Bilal bin Rabah r.a. adalah salah seorang daripada sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW yang paling terkenal. Dia merupakan muazzin atau juru azan di Masjid Nabi. Beliau merupakan seorang hamba Habsyi yang dimiliki oleh seorang kafir di Mekah.
Keislamannya telah menimbulkan kemarahan yang tidak terhingga terhadap pemiliknya. Akibatnya, beliau pun diseksa dengan tanpa belas kasihan. Umayyah bin Khalaf, musuh Islam yang terkemuka di kalangan penduduk Mekah, yang memiliki Bilal telah membaringkannya atas pasir yang panas membakar serta meletakkan batu besar di atas dadanya sehingga ia tidak dapat menggerakkan tubuhnya.
Kemudian berkatalah Umayyah kepada Bilal: "Tinggalkanlah agamamu. Kalau tidak matilah kamu dalam kepanasan matahari yang tegak." Lantas Bilal menjawab dengan berkata: "Ahad!" (Tuhan Yang Esa!), "Ahad!" (Tuhan Yang Esa!).
.
Pada waktu malam, beliau didera dengan cemeti sehingga badannya luka-luka. Pada waktu siang pula, beliau dibaringkan di atas pasir yang panas. Tuannya berharap agar beliau akan meninggalkan agamanya atau pun mati akibat luka-luka di badannya.
Namun demikian, Bilal masih tetap dengan pendiriannya yang teguh. Umayyah, Abu Jahal dan pengikut-pengikut mereka menyiksa Bilal secara bergilir-gilir. Akhirnya Abu Bakar telah menebusnya dan semenjak hari itu, hiduplah dia sebagai seorang Muslim yang bebas. Semenjak ia dibebaskan, dia sentiasa berdampingan dengan Nabi Muhammad SAW sehingga Baginda SAW wafat. Selepas kewafatan Rasulullah SAW, Bilal pun meninggalkan Kota Madinah.
.
Pada suatu ketika dia telah melihat Nabi Muhammad SAW di dalam mimpinya. Berkata Nabi Muhammad SAW kepada Bilal: "Wahai Bilal, mengapakah kamu tidak melawatku?"
.
Sebaik-baik sahaja dia bangun dari tidurnya, dia pun bersiap-siap untuk berangkat ke Madinah. Setibanya dia di kota itu, dia telah berjumpa dengan Saidina Hasan r.a. dan Saidina Hussain r.a., cucunda Nabi Muhammad SAW. Mereka meminta agar Bilal mangalunkan azan.
Permintaan orang yang dicintainya itu tidak dapat ditolak. Apabila suara Bilal berkumandang di ruang angkasa Kota Madinah, penduduk-penduduknya pun tanpa segan silu menitiskan air mata mereka kerana terkenangkan zaman keemasan yang telah mereka lalui semasa hidupnya kekasih mereka, Nabi Muhammad SAW.
Sekali lagi Bilal telah meninggalkan Kota Madinah dan akhirnya meninggal dunia di Damsyik pada tahun 20 Hijrah.