Diriwayatkan oleh Mujahid: “Nabi Daud as. menangis selama 40 hari dalam sujud tanpa mengangkat kepala sehingga tumbuh lumut-lumut dari titisan air matanya, beliau juga menutup mukanya disebabkan kesalahan yang telah dilakukannya.”
Lalu kedengaran suara yang berkata: “Wahai Daud, apakah kamu lapar, kalau kamu lapar kamu akan diberi makan. Kalau kamu haus kamu akan diberi minum, kalau kamu tiada pakaian kamu akan diberi pakaian.”
Apabila Nabi Daud mendengar suara itu maka beliau pun memekik dengan pekikkan yang sungguh kuat sehingga kayu yang basah menjadi kering dan terus terbakar disebabkan takutnya kayu itu.
Kemudian Allah SWT menerima taubat Nabi Daud, lalu Nabi Daud berdoa: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah kesalahanku ditulis dalam tapak tanganku.” Maka tertulislah kesalahan Nabi Daud ditapak tangannya. Nabi Daud tidak membuka tapak tangannya walaupun ketika hendak makan, minum atau untuk keperluan lain. Setiap kali Nabi Daud melihat kesalahan yang tertulis di tangannya beliau akan menangis.”
Mujahid meneruskan ceritanya lagi: “Dibawakan kepada Nabi Daud gelas yang mengandungi 2/3 air untuk diminum, apabila Nabi Daud meletakkan gelas pada bibirnya maka terpandanglah beliau akan kesalahan yang tercatit di tangan beliau. Lalu menangislah Nabi Daud sehingga gelas tadi dipenuhi dengan air matanya.”
Diriwayatkan bahawa Nabi Daud tidak mengangkat kepalanya memandang ke langit sehingga beliau wafat, ini adalah kerana malunya beliau kepada, Allah SWT.
Dalam munajatnya Nabi Daud as. pada Allah SWT, beliau berkata: “Wahai Tuhanku! Apabila aku mengingatkan kesalahanku, maka sempitlah bumi ini bagiku. Apabila aku ingat kepada rahmatMu maka kembalilah nyawaku. Mahasuci Engkau wahai Tuhanku, Engkau datangkan doktor-doktor hamba Engkau untuk mengubati kesalahanku. Kesemua mereka menunjukkan aku kepada Engkau. Maka celakalah bagi orang-orang yang berputus asa dari rahmat Engkau.”
Pada suatu hari Nabi Daud telah mengingati dosanya, beliau pun melompat dengan meletakkan tangannya ke atas kepala lalu berlari sehingga sampai di bukit. Kemudian berkumpullah binatang buas mengadapnya. Berkata Nabi Daud as. pada binatang-binatang itu: “Baliklah kamu semua, aku tidak memerlukan kamu semua. Sesungguhnya yang aku kehendaki ialah, setiap orang hendaklah menangis di atas kesalahan mereka itu, dan setiap yang melakukan kesalahan pada Allah hendaklah menangis.”
Berkata Nabi Daud as. “Tinggalkan aku, biar aku menagis sebelum hari tangisan. Sebelum datang hari di mana tulang-belulang aku dihancurkan dan dibakarnya perutku, dan sebelum disuruh kepadaku oleh para malaikat yang bersikap kasar dan keras. Mereka itu tidak sekali-kali menderhakai Allah dan mereka itu melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah ke atas mereka.”
Abdul Aziz bin Umar berkata: “Ketika Nabi Daud as. telah membuat kesalahan maka kuranglah merdu suaranya, lalu beliau berdoa: “Wahai Tuhanku! Benarkanlah suaraku dalam kebersihan suara orang-orang shiddiq.”
Dikisahkan bahawa apabila Nabi Daud telah lama benar menangis, tangisannya itu tidak mendatangkan faedah, maka sempitlah baju besinya dan sangat susah benarlah hatinya. Kemudian beliau berdoa: “Wahai Tuhanku! Apakah Engkau tidak mengasihani akan tangisanku?”
Lalu Allah SWT berfirman: “Wahai Daud! Kamu lupa akan dosa kamu dan kamu ingatkan tangisanmu itu.”
Berkata Nabi Daud as. “Ya Tuhanku dan Penghuluku! Bagaimana hendak aku lupakan dosaku apabila aku membaca kitab Zabur, nescaya ia mencegah air yang mengalir dari mengalir. Menenangkan hembusan angin, dan burung menaungi atas kepalaku. Aku menjinakkan binatang-binatang liar di tempat sembahyangku. Wahai Tuhanku dan Penghuluku! Apakah keliaran ini yang ada di antaraku dengan Engkau?”
