iklan baris

Bilakah Doaku Akan Dimakbulkan?

Tiada ulasan:




Daripada al-Nu'man bin Bashir r.a. Nabi S.A.W. bersabda: 'Doa adalah ibadah.'

(Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Untuk diejanya perkataan doa memerlukan huruf yang sedikit sahaja, iaitu tiga huruf (D.O.A). Seringkas ejaannya maka begitulah perbuatannya. Berdoa adalah sebuah ibadah yang paling termudah dalam agama Islam.

Maka bersyukurlah kita kepada Allah S.W.T sebagai Tuhan yang maha pemurah dan maha mengasihani yang mengurniaan sebuah ibadah yang dipanggil doa.

Di samping itu, doa menunjukkan perbezaan antara perhambaan manusia dan perhambaan dengan Tuhan. Allah S.W.T memberikan ibadah doa kepada kita sebagai medium dan tempat terbaik untuk meluahkan perasaan kita sebagai hamba kepada Allah S.W.T.

Malah, Allah S.W.T sendiri melabelkan bahawa berdoa adalah sebuah ibadah yang mulia disisinya:

Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi S.A.W. bersabda:

Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah S.W.T melainkan doa. (Riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Tetapi dalam kalangan kita pula asyik memandang enteng akan kelebihan berdoa ini. Katanya berdoa ini bak kata pepatah 'seperti menangguk air yang keruh' iaitu seperti seusai solat, terus beredar tanpa berdoa sedangkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi menyatakan:

"Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a., Rasulullah S.A.W. ditanya oleh seseorang: 'Apakah doa yang lebih di dengar lebih makbul dan mustajab?' Baginda bersabda: "Waktu terakhir pada hujung malam dan sesudah solat fardhu."

Kita menyalahkan Allah S.W.T kerana tidak memakbulkan doa kita sedangkan kita tidak bersungguh-sungguh dalam meminta. Banyak hadis yang mengatakan keadaan, tempat dan waktu yang mustajabnya doa kita di antaranya:

Berdoa ketika berbuka puasa.
Berdoa ketika bermusafir.
Berdoa di antara waktu azan dan iqamah.
Berdoa di hujung solat-solat fardu.
Berdoa pada waktu penghujung malam.
Doa orang dizalimi.
Doa bapa kepada anaknya dan sebagainya.

Tetapi, adakah kita tahu bila masanya dia akan mengkabulkan doa kita?

Adakah esok, lusa atau sepuluh tahun kemudian atau dia mungkin tidak memakbukan doa tersebut.

Adakah kita tahu, mengapa Allah S.W.T mengatur sedemikian rupa ?

Apabila Allah S.W.T segera memakbulkan doamu, maka dia menyayangimu.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu mereka): Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul." (Surah al-Baqarah: 186)

Apabila Dia lambat memakbulkan doamu, maka Dia ingin mengujimu.

Menurut al-Khatabi:

"Jika Allah S.W.T tidak menjawab doa seseorang, Dia akan memberikan kepadanya ketenangan dan kelapangan dalam hatinya atau mengelakkan dirinya dari kecelakaan, atau menggantikannya dengan pahala."

Menurut Hukama:

"Manusia menyangka doa mereka tidak dimakbulkan, sedangkan sebenarnya ia dimakbulkan melebihi apa yang dipohon, atau menolak dengan musibah atau penyakit lebih banyak dari yang dipinta, atau diberikan ganjaran pada hari kiamat."

Apabila Dia tidak memakbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua Yang Maha Mengetahui (semua itu), sedangkan kamu tidak mengetahuinya." (Surah al-Baqarah: 216)

Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T, maksudnya:

"Aku bersama sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku, maka bersangka tentang-Ku apa sahaja yang kamu ingini." (Hadis Qudsi)

Banjir Besar Di Zaman Nabi Nuh A.S

1 ulasan:






Nabi Nuh AS telah dilantik oleh Allah SWT untuk membimbing kaumnya supaya menyembah Allah SWT semata-mata. Pada waktu itu, kaum Nabi Nuh hidup dalam kekufuran. Mereka menyembah berhala yang dibuat oleh mereka sendiri. Namun, Nabi Nuh tetap melaksanakan perintah Allah untuk menyeru kaumnya supaya meninggalkan penyembahan berhala.


"Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya lalu ia berkata: "Wahai kaumku sembahlah Allah, sekali-kali tak ada Tuhan bagimu selain-Nya." Sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa azab hari yang besar (kiamat)." (QS Al-A'raf: 59)

Walaupun begitu, setelah sekian lama menyeru kaumnya, hanya sedikit sahaja daripada kaumnya yang beriman kepada Allah SWT. Nabi Nuh AS akhirnya berasa putus asa. Lalu, baginda pun berdoa kepada Allah SWT. Nabi Nuh mengadu kepada Allah mengenai sikap kaumnya. Maka, Allah SWT pun mengabulkan permintaan baginda. Lalu Allah SWT memerintahkan agar Nabi Nuh AS membina sebuah kapal (bahtera) yang besar.

"Dan buatlah bahtera itu dengan pengawasan dan petunjuk wahyu Kami, dan janganlah kamu bicarakan dengan Aku tentang orang-orang yang zalim itu; sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan." (QS Hud: 37)

Nabi Nuh pun mula membina kapal tersebut walaupun berdepan dengan berbagai dugaan yang terpaksa ditempuhi termasuklah cercaan kaumnya. Akhirnya dengan pertolongan Allah SWT, kapal tersebut dapat disiapkan.

Apabila kapal tersebut telah siap, Nabi Nuh AS pun membawa sepasang bagi setiap jenis haiwan ke atas kapal. Nabi Nuh AS juga mengumpulkan benih-benih tumbuhan untuk disimpan di dalam kapal tersebut.

Selepas itu, Nabi Nuh pun menyuruh semua pengikutnya naik ke atas kapal lalu menyeru: "Wahai orang-orang yang beriman! Naiklah kamu ke atas kapal ini. Janganlah kamu lupa untuk berdoa kepada Allah. Sesungguhnya Tuhan akan melindungi kamu."

Setelah semua orang Mukmin telah berada di atas kapal, Allah SWT lalu menurunkan hujan dengan lebatnya. Angin pun mula bertiup kencang. Allah SWT juga memerintahkan bumi supaya mengeluarkan air dari perutnya.

Pada suatu ketika, Nabi Nuh ternampak anaknya. Lalu baginda memanggil anaknya agar menaiki kapal tersebut: "Anakku, marilah naik ke atas kapal ini. Tidak ada siapa yang dapat menyelamatkan kamu melainkan Allah."

"Aku tidak mahu naik ke kapal itu. Aku akan berlindung di atas gunung," sahut anaknya yang jelas tidak beriman. Anaknya tetap berdegil. Dia tetap tidak mahu menjadi pengikut Nabi Nuh AS dan meninggalkan amalan menyembah berhala.

"Anaknya menjawab: "Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat memeliharaku dari air bah! "Nuh berkata: "Tidak ada yang melindungi hari ini dari azab Allah selain Allah (saja) Yang Maha Penyayang ". Dan gelombang menjadi penghalang antara keduanya; maka jadilah anak itu termasuk orang-orang yang ditenggelamkan." (QS Hud: 43)

Hujan yang turun dengan banyaknya telah membuatkan air sungai naik. Mata air yang membuak-buak membanjiri tanah-tanah kering. Orang-orang kafir mula berasa gundah dan ketakutan. Mereka melarikan diri ke atas bukit. Tetapi tidak lama kemudian, air banjir itu pun sampai ke atas bukit. Lalu mereka melarikan diri ke atas gunung pula.

Namun air banjir terus naik ke atas gunung. Tidak ada tempat lagi untuk orang kafir menyelamatkan diri. Maka, tenggelamlah mereka dalam banjir itu. Anak Nabi Nuh dan ahli keluarganya yang tidak berimanpun turut tenggelam. Itulah balasan dan azab yang Allah timpakan kepada kaum yang kafir itu.

Banjir yang besar itu menenggelamkan semua benda yang ada di atas muka bumi. Tidak ada makhluk pun yang terselamat kecuali mereka yang berada di atas kapal Nabi Nuh. Banjir selama enam bulan itu juga telah turut menenggelamkan semua tumbuhan dan gunung-gunung yang tinggi.

