iklan baris

Lagenda Burung Jentayu

9 ulasan:



Uwais Al-Qarni : Tidak Terkenal di Bumi Tetapi Terkenal di Langit

2 ulasan:





Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Saidina Umar r.a. dan Saidina Ali : Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu. Kamu berdua pergilah mencari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.” 

 Saidina Umar dan Saidina Ali lalu sama-sama menanyakan kepada Rasulullah SAW: Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, ya Rasulullah?
Rasulullah SAW menjawab: Mintalah kepadanya agar dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian."
 
Memang benarlah kata-kata Rasulullah SAW, Uwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman Saidina Umar dan Saidina Ali. Mereka memang menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu juga dengan Uwais al-Qarni. Pada pandangan mata kasar, tidak mungkin dia orang yang Rasulullah SAW maksudkan kerana di kalangan orang awam, Uwais dianggap sebagai seorang yang kurang waras.

Uwais Al-Qarni adalah seorang yang berpenyakit sopak, badannya putih, yakni putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun dia seorang berpenyakit sopak, dia adalah seorang yang soleh yang amat mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Beliau berpenyakit sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaganya sampai beliau dewasa.
 
Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin untuk mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya berikhtiar agar dia dapat membawanya ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Mekah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’. Haudat ialah sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa namun perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian. Beliau tidak memiliki unta dan juga tidak mampu untuk membayar sewa.    

Pada suatu hari, ibu Uwais yang semakin uzur berkata kepada anaknya: Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji.”
 
Uwais mendapat suatu ilham. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil di atas sebuah ‘Tilal’ iaitu sebuah tanah tinggi (rumah untuk lembu itu di atas bukit). Apa yang dia lakukan, pada petang hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas Tilal. Pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari Tilal tersebut untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras.
 
Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit. Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.
 
Selepas lapan bulan, apabila sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya. Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringan. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.
Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya: Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?
 
Uwais menjawab: Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.
Ibunya bertanya lagi: Bagaimana pula dengan dosa kamu?
Uwais menjawab: Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga."

Ibunya berkata lagi: Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini." Uwais berkata: Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala."
Ibunya menambah: Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa."
 
Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah menyembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Namun kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya, dia berdoa: Tolonglah ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkanlah sedikit.”
Allah SWT lalu menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais kerana permintaannya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Rasulullah SAW kepada Saidina Umar dan Saidina Ali: "Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu, dialah Uwais al-Qarni."
 
Tidak lama kemudian, ibunya meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah. Saidina Umar dan Saidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW, mereka meminta supaya Uwais berdoa agar Allah SWT berkenan mengampuni semua dosa-dosa mereka berdua. 

Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Saidina Umar dan Saidina Ali, beliau berkata: Aku ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah SAW kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku." Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua. 

Setelah itu Saidina Umar, yang ketika itu memegang jawatan Khalifah, bertanya kepadanya: "Anda hendak pergi ke mana?” “Kufah”, jawab Uwais. Saidina Umar bertanya lagi: “Mahukah aku tuliskan surat kepada Gabenor Kufah agar melayanimu?” Uwais menjawab: “Berada di tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku sukai.” (Hadis Riwayat Muslim)

Demikianlah kisah Uwais Al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya. Seorang Wali Allah yang tidak terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit.  Wallahua’lam.

Fadhilat Berzikir Kepada Allah s.w.t

5 ulasan:
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog redzuan-ridz ini. Dengan nama Allah yang maha pemurah dan maha pengasihani saya mulakan perkongsian bermanfaat ini. Entri kali ini saya kongsikan dengan anda mengenai kelebihan bagi orang-orang suka berzikir kepada Allah s.w.t .





Firman Allah SWT, maksudnya: "Dan orang-orang lelaki yang banyak menyebut Allah, maka Allah telah menyediakan untuk mereka keyakinan dan ganjaran pahala yang besar." (QS Al-Ahzab:35)

" Mereka yang beriman dan tenang hatinya dengan berzikir kepada Allah.." ( Ar-Ra'ad : 28 )

Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang mengucapkan 'Subhanallah Hil Azimi Wabihamdih', maka akan ditanamkan untuknya sepohon pokok tamar didalam syurga." (HR Muslim)

Berikut adalah antara beberapa keuntungan bagi orang-orang yang sentiasa berzikir:

1. Akan mendapat keredhaan Allah SWT dan memperolehi ketenangan pada hati serta dapat merasakan kelazatan berzikir di dalam jiwa.

