iklan baris

Gagak Haiwan Yang Bijak Menurut Al-Quran dan Sains ?





Assalamualaikum dan salam hormat buat semua pembaca blog yang dirahmati Allah swt.Lama rasanya tidak update perkongsian di blog ini . Seperti yang kita maklum burung umumnya tidak dianggap haiwan yang bijak. cuba anda baca dan fahami sebuah ayat dari Al-Quran yang melibatkan burung. Berikut adalah petikan ayat tersebut:


"Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnya, maka jadilah ia orang-orang yang rugi. Kemudian Allah menyuruh seekor gagak menggali-gali bumi untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana dia seharusnya menguburkan mayat saudaranya. Berkata Qabil:'Aduhai celaka aku, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini?' Kerana itu jadilah dia seorang diantara orang-orang yang menyesal."  (Al Maidah : 30-31)



Ini memberi petunjuk agar melihat lebih dekat dan mempelajarinya lebih dalam. hal ini berkait dengan burung gagak kerana ayat ini jelas menunjukkan burung ini sebagai mentor bagi manusia, dan jelas menunjukkan bahawa manusia terasa "direndahkan" oleh solusi yang ditemui oleh gagak untuk beberapa masalah kritis mereka.

Majalah American Scientific memperlihatkan hasil penelitian para ilmuwan, Bernd Heinrich dan Thomas Bugnyar - Vermont University, Canada dan St Andrews University, Scotland - yang menunjukkan kemampuan mental yang luar biasa dari gagak. "Burung ini menggunakan logika untuk memecahkan masalah dan beberapa kemampuan mereka bahkan melampaui dari monyet." kata mereka.

Dalam percubaan ini, gagak diberi tugas yang sangat kompleks yang mereka belum pernah dapati sebelumnya dan naluri mereka tidak diprogram untuk melakukannya secara semulajadi. namun mereka selalu berjaya mencari kreativiti dan solusi logik untuk menyelesaikan tugas-tugas tersebut. Yang lebih mengejutkan lagi, mereka melakukannya dengan pertama kali, setiap kali, tanpa proses trial and error pun!

Beberapa percubaan menunjukkan bahawa burung gagak yang licik boleh membuat binatang lain bekerja untuk mereka. membuat haiwan lain mencarika makanan untuk mereka atau mempermudahkan mereka.

Bukti lain kecerdasan yang tinggi dari Gagak adalah mereka boleh beradaptasi dengan daerah yang sangat berbeza, iaitu dari padang pasir ke pegunungan. Mereka belajar untuk menemui makanan bahkan dalam keadaan paling sukar, dan mereka tahu bagaimana dan bila harus menggunakan haiwan lain untuk membantu mereka mendapatkan makanan yang mereka tidak bole mendapatkannya sendiri.

Ketika para peneliti melihat gagak lulus dari ujian yang sukar, para peneliti bertanya-tanya apa tujuan semua kepandaian ini berfungsi, kerana burung-burung lain menjalani hidup dengan baik walaupun dengan kepandaian jauh lebih sedikit? mungkinkah gagak memiliki tujuan yang lebih tinggi di dunia daripada kehidupan burung yang sederhana? 

NASA Menyembunyikan Misteri Di Sebalik Kota Mekah






Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Allah telah menjadikan Kaabah, rumah suci itu sebagai pusat bagi manusia.” (Surah Maa’idah: 97)

“Neil Amstrong telah membuktikan bahwa kota Mekah yang terletaknya Kaabah adalah pusat kepada planet Bumi.”

Sebenarnya di dalam Al-Quran terlebih dahulu membicarakan perkara ini, sebagai hamba Allah yang diberikan akal fikiran perlulah meneliti dan berfikir disebalik rahsia-rahsia yang terkandung didalam ayat-ayat suci Al-Quran Al-Karim.

Diantara Kalam-kalam Allah Ta’ala mengenai Mekah Pusat Bumi

Firman Allah yang bermaksud:

“Demikianlah Kami wahyukan kepadamu al-Quran dalam bahasa Arab supaya kamu memberi peringatan kepada Ummul Qura (penduduk Mekah) dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya (negeri-negeri di sekelilingnya).” (asy-Syura: 7)


Kata “Ummul Qura” bererti induk bagi kota-kota lain, dan kota-kota di sekelilingnya, menunjukkan Mekah adalah pusat bagi kota-kota lain, dan yang lain hanyalah berada di sekelilingnya.

