Imam Al-Ghazali Digelar Hujjatul Islam





Assalammu'alaikum wbt kepada pembaca yang dirahmati Allah,

Setiap peradaban melahirkan tokoh besar. Peradaban Islam telah melahirkan banyak ilmuwan ternama dunia sejak abad ke-9 hingga abad ke-20. Mereka meneliti dan berusaha menjelaskan tentang alam semesta, mulai dari galaksi yang sangat jauh hingga hal-hal terdekat dengan kehidupan mereka. Umumnya, mereka menguasai lebih daripada satu bidang ilmu, baik ilmu agama mahupun ilmu sosial. Apapun bidang ilmunya, para ilmuwan Muslim adalah tokoh-tokoh hebat yang mencipta penemuan baru di mata dunia.

Sebagai contoh, pada abad ke-9, lahir Al-Khawarizmi yang terkenal sebagai tokoh matematik dan astronomi dan Al-Kindi yang terkenal sebagai tokoh falsafah; pada abad ke-10 lahir Al-Farabi yang terkenal sebagai tokoh falsafah; pada abad ke-11 lahir Ibnu Haitham yang terkenal sebagai tokoh fizik dan matematik; dan Ibnu Sina yang terkenal sebagai tokoh falsafah dan hampir semua bidang ilmu yang berkembang pada ketika itu; pada abad ke-12 lahir Ibnu Rusyd yang terkenal sebagai tokoh perubatan, biologi, fizik dan astronomi; Ibnu Tufail yang terkenal sebagai tokoh perubatan metamatik dan falsafah; dan Umar Khayyam yang terkenal sebagai tokoh matematik, astronomi dan kesusasteraan; pada abad ke-13 lahir Ibnu Nafis yang terkenal sebagai tokoh perubatan dan kimia; pada abad ke-14 lahir Ibnu al-Munzir yang terkenal sebagai tokoh perubatan haiwan; pada abad ke-15 lahir Ibnu Majid yang terkenal sebagai tokoh astronomi dan geografi; pada abad ke-19 lahir Ja’afar Syarif yang terkenal sebagai tokoh perubatan dan pada abad ke-20 lahir Abdus Salam yang terkenal sebagai tokoh fizik.





Manuskrip asal Ihya' 'Ulum al-Din


Mungkin di kalangan kita umat Islam tidak lupa, bahkan pernah mendengar ataupun sudah membaca karya terbesar Imam Al-Ghazali, iaitu Ihya' 'Ulum al-Din. Mari kita sejenak menghayati tokoh besar yang telah melahirkan hasil karya yang tersohor dan hingga kini ditatapi dan dikaji oleh umat Islam di sepanjang masa dan zaman.



Cetakan moden Ihya' 'Ulum al-Din

Al-Ghazali merupakan seorang ahli teologi, falsafah, dan sufi besar dalam Islam. Beliau dilahirkan pada tahun 450H/1058M di kota Gazalah dekat Tus, Khurasan, bahagian utara Iran. Namanya dinisbahkan kepada tempat kelahirannya. Nama lengkapnya adalah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Tusi al-Ghazali. Di bidang keilmuan, pada mulanya beliau mendalami ilmu fiqh, kemudian mempelajari secara mendalam ilmu kalam dan ilmu falsafah. Setelah namanya harum sebagai seorang sarjana, pada tahun 1091 Al-Ghazali dilantik menjadi Guru Besar Undang-Undang oleh Nizam al-Mulk (1018-1092), perdana menteri Sultan Maliksyah (1072-1092) dari dinasti Seljuk, di Madrasah Nizamiyah di Baghdad. Beliau sempat mengajar di madrasah itu selama empat tahun dan pada zaman itulah beliau menulis karyanya Maqasid al-Falasifah dan Tahafut al-Falasifah.

Al-Ghazali dianggap sebagai pembela kebenaran Islam yang terbesar sehingga digelar Hujjatul Islam atau “pembela Islam”. Sehingga sekarang orang muslim tetap tekun membaca karyanya yang terbesar, Ihya’ Ulum Ad din (Menghidupkan Kembali Ilmu Agama).

Disebabkan kehidupannya ‘terganggu’ oleh krisis kepercayaan dan keraguan, pada tahun 1095 Al-Ghazali meninggalkan Baghdad dan mengembara dari suatu tempat ke suatu tempat. Pada mulanya beliau pergi ke Damsyik, kemudian ke Hebron dan Baitulmaqdis, kemudian ke Mekah dan Madinah. Beliau menjalani kehidupan zuhud dengan mengembara selama 10 tahun. Setelah itu beliau kembali ke Nisabur pada tahun 1106, menjadi tenaga pengajar di Madrasah Maimunah Nizamiyah. Tidak berapa lama kemudian, beliau meninggalkan Nisabur, pergi ke Tus dan mendirikan halaqah (sekolah calon sufi) di tempat kelahirannya ini. Beliau mengurus halaqah ini hingga akhir hayatnya.

Perjalanan intelektual dan spiritual dalam menemukan kedamaian batin serta mengikuti jalan sufi telah beliau abadikan menerusi autobiografinya yang berjudul al-Munqiz min ad-Dalal (Pembebas daripada Kesesatan).

Al-Ghazali dianggap paling berjasa dalam ‘mendamaikan’ antara tasawuf dengan syariat sehingga tasawuf dapat diterima oleh sebahagian besar umat Islam. Beliau juga berjasa mengembangkan serta menyebarkan aliran Asy’ariyah yang dianut oleh majoriti Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Al-Ghazali mengkritik pandangan dan penemuan para ahli falsafah dan akhirnya memilih tasawuf sebagai jalan menuju Tuhan. Dalam kritikannya terhadap para ahli falsafah menerusi karyanya Tahafut al Falasifah, beliau mengatakan bahawa ada tiga pendapat para ahli falsafah yang telah membawa mereka kepada kekufuran, iaitu bahawa alam ini adalah qadim, dalam erti tidak bermula dalam waktu; Tuhan tidak mengetahui bahagian sekecil-kecilnya dalam segala kejadian alam ini dan tidak ada kebangkitan jasmani pada hari kiamat.

Akhir sekali mari kita renungi sepotong ayat al-Quran dalam surah al-Mujaadalah ayat 11 yang bermaksud:
“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”



Sepintas lalu mengenai  latar belakang Imam Al-Ghazali ;

1058 – Lahir di Gazalah dekat Tus, Khurasan, bahagian utara Iran
1077-1085 – Berguru kepada al-Juwani (m. 1085 M), ahli fiqh dan Guru Besar Madrasah Nizamiyah
1090-1094 – Belajar dan mendalami bidang falsafah
1091 – Mengajar di Madrasah Nizamiyah, Baghdad
1095 – Menghadapi ‘konflik batin’, krisis kepercayaan dan sakit
1095-1105 – Meninggalkan Baghdad, melakukan pengembaraan sipiritual dan menjalani hidup zuhud
1106 – Kembali ke Nisabur dan mengajar di Madrasah Maimunah Nizamiyah
1108 – Meninggalkan Nisabur dan mendirikan sekolah sufi di Tus
1111 – Meninggal dunia di Tus


Susunan Nurain Minhad | Sumber: http://ummatanwasatan.net




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

tinggalkan komentar anda jika entri ini bermanfaat dan menarik untuk anda. segala pandangan sangat dihargai