Adab Rasulullah SAW Ketika Makan dan Minum


Semasa makan, ada perkara yang wajib dijaga, dan wujud juga perkara yang sunat digalakkan. Perkara yang wajib dijaga adalah mengelak daripada memakan makanan yang haram, seperti arak, babi, binatang yang tidak disembelih dan sebagainya.

Adapun perkara sunat dijaga ketika makan adalah makan hendaklah secara beradab. Bermakna, apabila makan tidak beradab, ia tidak mendatangkan dosa.

Ada sebilangan manusia, yang makan makanan yang haram, tetapi dalam masa yang sama mereka amat mementingkan adab. Ekoran itu, mereka membaca “bismillah” apabila makan daging babi. Sudah pasti, tindakan ini amat bercanggah dengan konsep Islam.

Ia sama seperti, orang yang mementingkan adab menegur, tetapi dalam masa yang sama, mereka tidak mementingkan usaha melarang daripada berlaku penipuan, melakukan tindakan yang merugikan Islam dan sebagainya. Walhal, menipu adalah perkara yang haram, dan menegur adalah perkara yang wajib, tetapi adab menegur adalah perkara yang sunat.

Walaubagaimanapun, di sini, dipaparkan beberapa hadis yang sempat dihimpunkan berkenaan dengan makan dan minum Nabi S.A.W. Ia adalah seperti berikut ;



MULAKAN DENGAN ”BISMILLAH”

Nabi S.A.W. apabila makan dan minum, pasti memulakan dengan menyebut nama Allah. perbuatan itu, bukan sekadar dilakukan oleh baginda S.A.W. sendiri, malahan dipesan agar dilakukan oleh orang lain.

Bahkan, ia merupakan pesanan yang sering dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. kepada kanak-kanak, yang menunjukkan ia merupakan didikan Nabi S.A.W. terhadap mereka.

Dalam satu hadis, daripada Umar bin Abi Salamah r.a. berkata, “Semasa aku kanak-kanak, aku makan di dalam bilik bersama Rasulullah S.A.W., tanganku melintasi segala piring-piring, lalu disebut oleh Rasulullah S.A.W. ;

يا غلام سم الله ، وكل بيمينك ، وكل مما يليك

Maksudnya ;

Wahai kanak-kanak, sebutlah nama Allah dan makanlah dengan tangan kananmu dan makan makanan yang paling hampir denganmu.”

Dari hadis ini, kita dapat pelajari beberapa perkara berikut ;

Pertama :

Nabi S.A.W., apabila menegur, baginda S.A.W. akan berfikir kesan disebalik teguran. Justeru, apabila kesilapan itu dilakukan oleh seorang kanak-kanak yang bernama Umar bin Abi Salamah, Nabi S.A.W. tidak menggunakan namanya, sebaliknya Nabi Muhammad S.A.W. menggunakan panggilan manja.

Dalam bahasa arab, penggunaan kalimah ”ghulam”, ia merujuk kepada panggilan manja kepada kanak-kanak. Panggilan itu, amat diminati di kalangan kanak-kanak arab.

Ekoran itu, panggilan manja itu digunakan oleh Nabi S.A.W., dalam memberi teguran.

Kedua :

Nabi S.A.W. berpesan agar makan itu dimulakan dengan membaca ”bismillah”. Ia merupakan penentu dalam keberkatan pada makanan itu sendiri.

Di samping itu juga, ketika sedang makan, ada adabnya tersendiri. Antara adab yang ditekankan dalam hadis ini adalah, tidak mengjangkaui tangan ketika mengambil lauk melainkan mengambil yang paling hampir terlebih dahulu.

Tindakan mengambil lauk yang jauh sehingga menjangkaui pinggan dan piring, bukanlah satu perkara yang ditegah oleh syarak. Pun begitu, tindakan ini digalakkan agar tidak dibuat.


KETIKA LUPA BERDOA SEBELUM MAKAN

Kadangkala, ada manusia itu makan terlupa untuk memulakan makan dengan membaca “Bismillah”. Mungkin kerana terlalu lapar, atau sememangnya tidak teringat langsung.

Dalam hadis, daripada Abdullah bin Mas’ud berkata, bersabda Nabi S.A.W. ;

من نسي أن يذكر الله في أول طعامه فليقل حين يذكر : باسم الله في أوله وآخره

Maksudnya ;

“Barangsiapa lupa bahawa menyebut nama Allah pada awal makannya, maka hendaklah dia berkata ketika ingat, dengan Nama Allah pada awalnya dan akhirnya.”





MAKAN DENGAN TANGAN KANAN

Ketika makan, disunatkan makan dilakukan menggunakan tangan kanan. Kekanan dalam semua perkara merupakan amalan terpuji, bahkan ia merupakan amalan orang-orang yang soleh; bertaqwa kepada Allah S.W.T.

