahli politik PAS dan kini menjadi MP Pasir Mas.

Allahyarham mendapat pendidikan dalam bahasa Arab dan perundangan di Universiti Al-Azhar di Mesir dan merupakan seorang ulama yang disegani di kalangan masyarakat Islam.

Nik Abdul Aziz memenangi kerusi parlimen Kelantan Hilir (kini Pengkalan Chepa) dalam pilihan raya kecil 1967, selepas menyertai PAS pada tahun itu.

Beliau juga memainkan peranan utama dalam mengukuhkan semula PAS dan membolehkan parti itu menawan semula Kelantan pada 1990 dan menamatkan pentadbiran BN selama 12 tahun.

Beliau seterusnya dilantik menjadi menteri besar dan kekal di jawatan tersebut sebelum bersara pada 2013.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

tinggalkan komentar anda jika entri ini bermanfaat dan menarik untuk anda. segala pandangan sangat dihargai