( PAKEJ SUPER ADS ) KLIK SINI UNTUK BERIKLAN

Misteri Pulau Besar Part 2 : Kawasan Menarik dan Kisah Misteri di Sebaliknya

Salam sejahtera dan salam pembuka kata, entri ini merupakan sambungan dari entri sebelumnya mengenai Pulau Besar Melaka, dalam entri kali ni saya ingin berkongsi dengan anda antara tempat-tempat menarik dan kisah-kisah misteri di tempat-tempat tersebut . jombaca ;)


Perigi Tempayan Pecah

Ada pelbagai versi cerita yang dikaitkan dengan perigi ini. Salah satunya mengisahkan seorang nenek tua yang menjadikan tempayan sebagai tempat simpanan harta yang diperolehi nenek itu melalui kerjayanya sebagai bidan dan peniaga ubatan herba di pulau itu. Pada suatu hari, tempayan itu ingin dicuri dan ketika tempayan itu ingin dilarikan, tiba-tiba tempayan itu pecah. Serta-merta harta yang tersimpan dalam tempayan itu bertukar menjadi air dan bekas tempayan itu tertanam sehingga menjadi seperti sebuah perigi.Sehingga kini, ramai yang cuba menyeluk tangan mereka ke dalam perigi itu. Keadaannya memang seperti menyeluk sebuah tempayan. Dahulunya, perigi ini terletak benar-benar di kaki air laut dan rasa airnya seperti air tawar yang telah lama bertakung, tetapi tidak berbau sehingga boleh diminum. Setelah kawasan ini dijadikan padang golf, sebuah binaan batu telah didirikan mengelilingi perigi tempayan ini sehingga menghilangkan rupabentuk asalnya.  Kononnya, ada pengunjung yang berjaya mendapat harta peninggalan nenek itu seperti barang kemas, syiling lama dan sebagainya ketika menyelukkan tangan ke dalam perigi itu. Bagaimanapun, hanya mereka yang ‘bernasib baik’ sahaja yang akan memperolehinya. Sejauhmanakah kebenarannya, wallahu’alam.

Perigi Bunian

Perigi ini terletak di bahagian kanan kawasan Marina Beach Resort dan kedudukannya memang hampir dengan pantai. Terdapat pokok bakau dan juga pokok mengkuang di sekelilingnya. Menurut cerita orang tempatan, perigi ini digelar perigi bunian kerana nelayan yang sering berlindung di kawasan ini ketika cuaca buruk selalu terdengar suara sekumpulan wanita sedang bersuka-ria di perigi itu. Oleh kerana kedudukan perigi itu terletak dalam kawasan perkampungan orang bunian, maka ia didakwa sebagai perigi yang dikuasai orang bunian. Tidak jauh dari kawasan perigi ini pula terdapat sebuah tasik yang dipanggil tasik bunian.


Makam Bersaiz Panjang

Semua makam-makam utama yang terdapat di Pulau Besar dilihat bersaiz panjang dan melebihi ukuran tinggi manusia. Keadaan ini boleh disaksikan pada Makam Sultan Ariffin, 7 Beradik, Sharifah Rodziah, Tok Putih dan lain-lain lagi. Ada pelbagai cerita yang telah dikaitkan dengan saiz makam tersebut. Bagaimanapun, saiz tersebut tidak menjadi sesuatu yang pelik. Ini kerana, orang zaman dahulu memang suka memanjangkan saiz kubur seseorang yang mempunyai nama dalam masyarakat untuk menghargai jasanya dan juga untuk memudahkan generasi akan datang mengenali kubur si mati itu. Keadaan ini juga boleh dilihat pada saiz Makam Tun Teja yang terdapat di Kampung Sempang Pantai, Melaka.

Makam Sultan Aarifeen

Nama sebenar Sultan Aarifeen ialah Sheikh Ismail (qaddasallahu sirrahu). Beliau adalah keturunan yang ke-18 Rasullullah (S.A.W). Sultan Aarifeen As Sayyid Ismail telah dilahirkan pada 17 Rabiul Awal tahun 867H di Baghdad. Bapanya bernama As Sayyid Abdul Qadir dan ibunya bernama As Sayyidah Fatimah.Beliau mempunyai ilmu yang tinggi dalam islam. Menurut riwayat sewaktu beliau ke Madinah menziarah makam Nabi, beliau telah didatangi satu suara yang menyuruh beliau mengembangkan dakwah Islam di kepulauan Jawa.