Dalam hadis, daripada Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah S.A.W. ada bersabda ;

إذا كان أحدكم فليأكل بيمينه ، فإن الشيطان يأكل بشماله ويشرب بشماله

Maksudnya ;

“Apabila seseorang kamu makan, maka hendaklah dia menggunakan tangan kanannya. Ini kerana, syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya.”

Dari hadis ini, dinyatakan bahawa makan dengan tangan kanan merupakan satu suruhan dari Nabi S.A.W. Dinyatakan juga, bahawa tindakan makan dengan menggunakan tangan kiri adalah amalan syaitan.



TIDAK MINUM BERDIRI

Berdiri ketika minum, menandakan kurang adab ketika minum. Lantaran itu, ada satu hadis daripada Abi Said Al-Khudri berkata ;

أن النبي صلى الله عليه وسلم زجر عن الشرب قائماً

Maksudnya ;

“Sesungguhnya Nabi S.A.W. mencegah minum air dalam keadaan berdiri.”


TIDAK GUNA BEKAS EMAS DAN PERAK

Bukan sekadar kurang adab, malahan merupakan satu dosa, apabila seseorang itu minum dan makan dengan menggunakan bekas daripada emas dan perak.

Tindakan menggunakan emas dan perak ketika makan dan minum, merupakan kesombongan, walhal sifat sombong ini tidak layak wujud pada manusia.

Daripada satu hadis, daripada Huzaifah bin Al-Yaman berkata, aku dengar Nabi S.A.W. bersabda ;


ولا تشربوا في آنية الذهب والفضة ، و لا تأكلوا في صحافها فإنها لهم في الدنيا ولنا في الآخرة

Maksudnya ;

“Jangan kamu minum dengan menggunakan bekas-bekas yang diperbuat daripada emas dan perak. Juga, jangan makan dengan menggunakan pinggan-pinggannya. Ini kerana, bagi mereka di dunia, tetapi ia bagi kita di akhirat.”


CARA MAKAN DAN MINUM

Nabi S.A.W. mempunyai cara-caranya tersendiri ketika makan dan minum. Nabi S.A.W. apabila makan, baginda pasti akan menggunakan tiga jarinya.

Daripada Kaab bin Malik berkata ;

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يأكل بثلاث أصابع ، ويلعق يده قبل أن يمسحها

Maksudnya ;

“Rasulullah S.A.W. makan dengan tiga jarinya, lalu menjilat tangannya sebelum membersihkannya.”



TIDAK MENCELA MAKANAN

Kadang-kadang, ketika kita makan, ada makanan yang kita tidak selera. Ataupun, mungkin faktor makanan tersebut tidak sedap dan sebagainya.

Perasaan sebegitu, tidak sekadar berlaku pada diri kita sahaja, malahan berlaku juga pada diri Nabi Muhammad S.A.W. Justeru, apakah tindakan Nabi S.A.W. ketika berlaku sedemikian?

Dalam hadis, daripada Abu Hurairah berkata ;

ما عاب النبي صلى الله عليه وسلم طعاماً قط ، ان اشتهاه أكله وإن كرهه تركه

Maksudnya ;

“Nabi S.A.W. tidak pernah mencela makanan sedikitpun. Sekiranya Nabi S.A.W. berminat, pasti baginda akan memakannya. Dan jika baginda tidak menyukainya, baginda akan meninggalkannya.”



TIDAK MAKAN BANYAK

Nabi S.A.W. tidak pernah makan banyak seperti kita. Jika kita makan, kadangkala mengjangkaui kekenyangan teramat sangat, sehingga bersedawa 3 hingga 5 kali. Perbuatan tersebut tidak disukai oleh Nabi S.A.W.

Justeru, daripada satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar, daripada Nabi S.A.W. bersabda;


الكافر يأكل في سبعة أمعاء والمؤمن يأكل في معىً واحد

Maksudnya ;

“Orang kafir makan dengan tujuh perut, walhal orang mukmin itu makan dengan satu perut sahaja.”





MAKAN SECARA BERJEMAAH

Berjemaah merupakan satu tuntutan. Ia kerana, berjemaah mewujudkan sikap saling membantu. Apabila wujud seorang yang susah, pasti dengan berjemaah, seorang kawan yang lain pasti akan membantu. Apabila keadaan ini berlaku, sebarang kesulitan dapat diselesaikan dengan baik.

Di sebalik kebaikan berjemaah ini, wujud juga keberkatan. Berkat diterjemah sebagai “zat” jika dinisbahkan kepada makanan.

Ada manusia yang makan banyak, tetapi muka mereka pucat. Apabila ditanya, mengapa muka pucat, walhal makan banyak? Jawapan yang kita akan kedengari adalah, makanan tersebut makanan yang tidak mempunyai zat.

