iklan baris

Kisah Khalifah Umar Abdul Aziz

1 ulasan:



Assalamualaikum dan salam hormat buat semua pembaca yang dirahmati Allah sekalian . lama rasanya tidak update blog ini  dengan , terutama di bulan ramadhan ini kerana kekangan masa. dan hari ini ada sedikit kelapangan masa , saya tertarik ingin kongsikan kisah seorang pemimpin hebat yang mempunyai peribadi sangat mulia  iaitu Khalifah Umar Abdul Aziz yang merupakan khalifah dari kerajaan Bani Umayyah . sebelum ini saya pernah kongsikan kisah

Suatu hari Khalifah Umar Abdul Aziz berpidato di hadapan kaum muslimin. Sebagaimana biasa, pidato beliau sangant menarik dan memikat para pendengar. Akan tetapi pada kali ini, selain daripada kandungan pidatonya, gerak-geri Khalifah pula turut menjadi perhatian. Khalifah sering memegang dan mengibas-ngibaskan bajunya ketika berpidato, sesekali di sebelah kanan dan sesekali di sebelah kiri. Dengan demikian orang ramai menyedari bahawa gerakan tangan Khalifah tidak ada kena mengena dengan kandungan pidato.

Setelah Khalifah turun daripada tempat berpidato, mereka bertanya sesama sendiri dan akhirnya diketahui rahsianya. Dikatakan bahawa baju yang dipakai Khalifah baru saja dibasuh dan belum kering. Kerana ketiadaan baju lagi, maka baju itu dipakainya juga. Oleh itu beliau selalu mengerak-gerakkan bajunya ketika berpidato agar cepat kering.

Ketika Khalifah Umar sakit, pakaian yang dipakainya telah kotor. Muslimah Abdul Aziz kakak Fatimah Abul Malik datang menemui adiknya dan melihat Khalifah yang sedang sakit. "Fatimah, basuhlah pakaian Khalifah itu. Sekejap lagi orang ramai akan masuk menemuinya", tegur Muslimah. "Demi Allah, beliau tidak punya pakaian lagi kecuali yang dipakai itu", jawab Fatimah.




Dalam satu kisah lain , Seorang perempuan Mesir telah datang ke Damsyik kerana ingin bertemu dengan Amirul Mukminin Khalifah Umar Abdul Aziz. Dia bertanya-tanya di mana istana Khalifah dan orang ramai menunjukkannya. Sampai saja di rumah yang dimaksudkan, perempuan Mesir itu bertemu dengan seorang perempuan yang memakai pakaian yang sudah lusuh dan buruk dan seorang lelaki sedang bergelumang dengan tanah kerana memperbaiki rumahnya.

Perempuan itu bertanya lagi dan apabila mengetahui bahawa perempuan yang ditanya adalah Fatimah isteri Khalifah, dia terkejut luar biasa. Kerana mana ada seorang permaisuri raja yang berkuasa memakai baju buruk seperti itu. Dia merasa takut dan kagum. Akan tetapi Fatimah pandai melayan, sehingga tetamu itu berasa suka dan tenang hatinya.

"Mengapa puan tidak menutup diri daripada lelaki tukang bancuh pasir itu?" tanya perempuan Mesir itu. "Tukang bancuh pasir itulah Amirul Mukminin" jawab Fatimah sambil tersenyum. Sekali lagi tetamu itu terkejut dan beristighfar.

Khalifah Umar tidak mempunyai pelayan kecuali seorang kanak-kanak lelaki. Dialah satu-satunya khadam dalam istana Umar. Fatimah memberinya makan kacang setiap hari sehingga si pelayan menjadi bosan. "Kacang..kacang...setiap hari kacang," kata si pelayan merungut. "Inilah makanan tuanmu Amirul Mukminin, wahai anakanda," kata Fatimah.


Diceritakan pula  bahawa seorang lelaki dan isterinya di Syam telah merelakan anaknya ikut berperang di jalan Allah dan menemui syahid di medang perang. Beberapa masa kemudian dia melihat seorang lelaki dengan menunggang kuda menuju kearahnya.

