iklan baris

Misteri Batu Bersurat Ebla



BERASAL dari masa sekitar 2500 SM, batu bersurat Ebla memberikan keterangan teramat penting mengenai sejarah agama-agama. Aspek terpenting mengenai batu bersurat Ebla, yang ditemui para ahli arkeologi pada tahun 1975 dan sejak itu telah menjadi asas perbahasan dari banyak kajian dan perdebatan, adalah terdapatnya nama tiga orang nabi yang disebutkan dalam kitab-kitab suci. Penemuan batu bersurat Ebla setelah ribuan tahun dan maklumat yang dikandungnya sungguh penting dari sudut pandang peranannya dalam memperjelaskan kedudukan geografi kaum-kaum yang disebutkan dalam Al-Quran.

Sekitar 2500 SM, Ebla adalah sebuah kerajaan yang meliputi suatu wilayah yang di dalamnya termasuk ibu kota Syria, Damaskus, dan Turki bahagian tenggara. Kerajaan ini mencapai puncak kejayaan di bidang kebudayaan dan ekonomi, namun selepas itu, sebagaimana yang menimpa banyak peradaban besar, menghilang dari pentas sejarah. Jelas dari catatan yang ada bahawa Kerajaan Ebla merupakan pusat utama kebudayaan dan perdagangan pada masanya. (Ebla, Funk & Wagnalls New Encyclopaedia, © 1995 Funk & Wagnalls Corporation, Infopedia 2. 0, SoftKey Multimedia Inc.)

Penduduk Ebla memiliki sebuah peradaban yang membina lembaga-lembaga arkib negara, mendirikan perpustakaan-perpustakaan dan mencatat aneka perjanjian perdagangan secara tertulis. Mereka bahkan memiliki bahasa mereka sendiri, yang disebut sebagai Eblaite.

Sejarah Agama-Agama Zaman Dahulu


Peranan penting Kerajaan Ebla, yang dianggap sebagai sebuah kejayaan besar bagi arkeologi klasik ketika pertama kali ditemui tahun 1975, mengemuka dengan ditemui sekitar 20,000 batu bersurat dan penggalan tulisan paku. Naskhah ini empat kali lebih banyak daripada seluruh naskhah bertulisan paku yang diketahui para pakar arkeologi selama 3,000 tahun terakhir.

Ketika bahasa yang digunakan dalam batu-batu bersurat tersebut diterjemahkan oleh seorang berkebangsaan Itali Giovanni Pettinato, penterjemah naskhah-naskhah kuno dari Universiti Roma, nilai penting batu bersurat tersebut semakin difahami. Penemuan Kerajaan Ebla dan kumpulan naskhah negara yang luar biasa tersebut tidak hanya menarik perhatian di bidang arkeologi, tetapi juga bagi kalangan agamawan. Hal ini disebabkan selain nama-nama seperti Mikail (Mi-ka-il) dan Thalut (Sa-u-lum), yang berperang bersama Nabi Dawud, batu-batu bersurat ini juga menuliskan nama-nama nabi yang disebutkan di dalam tiga kitab suci iaitu Nabi Ibrahim (Ab-ra-mu), Nabi Dawud (Da-u-dum) dan Nabi Ismail (Ish-ma-il). - (Howard La Fay, ‘Ebla: Splendour of an Unknown Empire,’ National-Geographic Magazine, December 1978, h. 736; C. Bermant and M. Weitzman, Ebla: A Revelation in Archaeology, Times Books, 1979, Wiedenfeld and Nicolson, Great Britain, h. 184.)

Pentingnya Nama-Nama Yang Disebut Dalam Batu Bersurat Ebla


Nama para nabi yang ditemui dalam batu bersurat Ebla memiliki nilai terpenting kerana ini adalah kali pertama nama-nama tersebut dijumpai dalam naskhah bersejarah setua itu. Maklumat ini, yang berasal dari zaman 1500 tahun sebelum Taurat, sangatlah mengejutkan. Kemunculan nama Nabi Ibrahim di dalam batu bersurat tersebut menyatakan secara tertulis bahawa Nabi Ibrahim dan agama yang dibawanya telah ada sebelum Taurat.

