( PAKEJ SUPER ADS ) KLIK SINI UNTUK BERIKLAN

Qarin : Makhluk Halus Pendamping Manusia



Qarin ialah perkataan Arab yang bermakna
 teman atau rakan. Istilah qarin di sini bermaksud roh-roh jahat dari kalangan makhluk-makhluk halus yang mengiringi kelahiran seseorang bayi. Kewujudan qarin ini ialah untuk menggoda manusia, menampakkan hal-hal yang buruk dan yang jahat-jahat seolah-olah baik pada pandangan mata manusia. Qarin sentiasa berusaha untuk menjerumuskan manusia dengan mengajak mereka melakukan kemungkaran dengan cara menggoda, merayu, memujuk dan menipu.

Semua manusia mempunyai qarin termasuklah Nabi atau orang yang alim. Allah SWT berfirman: “Dan demikianlah kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh dari jenis manusia dan jin, sebahagian daripada mereka membisikkan kepada yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu.” (QS Al-An’am: 112)


Rasulullah SAW pernah bersabda yang berbunyi: “Tidaklah salah seorang daripada kamu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah dipertemankan dengan seorang kawannya daripada jin dan seorang kawannya daripada kalangan malaikat.” Sahabat bertanya: “Adakah engkau juga, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: “Dan saya pun. Akan tetapi Allah menolong saya daripada gangguannya, maka tidaklah ia mendorong saya, kecuali kepada kebaikan.”

Tersebut dalam Al-Quran tentang tugas-tugas malaikat. Di antara mereka ada yang tugasnya mencatat amalan makhluk setiap hari, mencatat segala ucapan, dan ada yang membawa wahyu kepada rasul-rasul dan nabi-nabi. Ada pula yang menjadi duta-duta. Ada pula yang bertugas memelihara Al-Quran, ada yang menjaga syurga dan ada yang menjaga neraka. Di antara mereka juga ada yang sentiasa berdoa siang dan malam, memuji-muii Allah dan bersujud. Ada pula yang sentiasa berdoa agar makhluk yang taat kepada Allah diberi keampunan. Tersebut juga dalam Al-Quran tentang adanya malaikat yang datang membawakan ilham kepada Maryam bahawa dia akan diberi putera, atau yang kelihatan oleh Rasulullah SAW ketika beliau mula-mula menerima wahyu. Disebut juga tentang malaikat yang bersayap, satu-satu, dua-dua, tiga-tiga dan empat-empat.

Tersebut juga dalam Al-Qu'ran bahawa malaikat yang datang membawa wahyu kepada rasul-rasul itu namanya Jibril AS, yang juga disebut Ruhul-Amin dan Ruhul-Qudus. Manusia yang sentiasa beriman dan istiqamah (tetap hati) akan didatangi oleh malaikat-malaikat untuk menghilangkan rasa takut dan dukacita mereka.

Dalam peperangan Badar, malaikat telah datang menolong orang-orang Islam, sampai 3,000 malaikat jumlahnya. Dijelaskan juga dalam hadis-hadis bahawa malaikat-malaikat itu memberi ilham yang baik kepada manusia, yang melahirkan keteguhan semangat dan iman. Ketika manusia diberi ilham yang baik oleh malaikat atau was-was yang buruk oleh syaitan, maka yang menerima ilham atau was-was itu bukanlah badan kasar, melainkan roh manusia jua. Tidak ada seorang pun yang dapat melihat dengan matanya sama ada malaikat atau syaitan yang datang memberi ilham atau waswas, melainkan pengaruh mereka itu masuk ke dalam jiwa atau perasaan orang yang berkenaan.

Kenyataan ini dikuatkan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi & An-Nasa'i: “Sesungguhnya dari syaitan ada semacam gangguan kepada anak Adam, dan dari malaikat pun ada pula. Adapun gangguan syaitan ialah menjanjikan kejahatan dan mendustakan kebenaran, dan sentuhan malaikat ialah menjanjikan kebaikan dan menerima kebenaran. Maka barang siapa merasai yang demikian, dia hendaklah mengetahui bahawa perkara itu dari Allah, dan terima kasihlah ia kepadanya. Tetapi kalau didapatinya yang lain, maka dia hendaklah berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam. Kemudian ia membaca: “Syaitan menyuruh menjanjikan kamu kefakiran dan menyuruh kamu melakukan kekejian.”