2. Akan menimbulkan kejernihan dan kemanisan pada hati dan wajah.

3. Akan mendapat kasih sayang, kecintaan serta keampunan dari Allah SWT serta dimurahkan rezekinya.

4. Akan dapat merasakan kebesaran, keagungan, kehebatan dan kekuasaan Allah SWT.

5. Akan segera mendapat pembelaan / pertolongan dari Allah SWT tatkala seseorang itu berada di dalam kesusahan atau kedukaan.

6. Akan mendapat penghormatan serta doa dari para malaikat yang sentiasa berzikir memuji Allah SWT.

7. Akan memperolehi pohon tamar di dalam syurga kelak; semakin banyak seseorang itu berzikir, maka semakin banyaklah pohon-pohon tamar itu disediakan untuknya.

8. Akan mendapat nur dari Allah SWT dalam kehidupan di dunia ini, di alam barzakh dan juga pada titian sirat kelak.

9. Akan dapat membina rumah dan juga istana di dalam syurga. Bila seseorang itu berhenti berzikir, maka berhentilah pembinaan rumahnya di syurga.

10. Zikir akan menjadi pendinding dan juga perisai dari neraka jahanam.


mudah-mudahan insyallah  ..

Umar Mukhtar : Singa Padang Pasir Yang Digeruni

3 ulasan:

KEMERDEKAAN merupakan impian setiap manusia. Tiada manusia yang sanggup dibelenggu oleh penjajahan dan penindasan. Apabila hal ini berlaku, manusia akan tampil memberontak dan berusaha membebaskan diri mereka ataupun negara mereka dari cengkaman tersebut. Inilah yang dapat diperkatakan mengenai Umar Mukhtar, wira kebanggan rakyat yang namanya bersemadi di dalam hati sanubari rakyat Libya hingga ke hari ini. Sedari usia muda beliau bangun memperjuangkan kemerdekaan negaranya daripada dibelenggu oleh cengkaman kuasa fasis Itali walaupun akhirnya Umar Mukhtar terpaksa syahid di tali gantung. Namanya terpahat kukuh dalam tinta emas, menjadi inspirasi dan dianggap simbol keagungan dalam usaha membebaskan Libya daripada belenggu penjajahan.

Umar Al Mukhtar telah dilahirkan pada tahun 1862 dan merupakan putera kepada Mukhtar bin Umar dan Aiesha binti Muhareb. Dia berasal daripada suku Boray dan Al Manfah. Sebagai seorang remaja, beliau didoktrinkan berdasarkan ideologi gerakan Sanusiah. Pada usianya 16 tahun, ayahnya meninggal dunia semasa menunaikan haji ke Makkah, dan menjadikan dia seorang anak yatim pada usia yang muda. Mukhtar kemudian berpindah ke Jaghboub. Di sana, dia belajar di Institut Pengajian Tinggi dalam bidang Sains Islam selama 8 tahun.

Kerana kewibawaan, kepimpinan dan kecemerlangannya dalam segala bidang, dia memperoleh pengiktirafan yang tinggi daripada syeikh dan pemimpin Sanusi. Pada tahun 1897, dia telah dilantik oleh Sidi Al Mahdi sebagai Syeikh Zaywat AlíAqour. Pada bulan Oktober 1911, tentera Itali memulakan tindakan untuk menawan Libya. Rakyat Libya dengan sungguh-sungguh berjuang mempertahankan negara mereka walaupun dengan kelengkapan senjata yang kurang sempurna. Pada awal penjajahan mereka, tentera Itali memberi tumpuan kepada bandar-bandar di tepi pantai seperti Tripoli, Benghazi, Misrata dan Derna. Pertempuran yang hebat berlangsung di Al-Hani berhampiran Tripoli (23 Oktober 1911), Ar-Rmaila berhampiran Misrata, Al-Fwaihat dekat Benghazi (Mac 1912) dan Wadi Ash-Shwaer berhampiran Derna. Pertempuran-pertempuran yang lain berlaku di kampung, gunung dan padang pasir. Salah satu daripada pertempuran hebat yang berlaku di Ghertabiya dekat Sirt (April 1915) telah menyebabkan beribu-ribu tentera Itali terkorban.

Akibat kebencian dan kemarahan yang meluap-luap, rakyat Libya segera bangkit mempertahankan tanah air mereka. Umar Al Mukhtar diarahkan oleh Sidi Idris Al Mahdi mengetuai pertempuran. Beliau mengatur strategi dengan membentuk satu pasukan tentera yang digelar tentera Mujahidin dengan bersumberkan cukai yang meliputi cukai binatang ternakan dan bijirin. Rakyat Libya membantu pasukan Mujahidin dengan makanan, tentera dan bekalan senjata.