Lebih dari itu, kata “ummu” (ibu) mempunyai erti yang cukup penting dan luas di dalam peradaban Islam. Sebagaimana seorang ibu adalah sumber dari keturunan, maka Mekah juga merupakan sumber dari semua negeri lain serta keunggulan di atas semua kota.



Allah berfirman lagi yang bermaksud:

“Wahai jin dan manusia, jika kamu sanggup menembusi (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusinya kecuali dengan kekuatan (ilmu pengetahuan).” (ar-Rahman: 33)

Kata “aqthar” adalah bentuk jamak dari kata “qutr” yang bererti diameter, dan ia mengacu pada langit dan bumi yang mempunyai banyak diameter.

Berdasarkan ayat ini dapat difahami bahawa diameter lapisan-lapisan langit itu di atas diameter bumi (tujuh lempengan bumi). Jika Mekah berada di tengah-tengah bumi, dengan itu bererti bahawa Mekah juga berada di tengah-tengah lapisan-lapisan langit.

Selain itu ada hadis yang menerangkan bahawa Masjidil Haram di Mekah, tempat kaabah berada itu ada di tengah-tengah tujuh lapisan langit dan tujuh lapisan yang membentuk bumi.
Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya:




“Wahai orang-orang Mekah, wahai orang-orang Quraisy , sesungguhnya kamu berada di bawah pertengahan langit.”

Berdasarkan penelitian di atas, bahawa Mekah berada pada tengah-tengah bumi (pusat dunia), maka benar-benar diyakini bahawa Kota Suci Mekah, bukan Greenwich, yang seharusnya dijadikan rujukan waktu dunia. – (Dipetik dari Eramuslim “Makkah Sebagai Pusat Bumi” Oleh Dr. Mohamad Daudah)



Neil Amstrong membuktikan bahwa kota Mekah yang terletaknya Kaabah adalah pusat kepada planet Bumi, sedangkan Al-Quran sejak 1400 tahun yang lalu telah berbicara mengenai kota Mekah dan kaabah adalah pusat bumi ini.


Ketika kali pertama Neil Amstrong melakukan perjalanan ke luar angkasa dan mengambil gambar planet Bumi, dia berkata, “Planet Bumi ternyata bertumpu di area yang sangat gelap, dan di manakah ia berpusat?.” Fakta ini telah diteliti melalui sebuah penelitian Ilmiah.

Para angkasawan telah menemui bahawa planet Bumi itu mengeluarkan satu radiasi, secara rasmi mereka mengumumkannya di Internet, tetapi sayangnya 21 hari kemudian website tersebut hilang dan seperti ada alasan tersembunyi di sebalik penghapusan lama web tersebut.Setelah melakukan penelitian lebih lanjut, ternyatalah radiasi tersebut berpusat di kota Mekah, dan tepatnya berasal daripada Kaabah. Yang mengejutkan adalah radiasi tersebut bersifat infinite (tidak berakhir).

Perkara ini terbukti ketika mereka mengambil foto planet Mars, radiasi tersebut masih berlanjutan. Para peneliti Muslim mempercayai bahawa radiasi ini memiliki karakteristik dan menghubungkan antara Kaabah di planet Bumi dengan Kaabah di alam akhirat.


Di tengah-tengah antara kutub utara dan kutub selatan, terdapat suatu area yang bernama ‘Zero Magnetism Area’, di mana apabila kita mengeluarkan kompas di kawasan tersebut, maka jarum kompas tersebut tidak akan bergerak sama sekali kerana daya tarikan yang sama besar antara kedua kutub .


Itulah sebabnya jika seseorang tinggal di Mekah, maka dia akan hidup lebih lama, lebih sihat, dan tidak banyak dipengaruhi oleh banyak kekuatan graviti. Oleh sebab itu lah ketika kita mengelilingi Kaabah, maka seakan-akan diri kita dicas oleh suatu tenaga misteri yang menyebabkan kita bertenaga ketika mengelilingi
kaabah dan ini adalah fakta yang telah dibuktikan secara ilmiah.