Setelah diperhatikan, ternyata pemuda itu seiras anaknya yang telah meninggal dunia. "Hai, cuba kamu lihat pemuda yang berkuda itu, seperti anak kitakan?" kata lelaki itu kepada isterinya. "Semuga Allah merahmati engkau. Janganlah tertipu oleh syaitan. Anak kita sudah syahid, bagaimana boleh menunggang kuda seperti itu?" kata isterinya.

Sementara suami isteri itu memperhatikan dengan betul, tiba-tiba pemuda menunggang kuda itu telah berada di hadapannya. "Assalamualaikum." kata penunggang kuda. "Waalaikumsalam," jawab kedua-dua suami isteri itu. Ternyata dia memang anaknya, maka terkejutlah kedua-dua ibu bapa itu sambil segera memeluknya. Mereka gembira luar biasa bercampur hairan.

"Ayah, ibu tetap saja di situ," kata pemuda itu menegur. "Saya bukan seperti ayah dan ibu lagi, demikian juga ayah dan ibu bukan seperti saya. Saya datang pun bukan untuk pulang kepada ayah dan ibu." Kedua-dua ibu bapa faham akan maksud anaknya, mereka pun bertenang. Kemudian anak itu menerangkan bahawa kedatangannya bukan sengaja.

"Sebenarnya aku datang bukan untuk mengunjungi ayah dan ibu, tetapi hanya mengambil kesempatan saja dalam keperluan lain. Iaitu Amirul Mukminin Khalifah Umar Abdul Aziz telah wafat. Golongan syuhada telah meminta izin kepada Allah untuk hadir dalam pengurusan jenazahnya. Allah memperkenankan permintaan mereka dan saya termasuk di antaranya."

Kemudian dia bertanya keadaan kedua ibu bapanya, menghormatinya dan menjanjikan kebaikan daripada Allah. Lepas itu dia mendoakan ibu bapanya memberi salam lalu pergi. Dengan itu penduduk kampung mengetahui bahawa khalifah mereka Umar Abdul Aziz telah wafat.


Begitulah betapa mulianya akhlak dan peribadi Khalifah Umar Abdul Aziz. Seorang pemipin yang hidup dengan penuh zuhud , tidak mementingkan keduniaan , seorang pemimpin yang sangat adil . dan memang layak beliau digelar oleh para sarjana islam sebagai bayangan "khalifah Ar-Rasyidin kelima" .




Perkara Yang Membatalkan Puasa

1 ulasan:




Assalamualaikum dan salam hormat buat semua pembaca blog redzuan-ridz. Dengan nama Allah s.w.t saya mulakan entri kali ini. Disini saya ingin kongsikan dengan anda mengenai perkara membatalkan puasa . saya pasti diantara kita semua telah sedia maklum termasuk saya sendiri . Namun untuk lebih jelas mengenai kekhuatiran kita mengenai beberapa perkara membatalkan puasa yang kita sendiri tidak pasti mengenai hukumnya disini saya kongsikan .

ketika saya melayari dan melihat sendiri blog-blog dan website yang berkongsikan mengenai ini. semuanya hanya memaparkan point-point asas  tanpa menjelaskan dan menghuraikan perkara-perkara yang membatalkan puasa . dibawah ini saya kongsikan dengan anda soal jawab perkara membatalkan puasa yang saya perolehi dari PDF download mengenai bab perkara membatalkan puasa di laman web majlis ugama islam Singapura (MUIS)


Apakah perkara-perkara yang membatalkan puasa?

Perkara-perkara yang membatalkan puasa adalah seperti berikut: Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga badan yang terbuka dengan sengaja, kecuali kerana darurat yang berkaitan dengan kesakitan. Makan, minum dan merokok membatalkan puasa. Adapun suntikan ubatan tidak membatalkan puasa.

- Muntah dengan sengaja
- Mengeluarkan air mani dengan perbuatan
- Melakukan jimak (hubungan seks) pada siang hari
- Kedatangan haidh , nifas atau kelahiran bagi wanita
- Menjadi gila
- Pitam sepanjang hari
- Mabuk (yang menghilangkan daya pemikiran waras) sepanjang hari
- Murtad , iaitu keluar dari agama Islam
- Memasukkan sesuatu dalam rongga badan


Adakah mimpi sehingga keluar air mani membatalkan puasa

Hadas besar yang disebabkan mimpi tidak membatalkan puasa, sama ada ianya berlaku sebelum atau selepas waktu sahur. Orang yang berhadas tersebut boleh meneruskan puasanya. Yang perlu hanyalah mandi junub.