Sebagai seorang yang taat kepada agama beliau menunaikannya dan beliau telah mengembara dan akhirnya tiba di Pulau Besar bersama-sama dengan 16 orang ahli dalam kumpulannya. Di antara orang yang penting dalam kumpulan itu ialah gurunya Yusuf Siddiq dan saudaranya As Sayyid Ibrahim.Di Pulau Besar dakwahnya telah berkembang luas dan beliau mempunyai pengikut yang sangat ramai. Sultanul Aarifeen telah meninggal dunia pada 17 Rabiul Awal tahun 925H ketika beliau berusia 58 tahun. Selain dari beliau, di situ juga termakam antara 41 hingga 43 orang pengikut-pengikut beliau yang lain. Beliau mempunyai seorang anak lelaki dan 2 orang anak perempuan.
Sekarang makam Sultanul Aarifeen terus dikunjungi orang ramai. Selain dari niat untuk ziarah mereka juga datang dengan pelbagai hajat.


Tapak kaki Sultan Ariffeen

Tapak kaki ini terletak di dalam kawasan Pusat Latihan IMM. Ada sesetengah pendapat menyatakan bahawa tapak kaki ini adalah kepunyaan Sultan Ariffeen. Manakala tapak kaki kirinya terdapat di Pulau Serimbun.


Perigi di Kaki Pulau

Perigi ini dipercayai digunakan oleh tentera Jepun untuk memancung kepala orang-orang Cina. Kepala yang telah dipancung akan dilemparkan ke dalam perigi ini. Perigi ini tidak pernah digunakan orang sehingga sekarang.Di kawasan sekitar perigi ini merupakan kawasan Panglima Hitam. Wajah serta anggota tubuhnya dipercayai berwarna hitam. Di kawasan ini juga merupakan salah satu tempat yang amat keras terutamanya pada waktu senja. Pernah suatu ketika dahulu sepasang kekasih duduk berdua-duaan di kawasan ini dan wanita tersebut diserang histeria.Sehingga kini, sesiapa sahaja yang bukan muhrim dilarang sama sekali ketika waktu senja duduk berdua-duaan di kawasan ini.


Batu belayar

Sebuah batu yang sederhana besar berbentuk seperti kepala kuda. Batu ini dikatakan pada asalnya terletak di dalam laut. Kemudian ianya terapung-apung di dasar laut dan tersangkut di pulau ini.Dipercayai batu ini juga digunakan oleh 7 beradik untuk mengikat tali kapal mereka sebaik sahaja mereka berlabuh di Pulau Besar ini.Kini batu ini masih jelas kelihatan sebaik sahaja sampai di pulau ini. Ianya terletak berhampiran dengan Jeti Pulau Besar.


Batu Tengkorak

Batu ini terletak di kawasan Pandanusa Golf Club dan berhampiran dengan pantai. Jika dilihat dengan teliti, batu ini seakan-akan menyerupai tengkorak manusia dan terdapat kesan belahan empat segi yang dipercayai telah dibelah oleh orang dahulu kala untuk mendapatkan harta karun di dalamnya. Namun usaha mereka gagal dan mereka menampal semula batu tersebut.Batu ini juga pernah dirancang untuk diletupkan tetapi usaha itu hanyalah sia-sia sahaja kerana batu itu sedikitpun tidak terbuka.Sehingga kini, sesiapa sahaja yang bukan muhrim dilarang sama sekali ketika waktu senja duduk berdua-duaan di kawasan ini.


Keramat Masin Tawar

Sebuah lopak air yang seakan-akan menyerupai perigi lama yang terletak berhampiran dengan pantai. Apabila air laut surut, airnya akan menjadi tawar. Dipercayai suatu ketika dahulu, perigi ini digunakan untuk mendapatkan harta karun. Keramat ini dijaga oleh seorang puteri bunian yang bernama Puteri Nilam.Airnya dikatakan mempunyai pelbagai azimat yang tertentu samada untuk dijadikan minuman, mandi atau untuk dibuat pelaris. Dipercayai juga, jika niat tidak baik kita tidak akan merasai air yang tawar meskipun air laut telah surut.


