Intelektual Islam


Siapakah intelektual Islam?

Dahulu penulis telah menghuraikan mengenai intelektual, siapakah mereka dan apa yang mereka lakukan sebagai seorang intelektual. Dari tulisan tersebut secara ringkasnya penulis telah menjelaskan bahawa intelektual menapis setiap maklumat yang diterima dan disebarkannya dari dan kepada orang ramai. Keintelektualan pemikiran seorang intelektual bergantung kepada sejauh mana kuatnya ‘penapis’ maklumat dalam dirinya, dan kecondongan pemikiran seorang intelektual bergantung kepada ‘kecondongan’ penapisnya dalam menapis maklumat.

Bagaimana pula dengan intelektual Islam?

Asas intelektual islam telahpun dijelaskan dalam al-Quran:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (Surah Al-Hujurat: 6)

Dalam ayat di atas, dijelaskan kepada kita bahawa jika sampai suatu berita, maka hendaklah diperhatikan dahulu dari mana sumbernya. Ini adalah satu tindakan intelektual.

Intelektual Islam adalah subset atau sebahagian daripada kumpulan besar intelektual dalam dunia ini. Penapis intelektual Islam mesti condong kepada Islam. Seperti yang kita tahu sumber utama pemikiran Islam adalah al-Quran, as-sunnah dan ijmak ulama’. Oleh itu, penapis intelektual Islam mestilah condong kepada sumber-sumber ini.

Dari tu, seorang intelektual Islam akan menilai setiap maklumat yang diterimanya menggunakan penapis yang terdiri dari sumber-sumber tersebut. Sebagai contoh, jika seorang intelektual islam menerima suatu hadis dari seseorang atau dari sumber internet, beliau akan menapis hadis tersebut dengan merujuk kepada quran, sunnah dan ijmak para ulama’, dan beliau tidak mudah menerima hadis tersebut melainkan setelah ia terbukti bertepatan dengan sumber-sumber tersebut.

Begitu juga ketika seorang intelektual Islam mengeluarkan atau menyampaikan maklumat yang diketahuinya kepada umum. Sebagai contoh, jika seorang intelektual Islam mahu menyampaikan sepotong ayat Quran dan tafsirnya, beliau akan menapis ayat Quran dan tafsir tersebut agar ia bertepatan dengan ijmak ulama’ dan kandungan Quran yang asal, serta memikirkan kesan dari penyampaian maklumat tersebut kepada orang ramai.


Beza antara intelektual Islam dan intelektual Barat.

Intelektual Barat tidak menggunakan penapis yang sama sebagaimana yang digunakan oleh intelektual Islam.
Intelektual barat menggunakan penapis akal dan logik semata-mata. Oleh itu, pandangan seorang intelektual barat banyak bergantung kepada pandangan akal dan logik seperti falsafah dan sains.

Dari itu, sebelum berdebat dengan mereka intelektual Islam mesti menyedari bahawa lawan debat mereka ini iaitu intelektual barat tidak menggunakan penapis yang sama dengan mereka. Dari itu, cara mereka berfikir dan melihat suatu isu atau perkara juga berbeza dengan intelektual Islam.

Sebagai contoh, isu homoseksual. Intelektual barat akan mengemukakan pelbagai alasan-alasan saintifik dan psikologi yang berkaitan dengan isu ini serta menekankan hak asasi manusia yang mereka agung-agungkan, sedangkan pada intelektual Islam perkara ini sudah jelas ternyata bahawa homoseksual itu haram menurut penapis Quran dan As-Sunnah.

Dari itu, perdebatan bagi mencapai persetujuan yang sama antara intelektual islam dan barat tidak akan berhasil melainkan intelektual islam berdebat dengan penapis yang sama dengan barat atau sebaliknya.

Oleh itu, berdebat dengan penapis yang sama adalah lebih produktif berbanding berdebat menggunakan penapis yang berbeza yang tidak akan membawa kepada persetujuan bersama.


Mengubah penapis.

Mengubah penapis seorang intelektual boleh berlaku dan tidak mustahil.Seorang intelektual barat boleh mengubah penapis intelektual muslim dan begitu juga intelektual muslim boleh mengubah penapis intelektual barat.

Penulis memilih untuk membincangkan penukaran penapis pemikiran intelektual barat kepada penapis islam.

Penukaran penapis intelektual barat kepada penapis islam tidak semestinya diperlukan jika ingin meneruskan perdebatan suatu isu kerana intelektual barat masih boleh berpenapis islam meskipun dia bukan muslim (contohnya intelektual barat yang memiliki ijazah dalam pengajian islam seperti kebanyakan orientalis yang menentang islam). Akan tetapi dengan mengubah penapis, proses debat menjadi lebih lancar kerana intelektual bukan sekadar tahu sumber yang digunakan oleh intelektual islam( Quran+ Sunnah+ijmak ulama’) malah dia akan lebih faham kerana mengamalkan pengetahuan tersebut.

Untuk mengubah penapis intelektual barat kepada penapis islam, ia juga masih memerlukan kepada perdebatan.

Di sinilah intelektual Islam memiliki kelebihan tersendiri kerana akidah Islam memiliki banyak hujah yang bertepatan dengan kajian saintifik dan logik akal, umpamanya mengenai kewujudan Tuhan dan keesaan-Nya.

Maka sekiranya intelektual Islam berdebat dengan intelektual barat menggunakan penapis logik mereka, sudah tentu intelektual Islam memiliki potensi besar untuk menang. Namun menang tidak menjamin perubahan penapis mereka,akan tetapi ia meningkatkan kebarangkalian mereka untuk menukar penapis mereka dan menerima Islam.

Jika mereka memilih penapis islam dan menerima islam hasil perdebatan tersebut, maka perdebatan-perdebatan berkaitan isu-isu lain (yang bergantung kepada persamaan penapis intelektual) akan menjadi lebih mudah dan mungkin perdebatan tersebut tidak lagi relevan kerana kedua-dua golongan intelektual telah berada di bawah satu penapis pemikiran yang sama iaitu penapis pemikiran Islam yang berlandaskan alquran dan assunnah.



Kesimpulan


Setakat ini dapat disimpulkan bahawa perdebatan antara agama (English-comparative religion debate) atau perdebatan ‘yang bermatlamat menukar penapis’ memiliki kesan yang lebih utama dan besar berbanding perdebatan tentang suatu isu antara intelektual islam dengan intelektual barat. Ini kerana perdebatan comparative religion memiliki potensi besar dalam mengubah penapis seorang intelektual dari penapis materialistik kepada penapis islam,atau sebaliknya.

1 ulasan:

  1. byk la tokoh islam..
    tp kadang2 org barat ckap dioarang yg discover...huhu

    BalasPadam

tinggalkan komentar anda jika entri ini bermanfaat dan menarik untuk anda. segala pandangan sangat dihargai