Apabila kesemua orang kafir mati, Allah memerintahkan hujan supaya berhenti. Bumi pun menyerap semula air banjir itu. Nabi Nuh sentiasa berdoa dan berzikir kepada Allah. Selepas banjir itu surut, kapal Nabi Nuh pun berlabuh di atas Bukit Judi.

"Dan difirmankan: "Wahai bumi telanlah airmu, dan hai langit (hujan) berhentilah, "dan airpun disurutkan, perintahpun diselesaikan dan bahtera itupun berlabuh di atas bukit Judi, dan dikatakan: "Binasalah orang-orang yang zalim." (QS Hud: 44)

"Difirmankan: "Wahai Nuh, turunlah dengan selamat sejahtera dan penuh keberkatan dari Kami atasmu dan atas umat-umat dari orang-orang yang bersamamu. Dan ada umat-umat yang kami beri kesenangan pada mereka, kemudian mereka akan ditimpa azab yang pedih dari Kami." (QS Hud: 48)

Wallahua'lam.

10 Sifat Mahmudah dan Mazmumah Menurut Imam Al-Ghazali

5 ulasan:



Ilmu tasawuf ialah ilmu yang menyuluh perjalanan seseorang mukmin di dalam membersihkan hati dengan sifat-sifat mahmudah atau sifat-sifat yang mulia dan menghindari atau menjauhkan diri daripada sifat-sifat mazmumah iaitu yang keji dan tercela.

Ilmu tasauf bertujuan mendidik nafsu dan akal supaya sentiasa berada di dalam landasan dan peraturan hukum syariat Islam yang sebenar sehingga mencapai taraf nafsu mutmainnah. Antara syarat-syarat untuk mencapai taraf nafsu mutmainnah ialah banyak bersabar serta banyak melalui penderitaan.

Imam Al-Ghazali r.a. telah menggariskan sepuluh sifat Mahmudah (Terpuji) di dalam kitab 'Arbain Fi Usuluddin' iaitu:

1) Taubat

2) Khauf (Takut)

3) Zuhud

4) Sabar

5) Syukur

6) Ikhlas

7) Tawakkal

8) Mahabbah (Kasih Sayang)

9) Redha

10) Zikrul Maut (Mengingati Mati)


Imam Al-Ghazali juga telah menggariskan sepuluh sifat Mazmumah (Tercela) di dalam kitab tersebut iaitu:

1) Banyak Makan

2) Banyak Bercakap

3) Marah

4) Hasad

5) Bakhil

6) Cintakan Kemegahan

7) Cintakan Dunia

8) Bangga Diri

9) Ujub (Hairan Diri).

10) Riya' (Menunjuk-nunjuk).

Semoga Allah SWT menggantikan sifat Mazmumah dalam diri kita dengan sifat Mahmudah. Amein...

7 Perkara Untuk Meningkatkan Motivasi Diri di Pagi Hari

6 ulasan:
motivasi diri



Malas, lemah, penat, longlai adalah resam jika anda bukanlah berniat dengan penuh kesungguhan dan bersemangat untuk menikmati kebahagiaan di pagi hari.Waktu pagi adalah ujian untuk anda, pagi adalah nikmat untuk anda, pagi adalah penentu arah kejayaan dan kegagalan dalam hidup anda.

Justeru itu adakah kita mahu mensia-siakannya?
Ayuh sahabat, bangkitlah! Perkara terbaik yang anda patut lakukan di waktu pagi, adalah:



01. Bersyukur, bersyukur, bersyukur

Bersyukurlah sebab anda masih diberi peluang untuk meneruskan hidup, anda juga masih ada kesempatan untuk melakukan yang terbaik hari ini, lebih baik dari yang kelmarin.



02. Tekad Bermotivasi

Pasang niat dalam hati yang anda mahu jadi bersemangat sepenuhnya. Ambil beberapa artikel-artikel motivasi pendek dan baca dalam seminit dua.
Di waktu awal pagi, jangan buka email, baca newspaper, baca gosip-gosip mahupun join sesi mengumpat bersama kawan-kawan. Sebab, ia menerbitkan energi negatif lalu menghalang anda dari bermotivasi sepanjang hari.