Kemudian Allah SWT berfirman: “Wahai Daud! Itu adalah kejinakkan taat dan ini keliaran maksiat Wahai Daud! Adam itu makhluk dari ciptaanKu, Aku ciptakan dia dengan tangan (kekuasaan) Ku, Aku hembuskan padanya rohKu dan Aku suruh para malaikatKu sujud kepadanya. Dengan mahkota kemuliaanKu Adam mengadu kepadaKu kerana keseorangan, kemudian Aku kahwinkan dia dengan Hawa hamba wanitaKu dan aku tempatkan dia dalam syurgaKu. Setelah itu dia telah berbuat maksiat kepadaKu, lalu Aku usir dia dari tetanggaKu dengan tidak berpakaian (telanjang) dan hina. Wahai Daud! Dengarlah dari Aku yang benar Aku firmankan, engkau minta kepada Kami, Kami berikan kepada engkau. Engkau berbuat maksiat kepada Kami, kami perlambat-lambatkan kepada engkau. Dan kalau engkau kembali kepada Kami nescaya Kami terima engkau.”
Diriwayatkan bahawa apabila Nabi Daud hendak menangis maka dia tidak akan makan dan minum selama seminggu, dan akan keluar beliau ke tanah lapang. Beliau menyuruh anaknya Sulaiman supaya menyeru kepada semua yang ada dalam semak, bukit-bukau, gunung-ganang dan di mana sahaja supaya datang untuk mendengar ratapan Nabi Daud as.
Setelah nabi Sulaman as. menyampaikan berita tersebut maka datanglah binatang-binatang buas, binatang-binatang yang menjalar, burung-burung, anak-anak gadis dan orang ramai dari seluruh pelusuk. Kemudian Nabi Daud naik atas mimbar dan beliau dikelilingi oleh Bani Israil (kaum Yahudi).
Lalu Nabi Daud as. memuji Allah SWT. Kemudian gemparlah mereka semua dengan tangisan dan pekikan. Setelah itu Nabi Daud as. menceritakan tentang syurga dan neraka. Apabila terdengar sahaja tentang syurga dan neraka maka matilah setengah binatang-binatang yang menjalar, binatang liar, binatang buas dan manusia. Kemudian Nabi Daud as. menceritakan tentang huru-hara hari kiamat dan beliau sendiri menangis, maka di masa itu matilah segolongan makhluk Allah.
Apabila nabi Sulaiman as. melihat terlampau banyaknya yang mati maka beliaupun berkata: “Wahai ayahku! Ayah telah membinasakan para pendengar setiap kali syarahan. Kini telah banyak yang mati terdiri dari Bani Israil dan binatang-binatang.”
Kemudian Nabi Daud as. pun berdoa, dalam waktu beliau sedang berdoa itu tiba-tiba seorang hamba dari Bani Israil berkata: “Wahai Daud! Kamu terlalu cepat sangat meminta balasan dari Tuhanmu.”
Apabila Nabi Daud as. mendengar kata-kata hamba itu maka beliaupun jatuh tersungkur dan pengsan. Nabi Sulaiman yang menyaksikan peristiwa itu berkata: “Ketahuilah sesiapa yang berteman atau berkeluarga dengan Daud as. hendaklah mereka itu membawa Nabi Daud ke tempat tidurnya, sesungguhnya orang-orang yang bersama Daud as. itu telah mati disebabkan Nabi Daud menceritakan kepada mereka tentang syurga dan neraka.
Setelah Nabi Daud as. sedar dari pengsannya, beliau bangun berdiri dan meletakkan tangannya di atas kepala. Kemudian beliau masuk ke rumah tempat ia beribadah dan dikuncinya dari dalam dan beliau pun berdoa: “Ya Tuhanku! Adakah Engkau marah kepada-ku?” Begitulah Nabi Daud as. sentiasa bermunajat kepada Allah SWT.
Nabi Sulaiman datang menghampiri rumah tempat ayahnya beribadat, beliau meminta izin masuk. Setelah Nabi Daud as. mengizinkan anaknya masuk, Nabi Sulaiman membawa bersamanya roti untuk ayahnya.
Berkata Nabi Sulaiman: “Wahai ayahku, makanlah roti ini, mudah-mudahan akan menguatkan kesihatan ayah.”
Pada suatu hari Nabi Daud memberikan ceramahnya pada orang ramai, beliau banyak memberi nasihat supaya takutkan kepada Allah. Pada masa beliau memulakan ceramah terdapat 40,000 orang yang menghadiri majlis itu, oleh kerana para pendengar itu berasa cukup takut kepada Allah SWT maka 30,000 orang dari seramai 40,000 itu telah mati disebabkan takutnya mereka kepada Allah SWT. Akhirnya yang pulang bersama Nabi Daud as. cuma 10,000 orang sahaja.
Dikisahkan bahawa Nabi Daud ada dua orang hamba perempuan, apabila Nabi Daud merasa takut kepada Allah SWT maka kedua hamba itu akan naik duduk di atas dada dan di kaki Nabi Daud, ini adalah kerana khuatir anggota Nabi Daud akan cerai-berai oleh kerana takutnya ia kepada Allah SWT.