Menyemai budaya ilmu : Apakah Sumbangan Kita


"Antara subjek bahasa melayu dan bahasa Inggeris mana lebih susah ?", tanya seorang penjual otak-otak kepada seorang kanak-kanak lelaki kecil (mungkin anaknya) yang masih dibangku sekolah. "Bahasa melayu" jawab anak kecil itu pantas. Perbualan itu menggamit perhatianku yang ketika itu sedang menunggu beberapa cucuk sate yang dipesan di gerai sebelah buat makan malam. Tersenyum aku mendengar jawapan balas si anak kecil itu.

Berada berhampiran dengan si penjual otak-otak itu, aku tidak dapat tidak, terdengar akan perbualan mereka berdua. Si 'ayah' tadi kelihatan sangat peka akan soal pelajaran si 'anak' tadi. Si ayah menggalakkan agar si anak melakukan terbaik yang untuk pelajarannya di sekolah sambil menceritakan pengalaman peribadinya semasa di sekolah dahulu. Ini membuatkan aku terfikir sejenak dan dalam masa yang sama, teringatkan akan pesan ayahku sendiri ketika aku masih dibangku sekolah.

Alhamdulillah, di zaman yang mana hiburan sangat berleluasa mengembangkan sayapnya melalui semua jenis media, masih ada ibu bapa yang sedar akan pentingnya pendidikan. Anak adalah ibarat kain putih, apa sahaja yang kita corakkan padanya akan membentuk peribadinya.

Dari Al-Aswadi bin Surai'e bahawasanya Nabi SAW bersabda, "Setiap anak yang dilahirkan adalah suci maka kedua ibu bapalah yang mencorakkannya sama ada menjadi seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi." (Riwayat Al-Imam At-Tabrani).

Pendidikan sangat penting kerana melaluinya, pelbagai ilmu dapat dikuasai. Pernyataan ini mungkin suatu cliche, namun ia suatu cliche yang sangat benar. Ilmu membentuk peribadi seseorang kearah menjadi seorang insan yang boleh menyumbang kearah pembangunan sesebuah keluarga, organisasi dan juga negara. Ini kerana, untuk melakukan sesuatu, kita perlu kepada ilmu. Untuk menyediakan mi segera juga perlu kepada ilmu (e.g. cara nak panaskan air, rebus mi supaya mi tersebut masak dengan elok, tidak mentah ataupun terlebih masak.. dan sebagainya) apatah lagi untuk melakukan kerja-kerja lain yang jauh lebih rumit dan kompleks.



Kanak-kanak tidak mengetahui akan kepentingan ilmu di dalam kehidupannya kerana kebolehan mereka untuk berfikir masih berada di tahap yang rendah. Kepentingan untuk cinta akan ilmu dengan itu perlu dipupuk oleh ibu bapa. Ibu-bapa perlu mempunyai kesedaran yang tinggi untuk memupuk minat terhadap ilmu kepada anak masing-masing melalui pelbagai cara.

Berbalik kepada kisah di penjual otak-otak tadi, saya berasa terharu dengan peranan yang dimainkannya di dalam memupuk minat si budak kecil tadi kepada ilmu. Peranannya mungkin tidak sehebat para pendidik yang lain. Beliau hanyalah seorang penjaja kecil di tepi jalan, tiada gaji, tiada elaun, dan tiada hari istimewa untuk menyambut pekerjaannya (seperti hari guru). Namun beliau sedar akan pentingnya ilmu dan berusaha memainkan peranannya di dalam membentuk masyarakat yang berilmu.

p/s : Sudahkan anda melakukan sesuatu untuk membentuk masyarakat berilmu?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

tinggalkan komentar anda jika entri ini bermanfaat dan menarik untuk anda. segala pandangan sangat dihargai