Penelitian lainnya menyatakan bahawa batu Hajar Aswad merupakan batu tertua di dunia dan juga boleh terapung di air. Di sebuah muzium di negara Inggeris, terdapat tiga buah potongan batu tersebut (dari Kaabah) dan pihak muzium juga mengatakan bahawa bongkahan batu-batu tersebut bukan berasal dari sistem suria kita.




Rasulullah SAW bersabda:

“Hajar Aswad itu diturunkan dari syurga, warnanya lebih putih daripada susu, dan dosa-dosa anak cucu Adamlah yang menjadikannya hitam.” (Jami’ al-Tirmidzi al-Hajj)

'“Hajar Aswad dari batu-batuan Syurga dan tidak ada suatu benda di bumi yang turunnya dari Syurga selain batu itu.” (HR. Thabrani)


Wallahu’alam….

Kisah Nabi Daud A.S Takut Kepada Allah SWT




Diriwayatkan oleh Mujahid: “Nabi Daud as. menangis selama 40 hari dalam sujud tanpa mengangkat kepala sehingga tumbuh lumut-lumut dari titisan air matanya, beliau juga menutup mukanya disebabkan kesalahan yang telah dilakukannya.”

Lalu kedengaran suara yang berkata: “Wahai Daud, apakah kamu lapar, kalau kamu lapar kamu akan diberi makan. Kalau kamu haus kamu akan diberi minum, kalau kamu tiada pakaian kamu akan diberi pakaian.”
Apabila Nabi Daud mendengar suara itu maka beliau pun memekik dengan pekikkan yang sungguh kuat sehingga kayu yang basah menjadi kering dan terus terbakar disebabkan takutnya kayu itu.

Kemudian Allah SWT menerima taubat Nabi Daud, lalu Nabi Daud berdoa: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah kesalahanku ditulis dalam tapak tanganku.” Maka tertulislah kesalahan Nabi Daud ditapak tangannya. Nabi Daud tidak membuka tapak tangannya walaupun ketika hendak makan, minum atau untuk keperluan lain. Setiap kali Nabi Daud melihat kesalahan yang tertulis di tangannya beliau akan menangis.”

Mujahid meneruskan ceritanya lagi: “Dibawakan kepada Nabi Daud gelas yang mengandungi 2/3 air untuk diminum, apabila Nabi Daud meletakkan gelas pada bibirnya maka terpandanglah beliau akan kesalahan yang tercatit di tangan beliau. Lalu menangislah Nabi Daud sehingga gelas tadi dipenuhi dengan air matanya.”

Diriwayatkan bahawa Nabi Daud tidak mengangkat kepalanya memandang ke langit sehingga beliau wafat, ini adalah kerana malunya beliau kepada, Allah SWT.

Dalam munajatnya Nabi Daud as. pada Allah SWT, beliau berkata: “Wahai Tuhanku! Apabila aku mengingatkan kesalahanku, maka sempitlah bumi ini bagiku. Apabila aku ingat kepada rahmatMu maka kembalilah nyawaku. Mahasuci Engkau wahai Tuhanku, Engkau datangkan doktor-doktor hamba Engkau untuk mengubati kesalahanku. Kesemua mereka menunjukkan aku kepada Engkau. Maka celakalah bagi orang-orang yang berputus asa dari rahmat Engkau.”

Pada suatu hari Nabi Daud telah mengingati dosanya, beliau pun melompat dengan meletakkan tangannya ke atas kepala lalu berlari sehingga sampai di bukit. Kemudian berkumpullah binatang buas mengadapnya. Berkata Nabi Daud as. pada binatang-binatang itu: “Baliklah kamu semua, aku tidak memerlukan kamu semua. Sesungguhnya yang aku kehendaki ialah, setiap orang hendaklah menangis di atas kesalahan mereka itu, dan setiap yang melakukan kesalahan pada Allah hendaklah menangis.”

