iklan baris

Sejarah Bermulanya Puasa Bulan Ramadhan | Asal-Usul Puasa Bulan Ramadhan


Assalamualaikum dan salam hormat buat semua pembaca blog yang dirahmati Allah sekalian.  Saya pasti ramai diantara tidak mengetahui sejarah permulaan disyariatkan puasa ramadhan. atau dalam erti kata mudah bilakah umat islam mula diwajibkan berpuasa ..

Ibadah Sawm atau berpuasa di bulan Ramadhan adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima. Memahami dan mengetahui tentang sejarah Tasyri' ibadah tersebut akan membolehkan kita sampai kepada maksud supaya setiap amal ibadah dilakukan dalam keadaan kita faham dan tahu matlamatnya.

Ibadah puasa Ramadhan telah disyariatkan oleh Allah SWT pada bulan Syaaban tahun kedua Hijrah dengan terwahyunya firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat ke-183 dan 184:

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa itu telah diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan kepada umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa. Iaitulah pada hari-hari yang ditetapkan. Barangsiapa dari kalangan kamu yang sakit atau bermusafir, maka gantilah puasa yang kamu tinggalkan itu pada hari-hari yang lain (di luar bulan Ramadhan). Dan wajiblah ke atas mereka yang tidak berdaya untuk berpuasa itu membayar fidyah iaitu memberi makan kepada seorang miskin. Maka barangsiapa yang melakukan kebaikan itu secara sukarela maka ia adalah suatu kebaikan bagi dirinya. Sesungguhnya berpuasa itu adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui”

Sebelum turunnya ayat ini, umat Islam berpuasa wajib pada 10 Muharram atau yang dikenali sebagai hari ‘Aasyura’. Apabila Nabi SAW tiba di Madinah semasa peristiwa Hijrah, Baginda mendapati orang-orang Yahudi di situ berpuasa pada 10 Muharram.

Lalu Baginda SAW bertanya tentang sebab musabab mereka berpuasa pada hari berkenaan. Orang-orang Yahudi itu menyatakan bahawa, pada hari tersebut, Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Musa Alayhissalaam dan kaumnya daripada serangan Firaun. Oleh yang demikian, Nabi Musa Alaihissalaam telah berpuasa pada 10 Muharram sebagai tanda syukur kepada Allah!

Nabi Muhammad SAW mengulas keterangan mereka itu dengan menyatakan bahawa, “sesungguhnya kami (umat Islam) adalah lebih berhak ke atas Nabi Musa berbanding kamu”.

Lalu Baginda SAW berpuasa pada 10 Muharram dan memerintahkan seluruh umat Islam supaya berpuasa sama.Hal ini diperjelaskan oleh riwayat daripada Aishah Radhiyallahu ‘anha yang terdapat di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim

Selepas turunnya ayat 183 dan 184 Surah al-Baqarah itu, puasa 10 Muharram atau puasa Asyura berkenaan bertukar status menjadi sunnah yang digalakkan.

Menurut riwayat oleh al-Bukhari dan Muslim di dalam Sahih mereka (dengan lafaz oleh Muslim) daripada Salamah bin al-Akwa’, apabila turunnya ayat




“Dan wajiblah ke atas mereka yang tidak berdaya untuk berpuasa itu membayar fidyah iaitu memberi makan kepada seorang miskin”,


umat Islam diberi pilihan sama ada untuk melaksanakan ibadah puasa Ramadhan berkenaan atau membayar fidyah.Hal ini berterusan sehinggalah turunnya ayat nasakh di dalam Surah al-Baqarah ayat 185,yang bermaksud

 “maka barangsiapa dari kalangan kamu yang menyaksikan anak bulan (Ramadhan) itu, maka hendaklah ia berpuasa”.

Turunnya ayat ini  bagi mengiyakan lagi Rukhsah bagi orang-orang yang sakit dan bermusafir untuk berbuka dan menggantikan puasa tersebut demi mencegah bebanan, dan sebagai kemudahan yang diberikan oleh Allah SWT sebagaimana yang disebut di dalam firmanNya Surah al-Baqarah ayat 185:

“Allah sentiasa menghendaki bagi kamu kemudahan dan Allah tidak menghendaki bagi kamu kesusahan”

Akan tetapi pendapat yang seperti ini disanggah oleh Ibnu Abbas dan mereka yang memilihnya. Menurut Ibnu Abbas, nasakh tidak berlaku kepada ayat ini, bahkan kedua-duanya adalah muhkam. Ayat “Dan wajiblah ke atas mereka yang tidak berdaya untuk berpuasa itu membayar fidyah iaitu memberi makan kepada seorang miskin” itu diturunkan berkenaan orang-orang tua yang tidak mempunyai keupayaan untuk berpuasa. Oleh yang demikian, hendaklah mereka itu berbuka dan menggantikan hari-hari tersebut, bagi setiap satunya, pemberian makan kepada seorang miskin.. Riwayat ini terdapat di dalam Sahih al-Bukhari.