Dalam menjalani kehidupan, perkara ’zat’ amat penting. Sepertimana perlunya zat pada makanan untuk mencapai kesihatan tubuh badan, maka begitu juga dalam perkara selain daripada makanan.

Ada manusia yang mempunyai harta yang banyak, tetapi hartanya mudah habis. Tetapi, ada manusia yang mempunyai harta yang sedikit, tetapi hartanya susah habis.

Ada orang yang mempunyai kekayaan yang mengkagumkan. Apabila dilihat di dalam bank, wang simpanan mereka menjangkaui jutaan ringgit. Namun begitu, kehidupan si kaya tersebut tidak pernah tenang; masalah dalam keluarga sering terjadi, seperti kecurian, kena tipu, masalah anak-anak dan sebagainya. Segala kekalutan dalam kehidupan itu berpunca daripada ketiadaan berkat.

Dalam mencapai keberkatan, Nabi S.A.W. amat meminta agar umat mencarinya. Sehingga sampai satu tahap, dalam perkara yang melibatkan makan pun dituntut.

Dalam satu hadis, daripada Wahsyi bin Harb, daripada bapanya dan daripada atuknya berkata;

أن أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم قالوا : يا رسول الله إنا نأكل ولا نشبع قال : فلعلكم تفترقون قالوا : نعم ، قال : فاجتمعوا على طعامكم ، واذكروا اسم الله عليه ، يبارك لكم فيه

Maksudnya ;

“Sesungguhnya para sahabat Nabi S.A.W. bertanya,


Wahai Rasulullah S.A.W., sesungguhnya kami makan, tetapi kami tidak pernah merasa kenyang”.

Berkata Nabi S.A.W., “Mungkin kamu makan bersendiri-sendirian?”. Jawab sahabat, “Benar”. Bersabda Nabi S.A.W., “Berhimpunlah atau berjemaahlah pada makanan kamu, dan sebutlah nama Allah atasnya, mudah-mudahan Allah memberi keberkatan kepada kamu pada makanan tersebut.”



BERKEADAAN DUDUK KETIKA MAKAN

Ketika makan, Nabi S.A.W. amat menjaga cara dan kaedah duduk. Nabi S.A.W. tidak pernah makan dalam keadaan bersandar, seperti hadis yang diriwayatkan daripada Abu Juhaifah, bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda ;

إني لا آكل متكئاً

Maksudnya ;
“Sesungguhnya aku tidak akan makan dalam keadaan bersandar.”

Begitujuga hadis daripada Anas bin Malik berkata;

رأيت النبي صلى الله عليه وسلم مقعياً يأكل تمراً

Maksudnya;

“Aku nampak Nabi S.A.W. dalam keadaan duduk ketika makan buah kurma.”

Bahkan, makan dalam keadaan merupakan tanda manusia itu sebagai manusia yang merendah diri, tidak manusia yang sombong dan samseng.

Dalam hadis, daripada Abdullh bin basar berkata, “Aku telah menghadiahkan kepada Nabi S.A.W. seekor kambing. Nabi S.A.W. makan kambing tersebut sambil duduk, menyebabkan seorang badwi bertanya, “mengapa duduk?”

Mendengar kata badwi itu, Nabi S.A.W. terus bersabda ;

إن الله جعلني عبداً كريماً ، ولم يجعلني جباراً عنيداً

Maksudnya ;

“Sesungguhnya Allah S.W.T. menjadikan aku hamba yang mulia, dan tidak menjadikan aku orang yang sombong dan degil.”






MEMINUM SUSU

Dalam banyak-banyak minuman yang wujud di atas muka bumi, susu merupakan minuman yang cukup disukai oleh Nabi S.A.W.

Ekoran itu, jika dilihat pada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, bahawa dia berkata, apabila Nabi S.A.W. makan makanan yang biasa, Nabi S.A.W.akan berdoa seperti berikut;

اللهم بارك لنا فيه ، وأطعمنا خيراً منه

Maksudnya;

‘Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami pada makanan ini. dan berilah makanan kepada kami yang lebih baik daripada ini”

Pun begitu, ketika baginda SAW minum susu, baginda akan berdoa seperti berikut;

اللهم بارك لنا فيه ، وزدنا منه ، فإنه ليس شيء يجزئ من الطعام والشراب إلا اللبن.

Maksudnya ;

“Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami pada susu ini, dan tambahilah susu ini untuk kami. Ini kerana, tidak ada yang dapat mengatasi makan dan minuman melainkan susu.”




sumber dipetik dari : halaqah.net 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

tinggalkan komentar anda jika entri ini bermanfaat dan menarik untuk anda. segala pandangan sangat dihargai