iklan baris

Latar Belakang Nik Aziz Nik Mat

Tiada ulasan:



Jika belum mengenali siapa Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang sebenarnya, bolehlah ambil masa untuk membaca kisah dan biodata beliau yang agak menarik ini. Semoga menjadi manfaat buat kita semua.


Biodata YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.

Pengajian :

1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.

Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.

Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.

Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.


Perkhidmatan :

Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.

Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.

Karier Politik :

Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.

Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.

Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.

Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.


Pendakwah :

Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.


Seorang Petah Bercakap

Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi.

Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.


Keistemewaan :

Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.

Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.


Penghargaan :

Beliau mendapat penghargaan:

1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.


Perkahwinan :

Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.

Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.

Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh dengan kitab agama.

Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.

Ahli Parlimen yang komited :

Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.

Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.

Kerajaan contoh :

Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.

Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak dalam dan luar negeri, Tuan Guru Haji Abdul Aziz masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu.


 Di sinilah di Dewan Zulkifli Muhammad inilah, ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang dikasihi dan dihormati itu



Nik Aziz Meninggal Dunia

Tiada ulasan:




Mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia malam ini.

Anaknya, Nik Abduh mengesahkan perkara itu di Facebook.

"Dengan izin tuhannya, para malaikat datang menyempurnakan tugas mengiringi roh ayahanda menuju penciptanya tepat jam 9.40 pada malam Jumaat yang agung.

"Semoga ayahanda berbahagia di sisi Allah," katanya dalam rakaman di laman itu.

Katanya lagi, jenazah bapanya itu akan disembahyangkan pada jam 10 pagi esok di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka.

Gambar yang dirakam pada malam ini menujukkan ramai penyokong berhimpun di perkarangan rumah bapanya itu di Pulau Melaka.

Terdahulu, Nik Aziz dibawa pulang ke kediamannya dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian jam 8.40 malam ini.

Nik Abduh dalam tulisan terdahulu di Facebook petang ini berkata, tahap kesihatan bapanya itu merosot selepas rawatan ulser semalam.

Bekas menteri besar itu, yang turut mengidap kanser prostat dimasukkan ke HUSM pada 19 Januari lalu.

Tahap kesihatannya merosot ketika bah besar melanda negeri itu.

Allahyarham, 84, meninggalkan seorang isteri, Tuan Sabariah Tuan Ishak dan sepuluh orang anak.

Seorang daripadanya, Nik Abduh menjadi ahli politik PAS dan kini menjadi MP Pasir Mas.

Allahyarham mendapat pendidikan dalam bahasa Arab dan perundangan di Universiti Al-Azhar di Mesir dan merupakan seorang ulama yang disegani di kalangan masyarakat Islam.

Nik Abdul Aziz memenangi kerusi parlimen Kelantan Hilir (kini Pengkalan Chepa) dalam pilihan raya kecil 1967, selepas menyertai PAS pada tahun itu.

Beliau juga memainkan peranan utama dalam mengukuhkan semula PAS dan membolehkan parti itu menawan semula Kelantan pada 1990 dan menamatkan pentadbiran BN selama 12 tahun.

Beliau seterusnya dilantik menjadi menteri besar dan kekal di jawatan tersebut sebelum bersara pada 2013.



10 Janji Allah Kepada Mereka Yang Ingin Berkahwin

Tiada ulasan:




Apabila seorang muslim baik lelaki atau wanita akan berkahwin, biasanya akan timbul pelbagai perasaan akan timbul. Ada rasa gundah, resah, risau, bimbang, termasuk juga tidak sabar menunggu datangnya si pendamping. Bahkan ketika dalam proses taaruf sekalipun masih ada juga perasaan keraguan.

Inilah khabar gembira berupa janji Allah bagi orang yang akan berkahwin. Bergembiralah wahai saudaraku…


1. “Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula),dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)”. (An Nuur : 26)

Bila ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka perbaikilah diri. Hiduplah sesuai dengan ajaran Islam dan Sunnah Nabi-Nya. Jadilah lelaki yang soleh, jadilah wanita yang solehah. Semoga Allah memberikan hanya yang baik buat kita. Amin.

2. “Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”. (An Nuur: 32)

Sebahagian para pemuda ada yang merasa bingung dan bimbang untuk berkahwin. Salah satu sebabnya adalah kerana belum mempunyai pekerjaan. Dan yang telah mempunyai pekerjaan pun tetap ada perasaan bimbang juga. Sebahagian mereka tetap ragu nilai gajinya. Dalam fikiran mereka, “apakah gaji ini cukup untuk berkeluarga dengan gaji sekian?”.

Ayat tersebut merupakan jawapan buat mereka yang ragu untuk melangkah ke jinjang pernikahan kerana alasan ekonomi. Yang perlu ditekankan kepada para pemuda dalam masalah ini adalah kesanggupan untuk memberi nafkah, dan terus bekerja mencari nafkah memenuhi keperluan keluarga.