Berdasarkan pendapat Ibnu Abbas ini, ia menjelaskan kepada kita bahawa kedua-dua bahagian ayat puasa Ramadhan ini telah diturunkan serentak dan bukannya secara berasingan.

Di peringkat awal ibadah puasa ini difardhukan, umat Islam dibenarkan makan, minum dan menyetubuhi isteri selepas berbuka, sehinggalah mereka menunaikan solat Isya’ atau tidur. Apabila mereka menunaikan solat Isya’ atau tidur, maka tidaklah lagi mereka dibenarkan makan, minum atau menyetubuhi isteri sehinggalah waktu berbuka. Hal ini telah menimbulkan kesulitan yang amat berat kepada umat Islam, bahkan ramai yang telah terjebak kepada larangan tersebut.

Al-Imam Ahmad di dalam Musnad beliau, membawa riwayat daripada Muadz bin Jabal di dalam suatu Hadith yang panjang berkenaan hal solat dan zakat telah menyebut: Pada masa itu, mereka makan, minum dan menyetubuhi isteri masing-masing selagi mana mereka tidak tidur. Apabila mereka tidur, maka mereka ditegah daripadanya.

Ketika itu, terdapat seorang lelaki Ansar bernama Ibnu Qays atau lebih dikenali sebagai Shirmah (ﺔﻣﺭﺼ). Beliau bekerja sehingga petang dan kemudiannya beliau telah kembali kepada keluarganya dan bersolat Isya’ dan terus tidur dalam keadaan tidak makan dan minum sehinggalah menjelang subuh. Keesokan harinya Baginda SAW melihat beliau di dalam keadaan yang amat perit.

Begitu juga suatu peristiwa yang berlaku kepada Umar al-Khattab Radhiyallahu ‘anhu. Beliau telah menyetubuhi isterinya selepas tidur dan hal ini mendatangkan sesalan yang amat besar kepada Umar lantas beliau pergi bertemu Rasulullah SAW di dalam keadaan menangis.

Ekoran daripada hal ini, Allah SWT telah menurunkan ayat yang seterusnya iaitu di dalam Surah al-Baqarah ayat 187:

Dihalalkan bagi kamu pada malam bulan puasa itu untuk kamu menyetubuhi isteri-isteri kamu. Mereka adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula adalah seumpama pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makan serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beri’tikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa”.

Dengan turunnya ayat ini, ibadah puasa Ramadhan mencapai sifatnya yang muktamad seperti yang ada sekarang. Keterangan ini adalah berasaskan kepada riwayat Abu Dawood, al-Hakim dan lain-lain.

Sesungguhnya Allah SWT memfardhukan ibadah puasa secara berperingkat seperti itu dengan hikmah yang besar. Pendekatan yang sama boleh dipertimbangkan di dalam proses pendidikan tentang ibadah puasa khususnya kepada saudara yang baru memeluk Islam.

Begitu juga kepada anak-anak kecil, ibu bapa hendaklah menggalakkan ibadah puasa secara berperingkat melalui kaedah-kaedah yang banyak. Namun bagi yang telah mencecah umur taklif, janganlah sekali-kali ibadah puasa ini diabaikan.

Daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda (Allah SWT bersabda :

Setiap amalan anak Adam itu adalah untuknya kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang memberikan balasan secara khusus untuknya. Puasa itu adalah perisai. Apabila ada di kalangan kamu yang berpuasa, maka janganlah berkata-kata yang keji dan janganlah kamu mudah menjadi berang. Jika kamu dicela oleh seseorang atau diajak bergaduh, maka katakanlah: sesungguhnya aku berpuasa. Demi (Tuhan) yang jiwa Muhammad itu di tanganNya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu adalah lebih elok di sisi Allah daripada bau kasturi. Bagi orang-orang yang berpuasa itu dua kegembiraan. Apabila beliau berbuka, maka beliau bergembira dengan berbukanya itu. Dan apabila beliau bertemu dengan Tuhannya, maka beliau gembira dengan puasanya). Muttafaq ‘alayh dengan lafaz oleh al-Bukhari.

Semoga Ramadhan tahun ini ditempuh oleh kita semua di dalam keadaan yang ada peningkatan ke arah kesempurnaan. Selamat menyambut Bulan Ramadhan dengan penuh kesempurnaan iman dan muhasabah.

2 ulasan:

  1. banyak info...
    hurmm selmat berpuasa

    BalasPadam
  2. Besok 10/07/2013.. start posa .. moga rahmat allah melimpah keatas orang2 yang berpuasa dengan Khusyuk.

    BalasPadam

tinggalkan komentar anda jika entri ini bermanfaat dan menarik untuk anda. segala pandangan sangat dihargai