Saya telah bermimpi sehingga mengeluarkan mani pada siang hari bulan Ramadan, kemudian saya mandi junub. Adakah mandi junub tersebut membatalkan puasa saya?

Bermimpi sehingga mengeluarkan mani dan mandi junub tidak membatalkan puasa. Malahan, sekiranya termasuk air ke dalam telinga atau tertelan air ketika berkumur-kumur (sewaktu mengambil wuduk atau mandi) puasa tidak terbatal kerana ia dikira tidak sengaja. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengampuni umatku yang tersilap, terlupa atau dipaksa melakukan sesuatu.” (Riwayat At-Tabarani)


Ada yang mengatakan berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung menjejaskan puasa seseorang. Sejauh manakah kebenaran pendapat ini?

Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwuduk adalah sunat. Bagi orang yang berpuasa pula, maka tidak boleh berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dengan berlebihan. Sekiranya seseorang berwuduk dengan tidak kelebihan dan air itu termasuk ke dalam kerongkong, maka puasanya tetap sah.Samalah keadaannya jika dimasuki debu jalanan, debu tepung atau lalat yang terbang masuk ke dalam kerongkong. Semua ini dimaafkan kerana tidak sengaja. Namun, jika seseorang berkumur-kumur dengan berlebihan, ia boleh menyebabkan air masuk ke dalam kerongkong, dan jika ini berlaku, maka puasanya batal.


Adakah seseorang yang sedang berpuasa itu boleh melakukan sukan / aktiviti renang?

Berenang boleh menyebabkan masuknya air ke dalam hidung dan/atau telinga perenang. Jika air memasuki badan cara sedemikian, adalah batal puasa seseorang. Dengan ini, sebagai langkah berjaga-jaga, mereka yang berpuasa dinasihatkan agar tidak berenang di siang hari Ramadan untuk mengelakkan dari terbatalnya puasa.


Apakah hukum menggunakan inhaler (bagi pesakit semput) ketika berpuasa?

Antara perkara yang membatalkan puasa ialah kemasukan sesuatu ke dalam badan melalui rongga yang terbuka. Namun, kemasukan seuatu bahan seperti ubat inhaler di atas dasar darurat, yang berkaitan dengan kesukaran bernafas, dibolehkan syara’. Oleh yang demikian, penggunaan inhaler yang berpatutan tidak membatalkan puasa.



Adakah suntikaninsulin membatalkan puasa

Suntikan insulin bagi pesakit kencing manis tidak membatalkan puasa. Ini adalah kerana suntikan tersebut bukanlah melalui rongga yang terbuka dan tidak pula memberi sebarang kekenyangan atau kepuasan kepada si pesakit.



Saya pernah terdengar bahawa jikalau seseorang itu berpuasa, dia dilarang ‘membersihkan’ telinga atau hidungnya. Samada menggunakan cotton bud ataupun jari. Kerana perbuatan itu akan membatalkan puasanya. Adakah benar?

Di antara sebab batal puasa adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan yang terbuka dengan sengaja. Membersihkan telinga atau hidung tidak semestinya membatalkan puasa. Ia dibolehkan dengan kadar yang sederhana dan berhati-hati. Contohnya, membersihkan telinga di kawasan yang tidak terlalu dalam. Namun, jika anda merasa ragu-ragu sekiranya perbuatan anda boleh membatalkan puasa, maka jangan lakukan dan bersihkanlah telinga dan hidung di waktu malam.



Adakah boleh saya menderma darah sewaktu berpuasa ?

