Hukum Membayangkan Orang Lain Semasa Bersetubuh

Hukum Membayangkan Orang Lain Ketika Bersetubuh Suami Isteri



Menurut majoriti ulama, hukum membayangkan lelaki dan wanita bukan suami atau isteri semasa melakukan hubungan seks adalah diharamkan. Terutamanya jika ia dijadikan kebiasaan, nafsunya terhadap isteri atau suaminya akan semakin pudar dan beralih kepada si lelaki dan wanita luar yang diharamkan buatnya, maka secara mudahnya ia diharamkan kerana tergolong dalam "Muqaddimat az-Zina" atau jalan-jalan permulaan kepada pelakuan haram zina.

Disebutkan oleh para ulama bahawa :

لأن العين تزني وزناها النظر المحرم، والعقل يزني، وزناه الاشتهاء الخيالي المحرم

Ertinya : "kerana mata itu berzina, dan zinanya adalah pandangan yang haram, dan minda juga berzina dan zinanya adalah membayangkan yang diharamkan"


Justeru mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali menanggapnya adalah salah satu bentuk zina. Sama juga haramnya minum air kosong sambil dibayangkan minuman arak. Demikian yang disebutkan oleh Ibn Al-Haj Al-Maliki (Al-Madkhal) , Ibn Abidin Al-Hanafi, Ibn Al-Mufleh Al-Hanbali (Dipetik dari kitab Ar-Ri'ayah al-Kubra oleh Ibn ‘Aqil).

Bagaimanapun tidaklah hukumannya seberat zina yang sebenar hingga disebat atau direjam hingga mati. Cuma ia tergolong dalam salah satu dosa. Bermakna, berdasarkan hadith Nabi sesiapa yang mendatangi isterinya maka ia beroleh pahala, maka dalam hal ini, ia beroleh dosa kerana pemikirannya itu.

Sebahagian ulama Syafie hanya menganggapnya sebagai makruh dan hanya tergolong dalam bab haram kerana "Sadd az-Zariah" iaitu bagi menutup jalan-jalan maksiat yang mungkin berlaku hasil perbuatan tersebut. Adapun sebagai yang diketahui oleh para ulama, setiap perkara yang diharamkan atau tidak digalakkan kerana Sadd Az-Zariah adalah harus di ketika diperlukan. Bermakna, menurut pandangan sebahagian ulama Syafie, jika si suami sebagai contoh amat tidak mampu bersama dengan isterinya kecuali jika membayangkan wanita lain, jika tidak mereka akan bercerai atau pelbagai mudarat besar lain akan berlaku, di ketika yang khas demikian, perbuatan tadi menjadi baginya. Berdasarkan kaedah

أخف الضررين

Ertinya : "Mudarat yang lebih ringan" ( Al-Asbah Wa An-Nazair, As-Suyuti)

Walaupun demikian, terdapat sebahagian ulama Syafie yang lain sependapat dengan mazhab lain dalam hal mengharamkannya, Antaranya yang disebut oleh al-Iraqi (Rujuk Torhu At-Tathrib)

لو جامع أهله وفي ذهنه مجامعة من تحرم عليه، وصور في ذهنه أنه يجامع تلك الصورة المحرمة فإنه يحرم عليه ذلك

Ertinya : "Sekiranya ia menyetubuhi isterinya dan di dalam pemikirannya seseorang yang haram baginya, maka ianaya adalah haram baginya dan setiap penyerupaan itu"


Kesimpulan saya (Ustaz Zaharuddin Abd Rahman)

Memang benar, sebuah Hadith Qudsi menyatakan bahawa

وإذا تحدث عبدي بأن يعمل سيئة فأنا أغفرها له ما لم يعملها، فإن عملها فأنا أكتبها له بمثلها، وإن تركها فاكتبوها له حسنة ، إنما تركها من جراي" أي من أجلي

Ertinya : "Apabila hambaku bermonolog (memikirkan) untuk melakukan satu kejahatan , maka Aku (Allah) akan mengampunkannya selagi mana ia tidak melakukannya, dan jika ia lakukannya maka akan dituliskan baginya satu dosa, dan jika ditinggalkannya dituliskannya satu pahala, sesungguhnya ditinggalkannya keranaKU" (Muslim)

Bagaimanapun pendalilan menggunakan dalil ini untuk mengharuskan tindakan tadi adalah ditolak oleh majoriti ulama kerana pemikiran sedemikian termasuk dalam kategori permulaan zina yang juga diharamkan oleh Allah SWT.

Malah bukan semua hasrat dalaman hati itu terkecuali dari dosa, malah masih terdapat bentuk yang juga akan diazab seperti hadith lain yang berbunyi :-

إذا التقى المسلمان بسيفهما فالقاتل والمقتول في النار

Ertinya : "Apabila bertemu dua Muslim dengan pedang masing-masing berbunuhan satu sama lain, maka keduanya di dalam neraka"

Nabi menambah apabila ditanya sahabat akan mengapa yang dibunuh juga ke neraka dengan kata Baginda :

إنه كان حريصًا على قتل صاحبه

Ertinya : "Ia sangat ingin dan berazam membunuh saudaranya" (Bukahri dan Muslim)

Ini bermakna apabila ia telah bertindak cuma gagal, ia disamakan dengan mengkhayalakan orang lain ketika persetubuhan yang juga dianggap telah memulakan langkah. Kecualilah jika ia hanya khayalan si bujang.

Pandangan yang terkuat adalah ianya haram sebagaimana majoriti mazhab dan sebahagian ulama Syafie. Sekadar ingin mendapatkan lebih kepuasan dengan tindakan demikian juga adalah haram, malah ia boleh dianggap sebagai suatu penghinaan kepada isterinya. Adapun bagi yang sememangnya amat amat terpaksa, ia boleh menjadi harus dengan syarat tidak memberitahu isterinya atau suaminya akan hal demikian bagi menjaga perasaan mereka. Wallahu'alam. Bagaimanapun ia tidak termasuk dalam kategori zihar.



sumber - Ustaz Zaharuddin.net

1 ulasan:

  1. http://alfalaah-site.blogspot.com/
    jom tgok2 english cotton & catalyst virgin coconut oil.. =)

    BalasPadam

tinggalkan komentar anda jika entri ini bermanfaat dan menarik untuk anda. segala pandangan sangat dihargai