iklan baris

Kubur Berkata-Kata


Dikisahkan bahawa sewaktu puteri Rasulullah SAW, Fatimah r.a. meninggal dunia, maka jenazahnya telah diusung oleh 4 orang, iaitu:
1. Saidina Ali bin Abi Talib kwj (suami Fatimah r.a.)
2. Saidina Hasan r.a. (anak Fatimah r.a.)
3. Saidina Hussain r.a. (anak Fatimah r.a.)
4. Abu Dzar Al-Ghifary r.a.

Sewaktu jenazah Fatimah r.a. diletakkan di tepi kubur maka Abu Dzar Al-Ghifary r.a. berkata kepada kubur: "Wahai kubur, tahukah kamu jenazah siapakah yang kami bawakan kepada kamu? Jenazah yang kami bawa ini adalah Siti Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah SAW."

Maka berkata kubur: "Saya bukannya tempat bagi mereka yang berdarjat atau orang yang bernasab, adapun saya adalah tempat amal soleh, orang yang banyak amalnya maka dia akan selamat dari saya, tetapi kalau orang itu tidak beramal soleh maka dia tidak akan terlepas dari saya (akan saya layan dia dengan seburuk-buruknya)."

Abu Laits as-Samarqandi berkata kalau seseorang itu hendak selamat dari siksa kubur hendaklah melazimkan empat perkara:
1. Hendaklah ia menjaga solatnya
2. Hendaklah dia bersedekah
3. Hendaklah dia membaca al-Quran
4. Hendaklah dia memperbanyakkan membaca tasbih kerana dengan memperbanyakkan membaca tasbih, ia akan dapat menyinari kubur dan melapangkannya.

Adapun empat perkara yang harus dijauhi ialah:
1. Jangan berdusta
2. Jangan berkhianat
3. Jangan mengadu-domba (melaga-lagakan dua pihak supaya bermusuhan)
4. Jangan kencing sambil berdiri. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Bersucilah kamu semua dari kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan siksa kubur itu berpunca dari kencing."

Seseorang itu tidak dijamin akan terlepas dari segala macam siksaan dalam kubur, walaupun ia seorang alim ulama' atau seorang anak yang bapanya sangat dekat dengan Allah SWT. Sebaliknya, kubur itu tidak mengambilkira sama ada orang itu orang miskin, orang kaya, orang berkedudukan tinggi atau sebagainya. Kubur akan melayan seseorang itu mengikut amalan-amalan yang telah dilakukan oleh si mati sewaktu hidupnya di dunia ini.

Jangan sekali-kali kita berfikir bahawa kita akan dapat menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh dua malaikat, Mungkar dan Nakir, dengan cara kita menghafal. Pada hari ini kalau kita berkata kepada saudara kita yang jahil: "Takutlah kamu kepada Allah SWT dan takutlah kamu kepada soalan yang akan dikemukakan ke atas kamu oleh malaikat Mungkar dan Nakir," maka mereka mungkin akan menjawab: "Ah! Mudah sahaja. Saya boleh menghafal untuk menjawabnya." Itu adalah kata-kata orang yang kurang berakal.

Seseorang itu tidak akan dapat menjawab setiap soalan di alam kubur jikalau dia tidak mengamalkannya semasa hidupnya sebab yang akan menjawab soalan Mungkar dan Nakir adalah amal-amalnya sendiri. Sekiranya dia rajin membaca al-Quran, maka al-Quran itu akan membelanya dan begitu jugalah dengan amalan-amalan soleh yang lain.

1 ulasan:

tinggalkan komentar anda jika entri ini bermanfaat dan menarik untuk anda. segala pandangan sangat dihargai