Berkata Nabi Daud as. “Tinggalkan aku, biar aku menagis sebelum hari tangisan. Sebelum datang hari di mana tulang-belulang aku dihancurkan dan dibakarnya perutku, dan sebelum disuruh kepadaku oleh para malaikat yang bersikap kasar dan keras. Mereka itu tidak sekali-kali menderhakai Allah dan mereka itu melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah ke atas mereka.”

Abdul Aziz bin Umar berkata: “Ketika Nabi Daud as. telah membuat kesalahan maka kuranglah merdu suaranya, lalu beliau berdoa: “Wahai Tuhanku! Benarkanlah suaraku dalam kebersihan suara orang-orang shiddiq.”
Dikisahkan bahawa apabila Nabi Daud telah lama benar menangis, tangisannya itu tidak mendatangkan faedah, maka sempitlah baju besinya dan sangat susah benarlah hatinya. Kemudian beliau berdoa: “Wahai Tuhanku! Apakah Engkau tidak mengasihani akan tangisanku?”

Lalu Allah SWT berfirman: “Wahai Daud! Kamu lupa akan dosa kamu dan kamu ingatkan tangisanmu itu.”
Berkata Nabi Daud as. “Ya Tuhanku dan Penghuluku! Bagaimana hendak aku lupakan dosaku apabila aku membaca kitab Zabur, nescaya ia mencegah air yang mengalir dari mengalir. Menenangkan hembusan angin, dan burung menaungi atas kepalaku. Aku menjinakkan binatang-binatang liar di tempat sembahyangku. Wahai Tuhanku dan Penghuluku! Apakah keliaran ini yang ada di antaraku dengan Engkau?”

Kemudian Allah SWT berfirman: “Wahai Daud! Itu adalah kejinakkan taat dan ini keliaran maksiat Wahai Daud! Adam itu makhluk dari ciptaanKu, Aku ciptakan dia dengan tangan (kekuasaan) Ku, Aku hembuskan padanya rohKu dan Aku suruh para malaikatKu sujud kepadanya. Dengan mahkota kemuliaanKu Adam mengadu kepadaKu kerana keseorangan, kemudian Aku kahwinkan dia dengan Hawa hamba wanitaKu dan aku tempatkan dia dalam syurgaKu. Setelah itu dia telah berbuat maksiat kepadaKu, lalu Aku usir dia dari tetanggaKu dengan tidak berpakaian (telanjang) dan hina. Wahai Daud! Dengarlah dari Aku yang benar Aku firmankan, engkau minta kepada Kami, Kami berikan kepada engkau. Engkau berbuat maksiat kepada Kami, kami perlambat-lambatkan kepada engkau. Dan kalau engkau kembali kepada Kami nescaya Kami terima engkau.”

Diriwayatkan bahawa apabila Nabi Daud hendak menangis maka dia tidak akan makan dan minum selama seminggu, dan akan keluar beliau ke tanah lapang. Beliau menyuruh anaknya Sulaiman supaya menyeru kepada semua yang ada dalam semak, bukit-bukau, gunung-ganang dan di mana sahaja supaya datang untuk mendengar ratapan Nabi Daud as.

Setelah nabi Sulaman as. menyampaikan berita tersebut maka datanglah binatang-binatang buas, binatang-binatang yang menjalar, burung-burung, anak-anak gadis dan orang ramai dari seluruh pelusuk. Kemudian Nabi Daud naik atas mimbar dan beliau dikelilingi oleh Bani Israil (kaum Yahudi).

Lalu Nabi Daud as. memuji Allah SWT. Kemudian gemparlah mereka semua dengan tangisan dan pekikan. Setelah itu Nabi Daud as. menceritakan tentang syurga dan neraka. Apabila terdengar sahaja tentang syurga dan neraka maka matilah setengah binatang-binatang yang menjalar, binatang liar, binatang buas dan manusia. Kemudian Nabi Daud as. menceritakan tentang huru-hara hari kiamat dan beliau sendiri menangis, maka di masa itu matilah segolongan makhluk Allah.