Menderma darah di dalam kuantiti yang sederhana dibolehkan dan tidak membatalkan puasa. Namun, pendermaan yang terlalu banyak sehingga menyebabkan kelemahan pada tubuh badan, sehingga tidak dapat menjalani ibadat puasa dengan baik, tidak digalakkan sama sekali.


p/s : diharapkan dengan perkongsian perkara-perkara membatalkan puasa yang saya  ambil dari laman web MUIS dalam bentuk soal jawab ini dapat menjelaskan segala persoalan yang berkait dengan topik ini terutama dari segi hukum supaya yang kita sendiri merasa was-was .

Tips Kesihatan Pada Bulan Ramadhan

1 ulasan:

Fisiologi Badan Manusia Ketika Berpuasa

Perubahan yang berlaku terhadap badan kita ketika berpuasa bergantung kepada panjang masa dan kekerapan kita berpuasa. Secara teknikal, badan kita mula menunjukkan perubahan 8 jam selepas makan, iaitu ketika sistem penghadaman manusia sudah kehabisan nutrient untuk diserap masuk. Ataupun dalam istilah perubatan, puasa bermaksud perubahan fisiologi badan selepas 8 jam dari tempoh akhir seseorang itu makan. Ketika keadaan normal (tidak berpuasa), glukosa yang disimpan dalam hati(liver) dan otot(muscle) merupakan sumber utama tenaga.

 Ketika peringkat awal berpuasa, glukosa yang tersimpan tadi merupakan sumber tenaga yang pertama sekali akan digunakan. Kemudian, setelah simpanan gulkosa tadi habis, lemak pula menggantikan glukosa tadi sebagai sumber tenaga. Lemak yang tersimpan di beberapa tempat di dalam badan terutama di lapisan bawah kulit. Sebilangan kecil glukosa akan di’bina’ melalui beberapa mekanisma di hati.


Hanya pada keadaan badan tidak menerima makanan untuk tempoh yang lama sahaja, lebih dari sehari, barulah protin digunakan sebagai sumber tenaga. Keadaan ini dipanggil sebagai ‘kebuluran’(starvation) dan ianya tidak baik untuk kesihatan kerana ianya menyebabkan pemecahan otot untuk mendapatkan protin sebagai sumber tenaga. Oleh kerana itu, seseorang yang kebuluran akan kelihatan terlalu kurus dan menjadi sangat lemah.

Ketika Ramadan kita hanya berpuasa dari subuh sehingga senja. Hal ini membolehkan kita mengisi semula simpanan tenaga yang mencukupi ketika bersahur dan berbuka puasa. Justeru, puasa menyediakan proses pertukaran sumber tenaga dari glukosa kepada lemak dalam keadaan teratur dan pemecahan otot untuk menghasilkan protein sebagai sumber tenaga dapat dielak. Penggunaan lemak sebagai sumber tenaga membantu untuk mengurangkan berat badan, memelihara otot, dan mengurangkan kandungan kolesterol badan seterusnya menuragkan risiko sakit jantung dan strok.

Tambahan lagi, kehilangan berat badan turut membantu untuk mencegah diabetes dan mengurangkan tekanan darah. Proses detoksifikasi badan turut berlaku ketika berpuasa, melalui proses pelarutan dan ianya dibuang terus melalui air kencing. Selepas beberapa hari berpuasa, kandungan beberapa hormon meningkat mendadak seperti endorfin lalu meningkatkan kadar kewaspadaan (alertness) dan perasaan mental yang sihat secara umum.

Makanan yang seimbang dan pengambilan cecair amat penting ketika waktu berbuka sehingga sahur pada hari berikutnya. Pundi kencing dapat menjalankan fungsinya dengan baik ketika berpuasa dengan mengekalkan cecair dan garam dalam badan seperti Sodium dan Potassium. Namun begitu, cecair dan garam tersebut tetap boleh dikumuhkan melalui peluh.



Jenis Makanan yang Sesuai Ketika Ramadhan

Secara umumnya, berpuasa pada bulan Ramadhan mampu meningkatkan kesihatan seseorang, tetapi ada juga kemungkinan untuk menjadi lebih teruk! Faktor penentu bukan pada puasa itu sendiri, tetapi pada makanan yang diambil ketika waktu tidak berpuasa (ketika berbuka puasa sehingga sahur). Untuk mendapat manfaat yang penuh ketika berpuasa, seseorang itu perlu mengawal jenis dan kuantiti makanan sepanjang bulan yang mulia ini.