Walaupun selepas beberapa tahun berjuang Itali berjaya menawan Libya, namun pada peringkat awal mereka tidak dapat berbuat demikian kerana pejuang Mujahidin Libya seperti Umar Mukhtar dan para pengikutnya memberikan tentangan yang begitu hebat kepada tentera Itali. Mereka meninggalkan rumah dan bergerak menuju ke kawasan pergunungan untuk merancang dan melancarkan serangan terhadap tentera Itali. Pejuang-pejuang Mujahidin Libya lain yang turut gigih menentang pendudukan Itali ialah Ramadan as Swahili, Mohamed Farhat Az Zawawi, Al-Fadeel Bo-Omar, Solaiman Ai-Barouni dan Silima An Nailah. Umar Mukhtar bertanggungjawab menyusun semula gerakan tenteranya di Gunung Hijau (Aj-Jabal Al-Akdar, Timur Jauh) Libya dan melancarkan serang padu terhadap Itali selepas Perang Dunia 1. Pasukan Mujahidin menyerang troop tentera Itali di atas puncak bukit, hutan dan lembah Gunung Akhdar.

Pada tahun 1922, Itali mula tertakluk di bawah undang-undang fasis. Semua perjanjian yang telah ditandatangani dengan Sidi Idris As-Sanusi telah digantung dan polisi yang menindas dan zalim telah dikenakan terhadap Libya. As-Sanusi terbang ke Mesir pada tahun 1923 meninggalkan Umar Mukhtar yang bertanggungjawab untuk penentangan secara habis-habisan dalam keadaan serba kekurangan.

Apabila Itali merasakan bahawa mereka sukar untuk menghadapi tentera Mujahidin dan mungkin kehilangan Libya kepada pihak Mujahidin, pihak berkuasa Itali menghantar salah seorang pegawai tertinggi mereka, Badolio. Badolio menggunakan kaedah yang tidak berperikemanusiaan untuk menamatkan penentangan. Dia bukan hanya mengetuai penentangan terhadap Umar Mukhtar dan pengikut-pengikutnya tetapi turut bertindak menghukum penduduk-penduduk yang tinggal di bandar dan di desa dan menuduh mereka membantu tentera Mujahidin Libya. Di samping Badolio, kerajaan Itali yang diketuai oleh Mussolini turut menghantar Rodolfo Grasiani unttuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Semasa Libya di bawah Grasiani beribu-ribu rakyat Libya yang tidak berdosa sama ada tua, muda, perempuan, dan kanak-kanak dibunuh secara kejam. Mussolini mengarahkan Grasiani melakukan apa-apa sahaja bagi menghadapi penentangan rakyat Libya.

Grasiani bersetuju ke Libya jika Mussolini membenarkan dia melakukan apa-apa yang di suka hatta termasuk membelakangi undang-undang yang sedia ada. Sebelum pergi ke Libya, terlebih dahulu pegawai yang kejam ini berkunjung ke Morj, Switzerland untuk bersuka ria dan pada masa yang sama merancang serangan bunuh terhadap rakyat Libya dengan berpandukan kepada motto yang dipegang oleh Mussolini, "Jika anda tidak bersama saya, anda menentang saya!" Ini bermakna satu cara terbaik untuk menawan negara tersebut dan mengawal rakyatnya adalah dengan membunuh! Akibatnya, semasa Libya berada di bawah penjajahan Itali, hampir separuh daripada rakyatnya telah dibunuh dengan kejam.

Kaum lelaki, wanita, orang tua dan kanak-kanak telah dizalimi dan dibunuh sama ada dengan menembak mereka, menggantung mereka di khalayak ramai dan membunuh secara tidak langsung iaitu dengan membiarkan mereka mati kelaparan, dan tidak diberi ubat apabila mereka sakit. Tindakan- tindakan kejam ini dilakukan demi untuk menunjukkan kepada dunia bahawa mereka berkuasa dan mampu menceroboh dan menawan negara lain, sama seperti kuasa-kuasa lain di dunia.