Apabila nabi Sulaiman as. melihat terlampau banyaknya yang mati maka beliaupun berkata: “Wahai ayahku! Ayah telah membinasakan para pendengar setiap kali syarahan. Kini telah banyak yang mati terdiri dari Bani Israil dan binatang-binatang.”

Kemudian Nabi Daud as. pun berdoa, dalam waktu beliau sedang berdoa itu tiba-tiba seorang hamba dari Bani Israil berkata: “Wahai Daud! Kamu terlalu cepat sangat meminta balasan dari Tuhanmu.”

Apabila Nabi Daud as. mendengar kata-kata hamba itu maka beliaupun jatuh tersungkur dan pengsan. Nabi Sulaiman yang menyaksikan peristiwa itu berkata: “Ketahuilah sesiapa yang berteman atau berkeluarga dengan Daud as. hendaklah mereka itu membawa Nabi Daud ke tempat tidurnya, sesungguhnya orang-orang yang bersama Daud as. itu telah mati disebabkan Nabi Daud menceritakan kepada mereka tentang syurga dan neraka.

Setelah Nabi Daud as. sedar dari pengsannya, beliau bangun berdiri dan meletakkan tangannya di atas kepala. Kemudian beliau masuk ke rumah tempat ia beribadah dan dikuncinya dari dalam dan beliau pun berdoa: “Ya Tuhanku! Adakah Engkau marah kepada-ku?” Begitulah Nabi Daud as. sentiasa bermunajat kepada Allah SWT.
Nabi Sulaiman datang menghampiri rumah tempat ayahnya beribadat, beliau meminta izin masuk. Setelah Nabi Daud as. mengizinkan anaknya masuk, Nabi Sulaiman membawa bersamanya roti untuk ayahnya.

Berkata Nabi Sulaiman: “Wahai ayahku, makanlah roti ini, mudah-mudahan akan menguatkan kesihatan ayah.”
Pada suatu hari Nabi Daud memberikan ceramahnya pada orang ramai, beliau banyak memberi nasihat supaya takutkan kepada Allah. Pada masa beliau memulakan ceramah terdapat 40,000 orang yang menghadiri majlis itu, oleh kerana para pendengar itu berasa cukup takut kepada Allah SWT maka 30,000 orang dari seramai 40,000 itu telah mati disebabkan takutnya mereka kepada Allah SWT. Akhirnya yang pulang bersama Nabi Daud as. cuma 10,000 orang sahaja.

Dikisahkan bahawa Nabi Daud ada dua orang hamba perempuan, apabila Nabi Daud merasa takut kepada Allah SWT maka kedua hamba itu akan naik duduk di atas dada dan di kaki Nabi Daud, ini adalah kerana khuatir anggota Nabi Daud akan cerai-berai oleh kerana takutnya ia kepada Allah SWT.


Kisah Nabi Yunus A.S Ditelan Ikan Nun




Tidak banyak yang dikisahkan oleh Al-Quran tentang Nabi Yunus sebagaimana yang telah dikisahkan tentang nabi-nabi Musa, Yusuf dan lain-lain. Dan sepanjang yang dapat dicatat dan diceritakan oleh para sejarawan dan ahli tafsir tentang Nabi Yunus ialah bahawa beliau bernama Yunus bin Matta. Ia telah diutuskan oleh Allah s.w.t. untuk berdakwah kepada penduduk di sebuah tempat bernama "Ninawa" yang bukan kaumnya dan tidak pula ada ikatan darah dengan mereka.

Ia merupakan seorang asing mendatang di tengah-tengah penduduk Ninawa itu. Ia menemui mereka berada di dalam kegelapan, kebodohan dan kekafiran, mereka menyembah berhala menyekutukan kepada Allah s.w.t..