Makan secara berlebihan turut memberi kesan kepada rohani dan menyebabkan sesorang itu malas dan cepat mengantuk. Diet pemakanan perlulah simple dan tiada perbezaan terlalu ketara dengan diet harian seseorang pada hari biasa. Makan yang seimbang ialah makanan yang mengandungi semua kumpulan makanan utama (karbohydrat, lemak, protin, dan lain-lain) dan menepati kuantiti yang diperlukan.

Karbohydrat kompleks adalah makanan yang akan membantu untuk membekalkan tenaga untuk jangka masa yang panjang. Karbohydrat kompleks terdapat pada bijian dan biji benih seperti barli, gandum, oat, kekacang, beras bathmathi dan lain-lain. Makanan yang kaya dengan serat sangat membantu proses penghadaman. Ianya terdapat pada bijirin, gandum, bijian, ubi kentang, sayur-sayuran hijau dan buah-buahan.

Makanan yang perlu dielakkan pula ialah makanan yang bergoreng (deep fried foods) seperti kentang goreng, ayam goreng, dan lain-lain. Kedua, makanan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi seperti manisan tradisional arab, gula-gula India dan air yang terlalu manis. Minuman berkaffein perlu dielakkan kerana kaffein mengurangkan kandungan cecair badan dengan meningkatkan proses perkumuhan melalui air kencing. Kopi, teh dan kola merupakan minuman yang mengandungi kadar kaffein yang tinggi.

Ketika sahur, anda dinasihatkan untuk mengambil makanan yang tidak terlalu berat atau tidak terlalu mengenyangkan tetapi makanan tersebut kekal memberi tenaga untuk jangka masa yang panjang. Oleh itu, makanan yang lambat hadam merupakan makanan terbaik untuk sahur, seperti oat dan roti. Manakala ketika berbuka, kurma disahkan sebagai makanan terbaik untuk berbuka kerana kurma memberikan tenaga yang banyak dan memberikan kesegaran kepada seseorang. Jus buah-buahan juga memberi kesan yang hampir sama dengan kurma. Selain itu, Al-quran, As-sunnah dan kajian moden mengesyorkan beberapa makanan yang baik ketika berpuasa seperti susu, kurma, daging lembu atau kambing, dan oat.


Komplikasi yang Bakal Berlaku Ketika Berpuasa.



1.Heartburn (acid indigestion)

Heartburn ialah satu situasi di mana perut seseorang akan rasa sakit (burning) kerana kandungan asid yang berlebihan. Situasi ini juga dipanggil sakit ‘gastrik’. Biasanya, puasa mengurangkan bilangan asid yang terhasil, tetapi bila seseorang berfikir tentang makanan, atau bau makanan, otak akan memberi arahan kepada perut untuk menghasilkan asid. Oleh itu, heatburn berkemungkinan akan menjadi masalah ketika berpuasa.


2.Pening Kepala (Headache)

Pening kepala merupakan masalah yang biasa yang dihadapi ketika berpuasa. Ianya datang dari pelbagai punca. Pening kepala ketika berpuasa biasanya kerana dehydrasi (kurang air dalam badan) atau lapar, rehat yang tidak cukup, atau ketiadaan bahan-bahan ketagihan seperti kaffein atau nikotin.


3.Dehydrasi

Dehydrasi juga biasa berlaku ketika berpuasa. Badan manusia kehilangan air dan garam secara berterusan melalui pernafasan, peluh dan urine. Mencegah selalunya lebih baik dari mengubat. Seseorang itu perlulah minum air yang mencukupi ketika berbuka dan bersahur bagi mengelakkan komplikasi ini. Selain itu, Oral Rehydration Salt (ORS) membantu dalam memulihkan kandungan air dan garam dalam badan.


4.Lain-lain seperti sembelit, stress dan obesity.

Oleh itu, besarlah makna Ramadan kali ini jika kita menghadapinya dengan tubuh badan yang sihat. Badan yang sihat menjadikan ibadah lebih lancar. Selamat menjalani ibadah puasa.