Perancangan Grasiani ialah memencilkan Libya sepenuhnya dan menghalang sebarang hubungan secara langsung atau tidak langsung antara Mujahidin Libya dengan jiran-jiran mereka yang selama ini membekalkan mereka dengan senjata dan maklumat. Grasiani telah membina tembok berwayar yang panjangnya sejauh 300km, tingginya 2 meter dan 3 meter lebar, bermula dari Pelabuhan Bardiyat yang terletak di utara Libya hingga ke Al-Jaghoub di Tenggara Libya, Perancangan beliau yang kedua ialah membina kem tahanan berpuusat di Al-Aghaila, Al-Maghroun, Solouq dan Al-Abiyar.

Pada penghujung November 1929, semua rakyat Libya tinggal di khemah di Al-Jabar Al-Akdar, Mortaf-Aat Al-Thahair, dari Utara Beneena hingga ke Ash- Shlaithemiya Selatan, dari Tawkera hingga ke selatan padang pasir Balt Abdul-Hafeeth. Semua penduduk daripada mana-mana kabilah, dipaksa meninggalkan tanah dan rumah mereka untuk sama-sama tinggal di kem tahanan berpusat. Kehidupan yang sangat menyedihkan di dalam kem tahanan seperti kelaparan dan berpenyakit telah menyebabkan beribu-ribu rakyat Libya menemui ajal mereka. Mereka yang dipercayai membantu pasukan Mujahidin telah digantung dan ditembak. Lebih 100,000 orang telah dipaksa ke kem tahanan di kawasan Baraqa. Daripada jumlah itu hanya 35,000 orang yang berjaya meneruskan kehidupan.

Marshall Roodolfo Graziani juga mengetuai kempen ketenteraan dengan menawan kumpulan Oasis Al Kufra, yang merupakan tulang belakang penentang. Di luar kem iaitu di kawasan pergunungan, pasukan Mujahidin kembali berjuang menentang pendudukan Itali. Umar Mukhtar tetap teguh dengan pendiriannya. Beliau sekali-kali tidak akan menyerah atau berputus asa. Beliau meningkatkan penentangan di Gunung Akhdar. Suku kaum dari daerah yang berhampiran turut menyertai beliau dalam perjuangannya.

Tetapi pada tahun 1931, pihak Mujahidin kehabisan bekalan makanan, maklumat dan bekalan senjata. Umar Mukhtar yang pada ketika itu telah berumur 80 tahun telah jatuh sakit beberapa kali. Ramai pengikutnya meminta beliau menggantung senjata dan meninggalkan negara tersebut. Beliau begitu marah apabila dinasihatkan meninggalkan perjuangannya selama ini dek kerana usianya yang sudah lanjut. Tetapi dengan semangat yang teguh beliau terus meneruskan perjuangan membebaskan negaranya. Atas dasar itu beliau telah digelar "Singa Padang Pasir".

Pihak Itali yang menyangka bahawa Umar Mukhtar boleh dibeli telah menawarkan beliau elaun sebanyak 50,000 lira Itali sebagai pertukaran untuk beliau menandatangani perjanjian perdamaian. Namun beliau enggan dengan berkata bahawa pendiriannya tetap teguh dan jitu. "Kita mempunyai sunnah Nabi Muhammad yang boleh membimbing kita dalam jihad kita," kata beliau memberikan kata-kata semangat kepada pengikut-pengikutnya.

Dalam usaha memerangkap Mukhtar dan orang-orangnya yang terperangkap di Gunung Akhdar, kerajaan Itali telah mengarahkan sempadan Mesir, Chad dan Sudan ditutup. Peristiwa ini dipanggil Italy Holocaust di Libya. Pada 12 September 1932, dalam satu misi pengintipan tentera Itali, selepas satu pertempuran yang sengit, Umar Mukhtar dan pasukannya telah diserang dan ditangkap. Kira-kira 40 orang pengikutnya telah terbunuh. Hanya beliau yang terselamat dan telah diserahkan kepada Komandan tentera Itali.#Umar Mukhtar telah ditawarkan pengampunan dalam usaha menukar pendirian beliau dan pengikut-pengikutnya agar menghentikan perjuangan. Tetapi tawaran itu telah ditolak oleh Umar Mukhtar dengan tegas. Beliau bersedia untuk menghadapi perbicaraan pada 15 September 1931. Perbicaraan itu merupakan suatu perbicaraan yang tidak adil yang hanya mengambil masa selama 75 minit. Hasil perbicaraan itu, Umar Mukhtar telah jatuhkan hukuman mati.#Hukuman mati itu berlangsung pada 16 September 1931 di bandar raya Solouq di hadapan 20,000 rakyat Libya. Hukuman mati yang dikenakan terhadap Umar Mukhtar telah dilaksanakan tanpa menimbangkan usianya yang telah lanjut dan tanpa mengikut undang-undang antarabangsa dan perjanjian semasa peperangan. Namun sewaktu hendak di tali gantung jelas kelihatan ketenangan di raut wajah Umar Mukhtar. Beliau sempat bersembahyang sunat sebelum dihukum gantung. Selepas dihukum gantung, Umar Mukhtar yang dianggap simbol pembebasan dan jihad Libya dengan segera telah dikebumikan di Ben-Ghazi. Makamnya telah dikawal dengan rapi oleh tentera Itali.