Yunus membawa ajaran tauhid dan iman kepada mereka, mengajak mereka agak menyembah kepada Allah s.w.t. yang telah menciptakan mereka dan menciptakan alam semesta, meninggalkan persembahan mereka kepada berhala-berhala yang mereka buat sendiri dari batu dan berhala-berhala yang tidak dapat membawanya manfaaat atau mudarat bagi mereka. Ia memperingatkan mereka bahawa mereka sebagai manusia makhluk Allah s.w.t. yang utama yang memperoleh kelebihan di atas makhluk-makhluk yang lain tidak sepatutnya merendahkan diri dengan menundukkan dahi dan wajah mereka menyembah batu-batu mati yang mereka pertuhankan, padahal itu semua buatan mereka sendiri yang kadang-kadang dan dapat dihancurkan dan diubah bentuk dan memodelnya. Ia mengajak mereka berfikir memperhatikan ciptaan Allah s.w.t. di dalam diri mereka sendiri, di dalam alam sekitar untuk menyedarkan mereka bahawa Tuhan pencipta itulah yang patut disembah dan bukannya benda-benda ciptaannya.

Ajaran-ajaran Nabi Yunus itu bagi para penduduk Ninawa merupakan hal yang baru yang belum pernah mereka dengar sebelumnya. Kerananya mereka tidak dapat menerimanya untuk menggantikan ajaran dan kepercayaan yang telah diwariskan oleh nenek moyang mereka yang sudah menjadi adat kebiasaaan mereka turun temurun. Apalagi pembawa agama itu adalah seorang asing tidak seketurunan dengan mereka.

Mereka berkata kepada Nabi Yunus: "Apakah kata-kata yang engkau ucapkan itu dan kedustaan apakah yang engkau anjurkan kepada kami tentang agama barumu itu? Inilah tuhan-tuhan kami yang sejati yang kami sembah dan disembahkan oleh nenek moyamg kami sejak dahulu. Alasan apakah yang membenarkan kami meninggalkan agama kami yang diwariskan oleh nenek moyang kami dan menggantikannya dengan agama barumu?

Engkau adalah seorang yang ditengah-tengah kami yang datang untuk merusakkan adat istiadat kami dan mengubah agama kami dan apakah kelebihan kamu diatas kami yang memberimu alasan untuk mengurui dan mengajar kami. Hentikanlah aksimu dan ajak-ajakanmu di daerah kami ini. Percayalah bahawa engkau tidak akan dapat pengikut diantara kami dan bahawa ajaranmu tidak akan mendapat pasaran di antara rakyat Ninawa yang sangat teguh mempertahankan tradisi dan adat istiadat orang-orang tua kami."

Barkata Nabi Yunus menjawab: "Aku hanya mengajak kamu beriman dan bertauhid menurut agama yang aku bawa sebagai amanat Allah s.w.t. yang wajib ku sampaikan kepadamu. Aku hanya seorang pesuruh yang ditugaskan oleh Allah s.w.t. untuk mengangkat kamu dari lembah kesesatan dan kegelapan menuntun kamu ke jalan yang benar dan lurus menyampaikan kepada kamu agama yang suci bersih dari benih-benih kufur dan syirik yang merendahkan martabat manusia yang semata-mata untuk kebaikan kamu sendiri dan kebaikan anak cucumu kelak.

Aku sesekali tidak mengharapkan sesuatu upah atau balas jasa daripadamu dan tidak pula menginginkan pangkat atau kedudukan. Aku tidak dapat memaksamu untuk mengikutiku dan melaksanakan ajaran-ajaranku. Aku hanya mengingatkan kepadamu bahawa bila kamu tetap membangkang dan tidak menghiraukan ajakanku, tetap menolak agama Allah s.w.t. yang aku bawa, tetap mempertahankan akidahmu dan agamamu yang bathil dan sesat itu, nescaya Allah s.w.t. kelak akan menunjukkan kepadamu tanda-tanda kebenaran risalahku dengan menurunkan azab seksa-Nya di atas kamu sebagaimana telah dialami oleh kaum terdahulu iaitu kaum Nuh, Aad dan Tsamud sebelum kamu.

Mereka menjawab peringatan Nabi Yunus dengan tentangan seraya mengatakan: "Kami tetap menolak ajakanmu dan tidak akan tunduk pada perintahmu atau mengikut kemahuanmu dan sesekali kami tidak akan takut akan segala ancamanmu. Cubalah datangkan apa yang engkau ancamkan itu kepada kami jika engkau memang benar dalam kata-katamu dan tidak mendustai kami." Nabi Yunus tidak tahan tinggal dengan lebih lama di tengah-tengah kaum Ninawa yang berkeras kepala dan bersikap buta-tuli menghadapi ajaran dan dakwahnya. Ia lalu meninggalkan Ninawa dengan rasa jengkel dan marah seraya memohon kepada Allah s.w.t. untuk menjatuhkan hukumannya atas orang-orang yang membangkang dan berkeras kepala itu.