Sumber: Laman Web ISMA Mesir

Tips Pemakanan Pada Bulan Puasa

1 ulasan:



Berikut adalah beberapa gejala yang berlaku semasa berpuasa:

Beberapa perkara akan berlaku disebabkan oleh pembuangan toksin dan bahan buangan ketika kita berpuasa seperti nafas berbau, peluh berbau, kulit kering bersisik dan gatal, air kencing pekat dan berbau dan mungkin juga kerap kencing, buang air besar selepas beberapa hari berpuasa, sakit kepala, lenguh badan dan demam (kesan toksin keluar dari lemak ke darah, sebelum keluar dari badan), dan mungkin juga berlaku selsema dan kahak serta lendir dan keputihan.

Pesanan: Jika gejala ini tidak serius, jangan cuba ubatkan kerana ia akan berhenti dengan sendirinya.

Cara berbuka dan bersahur yang berkesan:


(i) Berbuka dengan buah dan air bertapis yang tidak dimasak (guna water-filter).

(ii) Solat Maghrib terlebih dahulu bagi memberi peluang perut mencerna makanan

(iii) Makan makanan yang senang hadam dan kurangkan masakan berminyak, berempah dan pedas. Seelok-eloknya makan sayur, tahu dan kekacang.

(iv) Kurangkan kadar makanan dari biasa

(v) JANGAN minum air sambil makan. Insya-Allah jika makan secara perlahan-lahan, masalah tercekik tidak akan berlaku.

(vi) Minum air putih atau teh herba atau minuman yang mengandungi getah anggur, buah kembang semangkuk dan biji selasih sebanyak yang terminum.

Nota: Waktu sahur elok makan buah dan susu atau sebarang makanan cecair.


Cara berpuasa yang tidak berkesan :

(i) Makan terlalu banyak (waktu sahur dan berbuka)

(ii) Makan makanan yang pedas dan berempah serta payah hadam

(iii) Makan terlalu banyak daging binatang terutama bagi pengidap batu karang, gout dan alahan.

(iv) Mengulangi makan sepanjang malam.

(v) Kurang minum air pada malam hari atau lebih minum air semasa makan

(vi) Tidur selepas kenyang makan


Makanan yang menjejaskan khasiat puasa kerana mengandungi bahan kimia:

(i) Kopi dan teh.
(ii) Air paip masak yang tidak ditapis.
(iii) Makanan yang ada bahan pengawet, pewarna, perasa tiruan seperti burger, sosej, mee segera, air tin & kotak, air squash, nugget dan seumpamanya.
(iv) Makanan masin perlu dielakkan semasa berpuasa kerana ia menyebabkan air bertakung dalam badan (water retention)
(v) Merokok


Fasa-fasa puasa yang berjaya :


Fasa pertama (2-3 hari):

Perut akan terasa lapar, badan cepat letih, cepat marah kerana kadar glukosa dalam darah rendah


Fasa kedua (3-14 hari):

Kurang selera makan, senang gelap mata, nafas berbau, lidah menjadi putih atau berdaki manakala badan menjadi lesu.


Fasa ketiga (14-akhir puasa):

Lidah menjadi bersih, nafas hilang bau, selera makan baik, tenaga mula pulih dan kadar glukosa menjadi normal kembali. Di fasa ini juga mental, emosi dan badan semakin optimum dan diri menjadi orang baru. Keadaan puasa begini hanya dicapai oleh mereka yang benar-benar mengawal makan dan minum supaya proses asidosis dan ketosis di dalam badan berjalan lancar.


Amalan hari raya yang merosakkan manfaat puasa:

(i) Makan banyak (terutamanya daging, berempah, berlemak dan berminyak)
(ii) Makan kerap
(iii) Kuih-muih yang payah dihadam
(iv) Air yang mengandungi pewarna, perasa tiruan


Manfaat puasa yang berkekalan:

(i) Kurang makan kerana perut dah kecut
(ii) Kesihatan bertambah baik


Sabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud: “Ada banyak orang yang berpuasa tetapi ia tiada memperolehi dari puasanya itu, selain dari lapar dan dahaga (yakni tiada mendapat pahala)."