Allah akan menolong mereka yang menikah. Allah Maha Adil, apabila tanggungjawab para pemuda bertambah – dengan kewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya, maka Allah akan memberikan rezeki yang lebih. Tidakkah kita lihat kenyataannya di masyarakat, banyak mereka yang semula miskin tidak mempunyai apa-apa ketika berkahwin, kemudian Allah memberinya rezeki yang berlimpah dan mencukupkan keperluannya?

3. “Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya”. (HR. Ahmad 2: 251, Nasaiy, Tirmidzi, Ibnu Majah hadits no. 2518, dan Hakim 2: 160)

Bagi siapa sahaja yang berkahwin dengan niat menjaga kesucian dirinya, maka berhak mendapatkan pertolongan dari Allah berdasarkan penegasan Rasulullah dalam hadits ini. Dan pertolongan Allah itu pasti datang.

4. “Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”. (Ar Ruum : 21)

5. “Dan Tuhanmu berfirman : ‘Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina’ “. (Al Mu’min : 60)

Ini juga janji Allah ‘Azza wa Jalla, bila kita berdoa kepada Allah nescaya akan diperkenankan-Nya. Termasuk di dalamnya ketika kita berdoa memohon diberikan pendamping hidup yang agamanya baik, cantik, taat, dan sebagainya.

Dalam berdoa, perhatikan adab dan sebab terkabulnya doa. Diantaranya adalah ikhlas, bersungguh-sungguh, merendahkan diri, menghadap kiblat, mengangkat kedua tangan, dan lain – lain.

Perhatikan juga waktu-waktu yang mustajab dalam berdoa. Diantaranya adalah berdoa pada waktu sepertiga malam yang terakhir dimana Allah ‘Azza wa Jalla turun ke langit dunia, dan pada waktu antara azan dan iqamah,

Perhatikan juga penghalang terkabulnya doa. Diantaranya adalah makan dan minum dari sumber yang haram, dan berpakaian dari usaha yang haram serta melakukan apa yang diharamkan Allah,

Manfaat lain dari berdoa bererti kita meyakini keberadaan Allah, mengakui bahawa Allah itu tempat meminta, mengakui bahawa Allah Maha Kaya, dan mengakui bahawa Allah Maha Mendengar.

Sebahagian orangapabila jodohnya tidak kunjung datang maka mereka pergi ke dukun-dukun berharap agar jodohnya lancar. Cara seperti ini jelas dilarang oleh Islam. Perhatikan hadis-hadis berikut yang merupakan peringatan keras dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam:

“Barang siapa yang mendatangi peramal / dukun, lalu dia menanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam”. (Hadis sahih riwayat Muslim (7/37) dan Ahmad).

Telah bersabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Maka janganlah kamu mendatangi dukun-dukun itu.” (Sahih riwayat Muslim juz 7 hal. 35).

Telah bersabda Nabi SAW, “Sesungguhnya jampi-jampi (mantera) dan guna-guna itu adalah (hukumnya) syirik.” (Hadis sahih riwayat Abu Dawud (no. 3883), Ibnu Majah (no. 3530), Ahmad dan Hakim).

6. “Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat“. (Al Baqarah : 153)

Mintalah tolong kepada Allah dengan sabar dan solat. Agar datang pertolongan Allah, maka kita juga harus bersabar sesuai dengan Sunnah Nabi dan terbebas dari bid’ah-bid’ah.

7. “Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan”. (Alam Nasyrah : 5 – 6)

Ini juga janji Allah. Mungkin terasa bagi kita jodoh yang dinanti tidak kunjung datang. Segalanya terasa sulit. Tetapi kita harus tetap berbaik sangka kepada Allah dan yakinlah bahawa sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Allah sendiri yang menegaskan dua kali dalam Surat Alam Nasyrah.

8. “Hai orang-orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”. (Muhammad : 7)

Agar Allah menolong kita, maka kita tolong agama Allah. Baik dengan berinfak di jalan-Nya, membantu penyebaran dakwah Islam dengan penyebaran buletin atau buku-buku Islam, membantu penyelenggaraan pengajian, dan sebagainya. Dengan itu semoga Allah menolong kita.

9. “Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa”. (Al Hajj : 40)

10. “Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”. (Al Baqarah : 214)

Itulah janji Allah. Dan Allah tidak akan menyalahi janjinya. Kalaupun Allah tidak / belum mengabulkan doa kita, tentu ada hikmah dan kasih sayang Allah yang lebih besar buat kita. Kita harus berbaik sangka kepada Allah. Inilah keyakinan yang harus ada pada setiap muslim.

Jadi, kenapa ragu – ragu dengan janji Allah?

Kisah Abu Dzar Al Ghifari dan Pembunuh Yang Amanah

Tiada ulasan:



Seorang pemuda sedang dalam satu perjalanan yang jauh, berasa amat letih. Dia pun berhenti berehat di satu kawasan perkampungan dan melepaskan kudanya mencari makan di situ. Oleh kerana keletihan, pemuda itu tertidur di bawah pokok. Kudanya yang kelaparan merayau di satu kawasan ladang dan meragut tanaman di situ. Tidak berapa lama kemudian, sang petani yang memiliki ladang itu pun balik. Melihatkan habis tanamannya musnah, petani itu hilang kesabaran lalu membunuh kuda yang memakan tamannya.