Sepeninggalan Nabi Yunus penduduk Ninawa mulai melihat tanda-tanda yang mencemaskan seakan-akan ancaman Nabi Yunus kepada mereka akan menjadi kenyataan dan hukuman Allah s.w.t. akan benar-benar jatuh di atas mereka membawa kehancuran dan kebinasaan sebagaimana yang telah dialami oleh kaum musyrikin penyembah berhala sebelum mereka. Mereka melihat keadaan udara disekeliling Ninawa makin menggelap, binatang-binatang peliharaan mereka nampak tidak tenang dan gelisah, wajah-wajah mereka tanpa disedari menjadi pucat tidak berdarah dan angin dari segala penjuru bertiup dengan kecangnya membawa suara gemuruh yang menakutkan.

Dalam keadaan panik dan ketakutan, sedarlah mereka bahawa Yunus tidak berdusta dalam kata-katanya dan bahawa apa yang diancamkan kepada mereka bukanlah ancaman kosong buatannya sendiri, tetapi ancaman dari Tuhan. Segeralah mereka menyatakan taubat dan memohon ampun atas segala perbuatan mereka, menyatakan beriman dan percaya kepada kebenaran dakwah Nabi Yunus seraya berasa menyesal atas perlakuan dan sikap kasar mereka yang menjadikan beliau marah dan meninggalkan daerah itu.

Untuk menebus dosa, mereka keluar dari kota dan beramai-ramai pergi ke bukit-bukit dan padang pasir, seraya menangis memohon ampun dan rahmat Allah s.w.t. agar dihindarkan dari bencana azab dan seksaan-Nya. Ibu binatang-binatang peliharaan mereka dipisahkan dari anak-anaknya sehingga terdengar suara teriakan binatang-binatang yang terpisah dari ibunya seolah-olah turut memohon keselamatan dari bencana yang sedang mengancam akan tiba menimpa mereka.


Allah yang Maha Mengetahui bahawa hamba-hamba-Nya itu jujur dalam taubatnya dan rasa sesalannya dan bahawa mereka memang benar-benar dan hatinya sudah kembali beriman dan dari hatinya pula memohon dihindarkan dari azab seksa-Nya, berkenan menurunkan rahmat-Nya dan mengurniakan maghfirat-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang dengan tulus ikhlas menyatakan bertaubat dan memohon ampun atas segala dosanya. Udara gelap yang meliputi Ninawa menjadi terang, wajah-wajah yang pucat kembali merah dan berseri-seri dan binatang-binatang yang gelisah menjadi tenang, kemudian kembalilah orang-orang itu ke kota dan kerumah masing-masing dengan penuh rasa gembira dan syukur kepada Allah s.w.t. yang telah berkenan menerima doa dan permohonan mereka.

Berkatalah mereka didalam hati masing-masing setelah merasa tenang, tenteram dan aman dari malapetaka yang nyaris melanda mereka: "Di manakah gerangan Yunus sekarang berada? Mengapa kami telah tunduk kepada bisikan syaitan laknatullah dan mengikuti hawa nafsu, menjadikan dia meninggalkan kami dengan rasa marah dan jengkel kerana sikap kami yang menentang dan memusuhinya. Alangkah bahagianya kami andaikan ia masih berada di tengah-tengah kami menuntun dan mengajari kami hal-hal yang membawa kebahagiaan kami di dunia dan di akhirat. Ia adalah benar-benar rasul dan nabi Allah yang telah kami sia-siakan. Semoga Allah s.w.t. mengampuni dosa kami."

