
Pernah terjadi satu gempa bumi kuat yang menggegarkan bandaraya Damsyiq dan dataran Syam pada zaman pemerintahan Umar Abdul Aziz. Baginda terus mengutus surat kepada gabenor-gabenor seluruh jajahan penguasaannya.
Antara lainnya Umar Abdul Aziz bertitah : " Sesungguhnya gempa bumi ini adalah suatu amaran Allah swt kepada sekalian hambanya ".
Umar memerintahkan supaya rakyat jelatanya keluar beramai-ramai ke tempat lapang untuk bersembahyang pada suatu hari yang ditetapkan. Sebelum itu, Baginda menyarankan supaya mereka yang berharta supaya mengeluarkan sedekah kerana Allah swt berfirman :
( قَدْ أَفْلَحَ مَنْ تَزَكَّى * وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّى ) (الأعلى، آية: 14 ـ 15 )
Bermaksud : " Telah mendapat kejayaanlah orang yang membersihkan diri ( Antaranya dengan membersihkah hartanya dengan zakat atau sedekah ). Dan menyebut nama Allah swt lalu mengerjakan sembahyang " .
Baginda juga memerintahkan supaya mereka menyebut doa istighfar tiga orang Nabi terdahulu iaitu Adam, Nuh dan Yunus a.s . Semuanya doa dari al-Quran iaitu ;
1. Doa Nabi Adam a.s ;
(رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ (الأعراف الآية: 13
" Wahai tuhan kami ! Kami telah menzalimi diri kami. Jika engkau tidak mengampuni dan mengasihi kami pastilah kami tergolong di kalangan mereka yang kerugian "
2. Doa Nabi Nuh a.s ;
(وَإِلَّا تَغْفِرْ لِي وَتَرْحَمْنِي أَكُنْ مِنَ الْخَاسِرِينَ ) (هود ، الآية : 47 )
" Jika engkau tidak mengampuni dan mengasihi ku, pastilah aku termasuk golongan yang rugi "
3. Doa Nabi Yunus a.s ;
(لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ ) (الأنبياء ، الآية:87 )
" Tiada tuhan melainkan engkau. Maha suci engkau sesungguhnya aku hanya seorang yang menzalimi diri. "
Demikianlah langkah yang diambil oleh Khalifah Umar Bin Abdul Aziz memperturunkan petua atau pekelilingnya apabila berdepan dengan bala bencana. Iaitu dengan kembali kepada Allah dengan mencari perlindungan-Nya melalui amal memperbanyakkan sedekah, istighfar dan keluar beramai-ramai bersembahyang di tempat lapang dan terbuka. Sungguh mengkagumkan ketinggian dan ketajaman fiqh Khalifah Umar Abdul Aziz yang berpaksikan kefahaman yang jelas lagi mendalam terhadap petunjuk al Quranul Karim.
Sumber :
64 سيرة عمر لابن عبد الحكم صـ
حلية الأولياء لأبي نعيم الأصبهاني 5/304
الآثار الواردة عن عمر بن عبد العزيز في العقيدة 1/220
Tq sebab share..
BalasPadam