iklan baris

Fenomena Berani Berfatwa


Sejak kebelakangan ini kelihatan satu gejala yang melanda sebahagian orang Islam, iaitu berani berfatwa. Setiap kali timbul isu yang melibatkan hukum-hakam agama, maka menjelmalah ramai ‘mujtahid’ yang pantas mengutarakan pendapat mereka. Adakalanya, ‘fatwa-fatwa’ mereka kelihatan mendahului keputusan ahli-ahli fatwa yang lebih berautoriti.

Pernah satu ketika timbul isu yang agak menggemparkan negara, yang ada hubung kait dengan hukum agama. Seperti biasa, ramailah penceramah berfatwa dalam pidatonya, dan penulis pula berhukum melalui pena dan keyboardnya. Walhal dari sudut hukumnya, ia termasuk dalam hukum yang disepakati atau yang sudah ijmak di kalangan fuqaha. Lantaran kejahilan tentang ijmak, atau kejahilan tentang wajibnya menuruti ijmak, golongan seperti ini berani menghebahkan pandangan peribadi yang menyalahi ijmak silam para ulama.

Lihatlah bagaimana permasalahan feqah yang disepakati oleh fuqaha, apabila dibincangkan oleh orang-orang bukan ulama, alih-alih ia menjadi masalah khilaf yang bercabang-cabang pendapatnya. Agaknya, kalau masalah feqah yang sepatutnya khilaf kepada tiga pendapat, jika dibiarkan golongan ini berhukum dan berfatwa, mungkin perselisihan akan jadi 20 pendapat!!!
Berani dan pantasnya mereka berfatwa benar-benar menghairankan. Seakan-akan tidak pernah menghayati satu firman Allah yang termaktub dalam Surah Al-A’raf:


قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالإثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَنْ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنزلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, samada yang nyata atau yang tersembunyi dan perbuatan dosa dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya. (Al-A’raf: 33)

Jika kita menyedari kenapa dalam ayat di atas, dosa bertutur tentang Allah dengan jahil dirangkaikan bersama dosa syirik kepada Allah, pasti kita akan ketahui betapa besarnya jenayah memberi fatwa tentang agama tanpa ilmu.

Malang apabila ada kalangan orang Islam menganggap berfatwa adalah satu hobi yang menarik. Sesiapa sahaja boleh menceburi, asalkan mempunyai selonggok buku agama ataupun beberapa keping CD maktabah kitab. Walhal para salaf bertolak-tolak dan mengelak daripada memberi fatwa.

Ibn Abi Laila berkata, “Aku menemui 120 orang ansar dari kalangan sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Apabila salah seorang ditanya masalah, dia akan menolak supaya diaju kepada yang lain. Yang lain pula menolak supaya diaju kepada yang lain, sehingga kembali kepada orang pertama”.

Golongan salaf merasakan urusan fatwa adalah satu amanah yang sangat besar. Bukan sekadar memberi jawapan segera kepada penyoal bahawa hukum ini halal, dan hukum ini haram. Tetapi ia berkait dengan dosa dan pahala, syurga dan neraka.

Imam Malik pernah disoal 50 masalah, tetapi beliau tidak menjawab walau satu soalan pun. Imam Malik berkata, “Sesiapa yang mahu menjawab, maka sebelum menjawabnya hendaklah merentangkan dirinya di atas syurga dan neraka, dan bagaimana kesudahannya di akhirat, barulah dia menjawab”.

Kita juga hairan kenapa para ulama yang muktabar cukup berhati-hati dan kerap mengambil jalan tawaqquf apabila berdepan dengan hukum Allah, tetapi orang-orang yang tidak pernah diiktiraf sebagai ulama apatah lagi sebagai mujtahid begitu berani dan boros dalam berfatwa.

Imam Sahnun pernah disoal satu masalah oleh seorang lelaki. Lalu tiga hari lelaki itu berulang-alik kepada Sahnun dan mendesaknya, “Soalan aku, -semoga Allah membaikkan urusanmu-”.

Sahnun berkata, “Wahai sahabat, apa yang boleh aku lakukan dengan soalanmu. Ia rumit. Dalamnya ada banyak pendapat. Dan aku kebingungan padanya”.

Lelaki itu berkata, “Kamu (layak menjawab) untuk semua soalan yang rumit”.

Sahnun berkata, “Jauh sekali wahai anak saudaraku. Kata-katamu itu bukanlah lebih mendedahkan kamu daripada daging dan tulangku kepada api neraka. Alangkah banyak apa yang aku tidak mengetahui”.

Sahnun berkata lagi, “Kalau kamu sabar, aku harap kamu boleh kembali semula dengan persoalan kamu ini. Kalau kamu mahu bertanya kepada orang lain selainku, pergilah dan masalah kamu itu mungkin dijawab segera dalam masa sekejap sahaja”.

Demikian cermat dan waraknya para mujtahid dalam memberi fatwa. Mereka menangguh-nangguh jawapan bukan kerana mereka jahil. Tetapi kerana takut kepada Allah. Ibn Solah berkata, “Dalam kalangan mereka ada yang melambat-lambatkan menjawab soalan yang dia tidak ragu padanya (yakni: tahu jawapannya), dan mereka bertawaqquf dalam masalah yang mudah yang dia boleh menjawabnya”.

Sebaliknya, orang-orang yang tidak berilmu pula yang malu untuk tawaqquf, dan malu untuk menyebut ‘aku tidak tahu’. Tetapi tidak pula merasa malu dan segan kepada Allah untuk bercakap tentang hukum-hakamNya tanpa ilmu.

Pantas berfatwa walau tanpa usul periksa adalah tanda bahawa Tuhan tidak memberi taufiq kepada seseorang. Al-Khatib Al-Baghdadi berkata, “Sedikit sahaja orang yang gemar memberi fatwa, berlumba-lumba memberi fatwa, dan senantiasa memberi fatwa, kecuali kuranglah taufiq Allah kepadanya”.

Ia juga tanda bahawa kurangnya ilmu seseorang, walau lagaknya seperti ilmuan. Al-Sakhtiyani berkata, “Orang yang paling pantas memberi fatwa, dialah yang paling sedikit ilmunya tentang khilaf ulama”.

Maka berhati-hatilah dalam berbicara pasal hukum-hakam. Tidak ada keaiban bagi orang yang enggan menjawab soalan atau menjawab dengan kalimah ‘Allahu A’lam’. Tetapi aib yang besar bagi sesiapa yang menjawab segala persoalan dengan kejahilan atau kelewaan. Ibn Mas’ud berkata, “Orang yang memberi fatwa dalam semua soalan yang diajukan kepadanya, adalah orang gila”.

Semoga Allah memberi taufiq kepada kita, dengan menuruti jalan para salaf. Iaitu jalan orang-orang yang warak dalam bertutur terhadap hukum-hakam Allah. Dan hendaklah kita merasa malu dan takut kepada Allah, melebihi malu sesama manusia

1 ulasan:

  1. semua org nak buat fatwa sendiri...smp jd keliru yg mana betul

    BalasPadam

tinggalkan komentar anda jika entri ini bermanfaat dan menarik untuk anda. segala pandangan sangat dihargai