Istana Bunian

Terletak di tengah-tengah perkampungan bunian. Sebuah kawasan tanah tinggi yang tidak dapat ditolak oleh jentera biasa. Kawasan ini ingin dimajukan oleh pihak Marina Resort tetapi sehingga kini projek itu tidak dapat diteruskan.
Menurut sumber dari pihak pengurusan Marina Resort, jentolak yang ingin menolak jentera tersebut telah meletup sewaktu kerja-kerja meruntuhkan tanah tersebut sehingga menyebabkan pemandunya meninggal dunia.


Perkampungan bunian

Sebuah kawasan yang terdapat di Marina Resort dan dipercayai satu perkampungan orang-orang bunian. Kawasan sebenarnya ingin dimajukan tetapi disebabkan masalah ekonomi dan masalah jerebu yang melanda pada tahun 1997-1999, maka pembinaannya tidak dapat diteruskan.Menurut cerita, sebenarnya terdapat sejumlah 146 buah kampung orang bunian di kawasan Pulau Besar ini tetapi kawasan ketara yang boleh dilihat hanyalah di kawasan Marina Resort ini sahaja.


Pokok disula

Pokok ini terletak di kelab golf. Menurut apa yang telah diceritakan, dahulu terdapat sepasang kekasih sedang bercengkarama di bawah pokok ini. Maka di atas keterlanjuran mereka itu, mereka telah ditangkap dan di sula di bawah pokok tersebut.Jika diamati dengan teliti, kita akan dapati tangan kiri lelaki tersebut sedang memeluk pasangannya di bawah pokok tersebut.


Tasik biawak

Sebuah tasik biasa buatan manusia yang terletak di padang golf. Tasik ini dipenuhi dengan biawak-biawak yang luar biasa besarnya. Biawak-biawak ini singgah di tasik tersebut untuk memakan ikan-ikan yang ada di dalamnya.
Di dalam tasik biawak ini juga terdapatnya batu yang berbentuk tengkorak manusia.


Batu Belah

Sebuah batu besar setinggi 3 meter dan mempunyai rekahan di tengah-tengahnya selebar lebih kurang 35 cm dengan kedalaman sejauh 1.5 meter adalah hasil belahan Panglima Lidah Hitam.Ratusan tahun dahulu, sekumpulan pendekar dan pahlawan menunjukkan kehebatan ilmu masing-masing. Ada yang membelah dan menebang pokok besar dengan sekali cantas dan ada yang membelah bukit dengan sekali imbas dan bermacam-macam lagi. Sehingga pada suatu waktu seorang panglima yang dikenali sebagai Panglima Lidah Hitam merasa tercabar dengan kekuatan kawan-kawannya itu. Beliau menghampiri batu besar tersebut dan menjelirkan lidahnya yang hitam itu lalu membelah batu tersebut.Masyarakat kini datang ke tempat tersebut dengan membawa pelbagai hajat. Mereka akan masuk ke dalam batu tersebut dengan melalui bahu sebelah kiri dan berjalan secara mengiring kemudian apabila sampai di penghujung rekahan capailah dengan tangan kanan.


Keramat Ular


Dipercayai keramat seorang wali Allah yang menjelma sebagai seekor ular sawa. Barang siapa yang bernasib baik, dipercayai akan berjumpa dengan wali Allah tersebut yang membawa guni berisi arang. Apabila sampai di rumah, arang itu akan bertukar menjadi barang yang berharga.Di sekeliling kawasan keramat ular terdapat pokok pandan yang boleh digunakan untuk membuat tikar.


Makam Nisan Satu

Makam ini terletak berhampiran dengan Batu Tengkorak. Keanehannya, makam ini hanya terdapat satu batu nesan sahaja. Ianya dipercayai makam seorang pemuda yang berumur dalam lingkungan umur 18-19 tahun yang sangat kacak dan tampan. Namanya tidak dapat dikenalpasti.