03. Dekatkan Diri Dengan Sesi Motivasi

Ikuti sesi-sesi motivasi di media, misalnya Motivasi Pagi di TV3 dan sesi motivasi Dr Izzy di Hot FM. Luangkan masa 3-5 minit memberi motivasi pada diri sendiri melalui sesi-sesi motivasi pendek ni.
Motivasi harus dijaga, sebab kalau tak di jaga ia mudah turun. Kesannya, anda menjadi tidak bersemangat, lemah longlai dan lemas.



04. Dalam Apa Jua Yang Anda Buat, Mulakan Dengan Bismillah

Bila anda mula punch card nak masuk kerja, baca bismillah, moga anda dijauhkan dari bisikan syaitan yang membuat anda lalai, mengantuk, macam tak cukup ‘cas betri’ saja.
Andai kata anda seorang pelajar, bermula dari nak masuk kelas, duduk di kerusi anda dan mula nak bukak buku, mulakan semuanya dengan bismillah. Moga apa jua yang anda lakukan mendapat keberkatan.
Masuk saje ke dalam kelas, pasang niat anda mahu menuntut ilmu. Bila istiqamah melakukannya, anda punya peluang cerah untuk menjadi cemerlang!



05. Set Target Kemajuan Diri Sendiri

Ini juga kurang dititikberatkan. Bila dah keluar rumah sama ada ke kelas atau ke tempat kerja, kita tak tahu apa yang kita nak capai hari tu. Betul tak?

Kita hanya nak sampai di sana, bekerja (atau menghadiri kelas) lepas tu nanti petang balik rumah, berehat, makan, minum, pastu tidur. Esok pagi, bangun dan perkara sama berulang lagi.
Hidup Anda bagai dalam 1 bulatan, situ-situ saja.

Mulai hari ini, ubah sikap anda. Set target apa yang anda mahu capai, lagi best setkan untuk setiap hari.
Andai anda seorang pelajar, set target berapa bab yang anda nak ulangkaji, berapa buah buku yang anda nak baca dalam minggu ni, berapa soalan anda nak bertanya pada lecturer atau guru anda nanti.

Andai anda seorang usahawan, set target berapa jualan yang anda nak capai hari ini dan berapa keuntungan yang anda nak dapat hasil dari bisnes anda. Set juga apa yang anda nak pelajari hari ni dalam bidang bisnes anda.
Andai anda seorang pekerja, set berapa tugas yang anda nak siapkan dan set limit masa untuk anda menyiapkan segalanya. Kecekapan seorang pekerja di nilai dari kepantasan, ketepatan dan kekemasan.



06. Lihat Warna Cerah

Warna boleh mempengaruhi mood. Warna cerah membuat kita jadi energetik, ceria dan penuh dengan idea.
Setiap hari, lihat warna-warna yang cerah seperti kuning, merah, biru dan hijau. Cara ni saya dah test sendiri, berkesan sungguh!
Dekatkan diri dengan benda-benda berwarna cerah sebab ia mampu merubah mood anda menjadi positif.



07. Penuhkan Hati Dengan Kemaafan

Lepaskan segala yang dulu-dulu. Maafkan orang diwaktu pagi, maafkan kesalahan semuanya dari dulu sampai sekarang.

Lepaskan dendam, rasa tak puas hati, geram, sakit hati dan yang sewaktu dengannya.
Andai emosi-emosi negatif ni bersarang di hati (walaupun sedikit) ia menghalang motivasi. Kesannya, anda jadi orang yang tak bersemangat langsung.Lebih teruk, anda jadi orang yang berfikiran negatif, hanya nampak yang negatif dalam diri setiap orang, setiap situasi dan setiap benda.

Anda mesti berubah untuk kemajuan diri.
Berani Berubah Untuk Kecemerlangan Hidup. :)

Semoga dengan sedikit tips yang dikongsikan dari saya ini sedikit sebanyak dapat memberikan keyakinan dan  menyemarakkan diri dalam menghadapi permulaan setiap pagi :)