Telah berkata Sayyidatina Aishah r.a.: Bahawasanya Rasulullah SAW telah keluar dari sisinya pada satu malam, tiba-tiba berlakulah satu tiupan (syaitan) terhadapnya. Maka Rasulullah pun datang melihat perkara yang sedang saya lakukan. Baginda bertanya: “Apakah yang terjadi Aishah?” Maka saya menjawab: “Apa halnya saya, tidak diberi daya sebagaimana yang dikurniakan kepada engkau?” Jawab Rasulullah SAW: “Adakah syaitanmu telah datang?”. Maka saya menjawab: “Wahai Rasulullah. Adakah syaitan bersamaku?” Jawab baginda: “Ya.” Saya bertanya lagi: “Adakah terjadi pada tiap manusia?” Jawab baginda: “Ya.” Maka saya pun bertanya: “Adakah juga berlaku atasmu, wahai Rasulullah?” Jawab Rasulullah: “Ya, tetapi Tuhanku memelihara akan daku hingga aku selamat daripada tipu dayanya. Sesungguhnya tidak ada seorang daripada manusia (yang dilahirkan) melainkan dikembari Allah seorang jin sebagai kawan.”

Jelasnya bahawa setiap orang itu mempunyai qarin. Maksud qarin di sini ialah syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia. Di antara qarin dan manusia, perbezaannya ialah manusia adalah seumpama bahan tunggangan, manakala qarin (iblis dan syaitan) tadi adalah penunggangnya. Demikianlah, perbandingan yang diberi oleh Rasulullah SAW. Maksud menunggang atau memperkosa di sini bukanlah seumpama manusia itu menunggang kuda, menjadikan syaitan itu seumpama seorang penunggang yang sentiasa berada di atas jasad manusia dalam keadaan yang tidak dapat dilihat.

Iblis dan syaitan sentiasa berazam dan berusaha supaya manusia menurut kehendaknya. Banyak di antara mereka yang terpedaya dengannya sehingga menjadikan manusia itu memandang benda-benda yang baik itu buruk dan yang buruk itu baik serta menarik, cantik serta mengghairahkan, lantas mereka menentang perintah Allah SWT. Mereka inilah golongan yang menjadi bahan tunggangan qarin tadi.

Gambaran godaan iblis dan syaitan terhadap manusia dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud bahawa seseorang itu apabila hendak menganut agama Islam, iblis akan menggoda dan menipu manusia. Syaitan akan bertanya adakah mereka hendak meninggalkan agama asal mereka, iaitu agama yang telah dianuti oleh bapa-bapa dan keturunan mereka sejak dahulu kala lagi.

Ketika manusia hendak berhijrah, iblis dan syaitan bertanya, adakah mereka sanggup meninggalkan tanahair yang telah mereka diami sejak dahulu kala. Adakah mereka akan meninggalkan langit atau tempat mereka berlindung. Padahal tempat yang hendak dituju belum pasti dapat menjamin kebahagiaan mereka. Begitu juga halnya ketika manusia hendak berjihad ke jalan Allah. Iblis dan syaitan menakut-nakutkan manusia supaya mereka sayangkan dunia yang begitu indah termasuk harta benda yang mereka miliki. Kemudian dibisikkan dalam hati mereka adakah mereka sanggup melihat isteri-isteri dikahwini oleh orang lain apabila mereka mati ketika berjihad. Harta yang ditinggalkan akan dibahagi-bahagi untuk orang yang masih hidup. Orang lain bersuka ria menikmati harta peninggalan. Isteri yang ada berkahwin lain. Perjuangan seumpama ini adalah merugikan.

Begitulah gambaran ringkas atas tamsil yang terjadi diantara manusia dan qarinnya atau dengan syaitan lain. Hanya manusia yang leka dan sesat sahaja yang akan terpedaya dengan qarinnya yang boleh diperintah dan dipacu menurut kehendaknya. Mereka inilah yang akan menjadi kuda tunggangan iblis dan syaitan.

Inilah jawapan Allah SWT ketika iblis laknatullah bersumpah akan membinasakan manusia: “Sesungguhnya hamba-hambaku tidak ada kekuasaan bagimu atas mereka, kecuali orang yang mengikuti kamu iaitu orang-orang yang sesat.” (QS Al-Hijr: 42)

Selain gangguan qarin, Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab sahihnya bahawa Rasulullah SAW ada bersabda, yang bermaksud bahawa tidak ada anak Adam yang dilahirkan ke dunia ini yang tidak diganggu oleh syaitan kecuali Isa 'alaihissalam dan ibunya Maryam berdasarkan firman Allah SWT: “Sesungguhnya aku melindungi akan dia (Maryam) serta anak keturunannya daripada syaitan yang direjam.” (QS Ali Imran: 36)

Lantaran gangguan-gangguan yang sedia menunggu itu maka Allah menyuruh supaya dibacakan azan (bang) di telinga kanan dan (qamat) di telinga kiri sebaik-baik seorang bayi itu dilahirkan yang salah satu tujuannya untuk mengelakkan daripada gangguan iblis dan syaitan.