Perigi Nenek Musallimah

Dipercayai nenek yang tertua yang terdapat di Pulau Besar ini. Beliau juga merupakan seorang dukun dan bidan. Air perigi ini mempunyai azimat yang tertentu seperti untuk menyihatkan tubuh badan, pelaris dan boleh juga digunakan sebagai mandi bunga. Perigi ini terletak di dalam kawasan Pusat Latihan IMM dan bersebelahan dengan Chalet 007.


Makam Syarifah Rodziah

Dipercayai Syarifah Rodziah juga adalah antara keturunan Sultan Arifeen. Beliau seorang wanita yang cantik. Beliau juga sangat taat kepada ajaran Islam sehingga di saat-saat akhir hidup beliau, beliau telah mengabdikan diri kepada Allah dengan menyendiri, berwirid dan berzikir. dan ada yang berpendapat beliau ialah wali perempuan . walluahalam.Akhirnya apabila beliau meninggal dunia , beliau telah dikebumikan di bahagian hadapan makam Sultan Arifeen.


Batu Lesung

Batu Lesung atau Batu Putih ini merupakan satu batu yang berbentuk seakan-akan lesung. Untuk sampai ke Batu Lesung, orang ramai terpaksa melalui kawasan batu karang ketika air laut surut .Manakala ketika air laut pasang, orang ramai terpaksa meredah air laut untuk sampai ke Batu Lesung ini. Ianya terletak di tengah-tengah laut. Dikatakan bahawa pokok yang terdapat di tengah-tengah batu lesung tetap sama saiznya walau pun telah bertahun-tahun lamanya

sumber : portal kerjaan negeri melaka, dan mrforum.net

klik sebelah untuk membaca ==> Misteri Pulau Besar Melaka Part 1

p/s : gambar akan sy update kemudian. bnyak lagi tempat menarik dan misteri di Pulau Besar. namun ini antara kawasan yang sering menjadi kunjungan para pelancong. segala misteri di kawasan ini yang terjadi itu semuanya atas kehendak allah S.W.T :)
(PAKEJ STYLEZ ADS)klik sini untuk beriklan

12 ulasan:

  1. baru nak tanye xde gambar ke.. nak tgk sgt2 gambar2 nyer... bunyi pun menarik jek..
    saya tunggu yek.. hehehe

    thanks for sharing! nice n great info!

    BalasPadam
  2. wow..menarik ni..nak pegi la

    BalasPadam
  3. bru balik melaka.hehe. sygnya melaka xda sultan

    BalasPadam
  4. Nak pergi sanalah,lama dah teringain nak pergi sana nasib baik ada info ini,tahulah sikit info menarik mengenai PUlau besar ni.

    BalasPadam
  5. wahh...
    thanks cs sudi kongsi pngetahuan ni..
    keep it up. :))

    BalasPadam
  6. kiteorg akn tggl di sna..bdk poli merlimau cos hotel n katering..tpi x sure lg...tggl di hotel marina yg akn dibaik pulih..

    BalasPadam
  7. memang best Pulau Besar ni...last sekali sy dtg lepas kawin klu x silap area thn 2000 bersama2 kwn.klu x silap sy pernah sampai ke Tasuk Biawak tu kena berjalan merentasi padang golf..pantainya n pasir yg putih memang cantik utk mandi... byk biawak besar2 lg...bila da baca fakta2 diatas ni bru sy tau rupanya byk tpt2 bersejarah yg x diketahuai.....memang terbaikkkkkk

    BalasPadam
  8. SALAM, TKASIH UTK INFO PULAU BESA MELAKA

    BalasPadam
  9. SALAM TERIMA KASIH UNTUK INFO INI.

    DATO' SAID

    BalasPadam
  10. Terima kasih atas infonya.

    BalasPadam
  11. Alhamdulillah sya selalu ksana bcuti bsama famili. Cantik tmptmya. Insyallah jumaat ni iaitu lusa skali lg kami terpanggil kesana. Syukur alhamdulillah

    BalasPadam

tinggalkan komentar anda jika entri ini bermanfaat dan menarik untuk anda. segala pandangan sangat dihargai

komenlah dengan berhemah kerana komen anda mencerminkan peribadi dan perwatakan anda :)

komenla menggunakan nama anda atau nama samaran. komen tanpa nama tidak akan dipublish. sekian