Para sejarawan mengkaji batu bersurat Ebla dari sudut pandang ini, dan penemuan besar tentang Nabi Ibrahim dan misi yang diembannya menjadi bahan kajian dalam kaitannya dengan sejarah agama-agama. David Noel Freedman, pakar arkeologi dan pengkaji Amerika mengenai sejarah agama-agama, melaporkan berdasarkan kajiannya nama-nama nabi seperti Ibrahim dan Ismail di dalam batu bersurat tersebut. (Bilim ve Teknik magazine (Science and Technology), No. 118, September 1977 and No. 131 October 1978)




Nama-Nama Lain Dalam Batu Bersurat


Sebagaimana disebutkan di atas, nama-nama yang ada di dalam batu bersurat adalah nabi-nabi yang disebutkan di dalam tiga kitab suci, dan batu bersurat tersebut jauh lebih tua daripada Taurat. Selain nama-nama ini terdapat juga perkara-perkara lain dan nama-nama tempat di dalam batu bersurat tersebut, yang dengannya dapat diketahui bahawa penduduk Ebla adalah para pedagang yang sangat berjaya.

Nama Sinai, Gaza dan Jerusalem, yang tidak terlalu jauh letaknya dari Ebla, juga terdapat di dalam tulisan tersebut, yang menunjukkan bahawa penduduk Ebla memiliki hubungan yang sangat baik dengan tempat-tempat tersebut di bidang perdagangan dan kebudayaan.

Satu perincian penting yang diketahui dari batu bersurat tersebut adalah nama-nama wilayah seperti Sodom dan Gomorrah, tempat tinggal kaum Luth. Diketahui bahawa Sodom dan Gomorrah adalah sebuah wilayah di pesisir Laut Mati tempat bermukimnya kaum Luth dan tempat di mana Nabi Luth mendakwah risalahnya dan menyeru masyarakat untuk hidup mengikuti nilai-nilai ajaran agama.

Selain dua nama ini, kota Iram, yang tercantum di dalam ayat-ayat Al-Quran, juga di antara yang tersebut di dalam batu bersurat Ebla. Aspek paling penting untuk dicermati dari nama-nama ini adalah bahawa selain dari naskhah-naskhah yang disampaikan oleh para nabi, nama-nama tersebut belum pernah muncul di dalam mana-mana naskhah pun sebelumnya.

Ini adalah bukti tertulis penting yang menunjukkan bahawa para nabi yang mendakwahkan risalah satu agama yang benar pada masa itu telah mencapai wilayah-wilayah tersebut. Dalam sebuah tulisan di majalah Reader’s Digest, tercatat pada masa itu bahawa terdapat pergantian agama dari penduduk Ebla selama masa pemerintahan Raja Ebrum dan bahawa masyarakat mulai menambah imbuhan di hadapan nama-nama mereka dalam rangka meninggikan nama Tuhan Yang Maha Kuasa.

Janji Allah Adalah Benar


Sejarah Ebla dan batu bersurat Ebla yang ditemui selepas 4,500 tahun sesungguhnya mengarahkan kepada satu kebenaran yang amat penting: ‘Allah s.w.t telah mengirim utusan-utusan kepada penduduk Ebla, sebagaimana yang Dia lakukan kepada setiap kaum, dan para utusan ini menyeru kaum mereka kepada agama yang benar. Sebahagian orang memeluk agama yang sampai kepada mereka sehingga mereka berada di jalan yang benar, sedangkan yang lain menentang risalah para nabi dan lebih memilih kehidupan yang nista.’

Tuhan, Penguasa langit dan bumi, dan segala sesuatu di antara keduanya, mewahyukan kenyataan ini dalam Al-Quran: ‘Dan sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): ‘Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu’, maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).’ (surah An Nahl, 16: 36)

1 ulasan:

  1. wah lengkap banget nih kumpulan misterinya, terimakasih sharingnya ya

    BalasPadam

tinggalkan komentar anda jika entri ini bermanfaat dan menarik untuk anda. segala pandangan sangat dihargai