Dari Abu Rafi r.a. (bekas hamba yang dimerdekakan oleh Rasulullah SAW) ia berkata: “Aku lihat Rasulullah SAW membaca azan solat di telinga Husain bin Ali ketika Fatimah r.a. melahirkannya.”

Sebuah hadis lain, dari Husain bin Ali r.a., ia berkata bahawa Rasulullah SAW ada bersabda: “Siapa yang melahirkan anak lalu bayi yang dilahirkan itu diazankan pada telinga kanan dan diqamatkan pada telinga kirinya, nescaya ummu sibyan (jin yang menganggu kanak-kanak) tidak akan menganggunya.”

Sehubungan dengan gangguan-gangguan ini, Rasulullah SAW ada bersabda yang berbunyi: “Apabila malam meliputi (atau apabila malam menyelubungi) maka cegahlah anak-anak kamu, kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu berkeliaran ketika itu. Maka apabila luputlah satu ketika daripada Isyak, maka berilah kebebasan kepada mereka, selak pintu kamu serta sebut nama Allah dan padamkan lampu serta sebut nama Allah, dan tudunglah bekas-bekas minuman kamu dan sebut nama Allah, dan tutuplah bekas-bekas makanan dan menyebut nama Allah biarpun bekas itu telah ditudungi atau direntangi sesuatu ke atasnya.” (HR Bukhari)

Jelasnya anak-anak kecil perlu berada dalam rumah pada waktu maghrib. Jangan biarkan mereka berada di luar rumah kerana pada masa itu segala jenis makhluk halus sedang keluar dari tempat kediaman masing-masing untuk mencari rezeki sambil mengenakan mangsanya.

Hakikatnya, malam bukan masa untuk manusia keluar dari rumah seperti yang seharusnya dilakukan pada waktu siang. Malam adalah untuk berehat, menenangkan fikiran dengan mengingati Allah, bukan untuk berkeliaran di luar rumah seperti firmanNya: “Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu beristirehat padanya dan menjadikan siang terang benderang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang yang mendengar.” (QS Yunus: 67)

Rasulullah SAW menyuruh supaya setiap orang mengurangkan keluar pada waktu malam kerana pada waktu malam segala kejahatan buruk boleh terjadi tanpa diduga. Keluar pada malam itu tidak digalakkan kecuali sebab-sebab tertentu. Apatah lagi jika keluar seorang diri. Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah bersabda: “Andainya manusia itu tahu apa yang terjadi ketika berseorangan, seseorang itu tidak akan berjalan bersendirian biarpun satu malam buat selama-lamanya.”

Menurut kepercayaan keagamaan orang Mesir pada zaman lampau, qarin ialah makhluk kedua dalam setiap individu, atau secara umumnya sebagai teman, rakan dan syaitan. Dengan kata lain, qarin umumnya dipercayai sebagai hantu, syaitan atau jin yang lahir bersama-sama bayi dan akan menjadi teman sepanjang hidup.

Kepercayaan orang-orang Islam di Afrika Utara terhadap qarin berkait rapat dengan kepercayaan orang-orang Mesir. Jin yang terdiri daripada jantina yang berlainan menjadi rakan pada roh. Sekiranya bayi yang lahir itu lelaki, maka qarin itu dianggap sebagai kakak, begitulah sebaliknya. Qarin dikatakan tidur dengan kembarnya dan mempunyai kaitan dalam tidurnya yang dikenali sebagai mimpi.

Seorang yang sedang tidur dikatakan pengaruh qarinnya lebih kuat daripada orang itu. Dibandingkan dengan jumlah makhluk-makhluk lain, jumlah manusia adalah yang terkecil. Nisbah bilangan manusia hanya 1 %, bilangan jin 9%, manakala malaikat ialah 90%. Rasulullah SAW ada bersabda yang berbunyi: “Sesungguhnya Allah mencipta malaikat dan jin juga manusia 10 bahagian. Kadar malaikat 9 bahagian, jin dan manusia satu bahagian. Allah ciptakan dari satu bahagian itu dipecahkan kepada 10 bahagian. 9 bahagian daripadanya adalah bilangan jin dan hanya satu bahagian sahaja bilangan manusia.”



Wallahua’lam.

(PAKEJ STYLEZ ADS)klik sini untuk beriklan

1 ulasan:

  1. zulqarnain.
    info ni memang bagus,
    saya ada soalan
    adakah bayi lelaki dan perempuan di azankan dan di iqamahkan sama sahaja,

    BalasPadam

tinggalkan komentar anda jika entri ini bermanfaat dan menarik untuk anda. segala pandangan sangat dihargai

komenlah dengan berhemah kerana komen anda mencerminkan peribadi dan perwatakan anda :)

komenla menggunakan nama anda atau nama samaran. komen tanpa nama tidak akan dipublish. sekian