Kematian Umar Mukhtar telah mencetuskan bantahan daripada negara Arab dan negara Islam. Rakyat mengadakan demonstrasi jalanan dan sembahyang jenazah untuk beliau telah diadakan. Kematian Umar Mukhtar telah menyebabkan pergerakan pembebasan di Libya hilang arah tujuannya. Hal ini telah memudahkan kerajaan Rom mengisytiharkan Libya diletakkan di bawah pemerintahan tentera Itali pada 24 September 1932. Penguasaan Itali terhadap Libya berterusan sehingga Itali tewas dalam Perang Dunia Kedua dan Libya diletakkan di bawah penyeliaan Tentera Bersekutu sehingga 24 Disember 1951, apabila Libya mencapai kemerdekaan selepas beberapa tahun dijajah.

Pada tahun 1933, Pengerusi Jabatan Kesihatan dan Ketenteraan Itali, Dr. Todesky telah menulis di dalam bukunya Cerinaica Today, antara kandungan tulisannya berbunyi : Dari May 1930 hingga September 1930, dianggarkan kira-kira 80,000 rakyat Libya telah dipaksa meninggalkan tanah dan rumah mereka untuk tinggal di kem tahanan berpusat. Dalam satu-satu masa 300 orang telah dibawa ke kem tersebut dengan dikawal oleh tentera Itali bagi memastikan mereka tidak melarikan diri. Dr. Todesky menyambung, "Pada penghujung 1930, semua rakyat Libya yang tingal di dalam khemah telah dipaksa tinggal di dalam kem tersebut. 55% daripada mereka telah menemui ajal di dalam kem tahanan tersebut". Ahli sejarawan Libya, Mahmoud Al At-Taeb berkata di dalam wawancara dengan majalah Libya, Ash-Shoura (Oktober 1979) bahawa pada bulan November 1930, sekurang-kurangnya 17 upacara pengebumian diadakan di kem tersebut akibat mati kelaparan, penyakit dan kemurungan.

Apabila akhbar-akhbar dari seluruh dunia mempersoalkan tentang nasib buruk serta layanan yang tidak berperkemanusiaan yang diterima oleh rakyat Libya di dalam kem tahanan tersebut, tentera Itali mula mengambil perhatian dengan membekalkan makanan kepada rakyat Libya sebanyak 22 kg seorang untuk sebulan. Namun tindakan kerajaan Itali itu sudah terlambat kerana ramai rakyat Libya yang telah terkorban akibat kekejaman mereka.

Walaupun Umar Mukhtar telah meninggal dunia, jasa, perjuangan dan pengorbanannya menentang penjajahan telah menjadi inspirasi dan sentiasa bersemadi di dalam hati rakyat Libya mahupun masyarakat Arab dan Islam hingga ke hari ini. Lantaran itu, sebagai penghargaan kepada Umar Mukhtar:

• Libya mengisytiharkan kemerdekaannya pada 16 September, tarikh Umar Mukhtar dihukum gantung.

• Pada ulang tahun ke 56 kematian Umar Mukhtar, kerajaan Libya membina sebuah muzium untuk menunjukkan kepada rakyat senjata yang digunakan oleh Umar Mukhtar dan pengikut-pengikutnya.

• Mata wang kebangsaan Libya - dinar memaparkan gambar Umar Mukhtar.

• Pada tahun 1991, Umar Mukhtar telah dianugerahkan Yemeni Medal of Independence of The First Degree yang diterima oleh anaknya.

• Pada tahun 1940, kelab Umar Mukhtar telah ditubuhkan di Mesir. Persatuan lain juga telah ditubuhkan menggunakan namanya di seluruh negara Arab dan negara-negara Islam.

• Sebuah filem berdasarkan riwayat hidupnya lakonan Anthony Quinn telah diterbitkan.



sumber : diambil dari pelbagai sumber.
sumber internet : blog pengembara info