Apabila terjaga dari tidur, pemuda itu mencari kudanya. Puas dia mencari tidak juga berjumpa. Akhirnya dia ternampak bangkai kudanya di sebuah ladang. Melihat keadaan itu, dia menjadi marah dan mencari pembunuh kudanya. Dia terus meluru ke sebuah rumah berhampiran.

Sebaik saja menjumpai tuan rumah, dia terus menghamun dan berlakulah pergaduhan dan akhirnya petani itu terbunuh. Peristiwa itu diketahui orang ramai. Pemuda itu dibawa berjumpa khalifah untuk diadilkan. Mengikut hukum qisas, bunuh dibalas dengan bunuh. Khalifah memerintahkan supaya dia dipenjarakan sehari semalam sebelum dia dipancung pada jam 5.00 keesokan petangnya. Pemuda itu merayu supaya dia dibenarkan balik dahulu berjumpa ibunya untuk menyelesaikan satu perkara yang amat mustahak.

Khalifah tidak meluluskan rayuan pemuda itu. Namun pemuda itu tidak berputus asa dan terus merayu sambil menyatakan dia mempunyai tanggungjawab yang mesti diselesaikan sebelum dia dihukum bunuh. Dia berjanji akan balik segera sebaik saja urusannya selesai. Khalifah meminta pandangan waris si mati. Anak petani itu tidak mengizinkan pemuda itu pergi kerana bimbang dia tidak akan datang lagi untuk menerima hukuman mati.

Berkali-kali pemuda itu merayu dan bersumpah akan datang semula, namun tiada seorangpun menunjukkan tanda simpati. Akhirnya tampil seorang tua menuju mengadap khalifah menyatakan kesanggupan untuk menjadi tebusan bagi membolehkan pemuda itu balik ke rumah. Orang tua itu tidak lain tidak bukan ialah Abu Zar, seorang sahabat Nabi yang banyak merawikan Hadith. Melihat apa yang berlaku, semua hadirin tercengang dan sebahagian besar memarahi Abu Zar kerana tindakannya yang membahayakan diri sendiri. Abu Zar berjanji untuk menjadi tebusan dan membenarkan pemuda itu pulang menyelesaikan masalahnya. Melihat kejadian ini, pemuda itu menjadi tenang dan mengikat janji bahawa dia akan pulang semula untuk pancung sebaik sahaja urusannya selesai. Abu Zar faham kegagalan pemuda itu menunaikan janji akan mengakibatkan nyawanya tergadai.

Ketika ditanya Khalifah bagaimana dia sanggup meletakkan dirinya dalam keadaan membahayakan, Abu Zar menerangkan demi keluhuran Islam, dia sangat malu melihat tiada siapapun sanggup menghulurkan bantuan ketika pemuda asing itu dalam kesusahan yang amat sangat. Pemuda itu dibenarkan pulang ke rumah sementara Abu Zar pula dikurung di penjara.

 Pada keesokan petangnya, penuh sesak manusia menuju ke istana khalifah untuk menyaksikan episod yang mencemaskan. Ramai menganggap Abu Zar akan dibunuh kerana kemungkinan besar pemuda itu tidak akan datang menyerahkan lehernya untuk dipancung. Saat yang mendebarkan berlaku apabila beberapa minit lagi jam lima petang, pemuda itu masih belum tiba. Abu Zar dikeluarkan dari kurungan. Kegagalan pemuda itu menghadirkan diri akan menyebabkan Abu Zar menjadi mangsa.

Di saat terakhir, orang ramai melihat kelibat seorang lelaki menunggang seekor kuda dengan amat kencang sekali. Ketika itu riak cemas orang ramai bertukar menjadi reda. Tepat sekali bagaimana dijanjikan pemuda itu sampai genap jam lima petang. Pemuda itu lantas turun di hadapan Khalifah seraya meminta maaf kerana 'terlambat' menyebabkan suasana tegang dan cemas. Pemuda itu menerangkan sepatutnya dia sampai lebih awal, tetapi terlewat disebabkan tali kudanya putus di tengah perjalanan.

Dia menerangkan urusan yang dikatakannya amat penting dulu ialah kerana terpaksa menyelesaikan tanggungjawabnya sebagai penjaga harta anak-anak yatim dan menyerahkan tugas itu kepada ibunya. Pemuda itu berjumpa Abu Zar untuk mengucapkan terima kasih di atas kesanggupannya menjadikan dirinya sebagai tebusan.

Selepas itu dia segera ke tempat dilakukan hukuman pancung. Ketika pengawal hendak menghayun pedangnya, tiba-tiba anak petani dengan suara yang kuat meminta hukuman dibatalkan. Dengan rela hati dia memaafkan kesalahan pemuda itu. Mendengar kata-kata anak petani itu, pemuda itu amat lega dan terus sujud tanda syukur kepada Allah.