Adapun tentang keadaan Nabi Yunus yang telah meninggalkan kota Ninawa secara mendadak, maka ia berjalan kaki mengembara naik gunung turun gunung tanpa tujuan. Tanpa disadari ia tiba-tiba berada disebuah pantai melihat sekelompok orang yang lagi bergegas-gegas hendak menumpang sebuah kapal. Ia minta dari pemilik kapal agar diperbolehkan ikut serta bersama lain-lain penumpang. Kapal segera melepaskan sauhnya dan meluncur dengan lajunya ke tengah laut yang tenang. Ketenangan laut itu tidak dapat bertahan lama, kerana sekonyong-konyong tergoncang dan terayunlah kapal itu oleh gelombang besar yang datang mendadak diikuti oleh tiupan angin taufan yang kencang, sehingga menjadikan juru mudi kapal berserta seluruh penumpangnya berada dalan keadaan panik ketakutan melihat keadaan kapal yang sudah tidak dapat dikuasai keseimbangannya.

Para penumpang dan juru mudi melihat tidak ada jalan untuk menyelamatkan keadaan jika keadaan cuaca tetap mengganas dan tidak mereda, kecuali dengan jalan meringankan beban berat muatan dengan mengorbankan salah seorang daripada para penumpang. Undian lalu dilaksanakan untuk menentukan siapakah di antara penumpang yang harus dikorbankan. Pada tarik pertama keluarlah nama Yunus, seorang penumpang yang mereka paling hormati dan cintai, sehingga mereka semua merasa berat untuk melemparkannya ke laut menjadi mangsa ikan.

Kemudian diadakanlah undian bagi kali kedua dengan masing-masing penumpang mengharapkan jangan sampai keluar lagi nama Yunus yang mereka sayangi itu, namun melesetlah harapan mereka dan keluarlah nama Yunus kembali pada undian yang kedua itu. Demikianlah bagi undian bagi kali yang ketiganya yang disepakati sebagai yang terakhir dan yang menentukan nama Yunuslah yang muncul yang harus dikorbankan untuk menyelamatkan kapal dan para penumpang yang lain. Nabi Yunus yang dengan telitinya memperhatikan sewaktu undian dibuat merasa bahawa keputusan undian itu adalah kehendak Allah s.w.t. yang tidak dapat ditolaknya yang mungkin didalamnya terselit hikmah yang ia belum dapat menyelaminya. Yunus sedar pula pada saat itu bahawa ia telah melakukan dosa dengan meninggalkan Ninawa sebelum memperoleh perkenan Allah s.w.t., sehingga mungkin keputusan undian itu adalah sebagai penebusan dosa yang ia lakukan itu. Kemudian ia beristikharah mengheningkan cipta sejenak dan tanpa ragu segera melemparkan dirinya ke laut yang segera diterima oleh lipatan gelombang yang sedang mengamuk dengan dahsyatnya di bawah langit yang kelam-pekat.

Selagi Nabi Yunus berjuang melawan gelombang yang mengayun-ayunkannya, Allah s.w.t. mewahyukan kepada seekor ikan paus untuk menelannya bulat-bulat dan menyimpangnya di dalam perut sebagai amanat Tuhan yang harus dikembalikannya utuh tidak tercedera kelak bila saatnya tiba. Nabi Yunus yang berada di dalam perut ikan paus yang membawanya memecah gelombang timbul dan tenggelam ke dasar laut merasa sesak dada dan bersedih hati seraya memohon ampun kepada Allah s.w.t. atas dosa dan tindakan yang salah yang dilakukannya tergesa-gesa. Ia berseru didalam kegelapan perut ikan paus itu: "Ya Tuhanku, sesungguhnya tiada Tuhan selain Engkau, Maha sucilah Engkau dan sesungguhnya aku telah berdosa dan menjadi salah seorang dari mereka yang zalim."

Setelah selesai menjalani hukuman Allah s.w.t., selama beberapa waktu yang telah ditentukan, ditumpahkanlah Nabi Yunus oleh ikan paus itu yang mengandungnya dan dilemparkannya ke darat. Ia terlempar dari mulut ikan ke pantai dalam keadaan kurus lemah dan sakit. Akan tetapi Allah s.w.t. dengan rahmat-Nya menumbuhkan di tempat ia terdampar sebuah pohon labu yang dapat menaungi Yunus dengan daun-daunnya dan menikmati buahnya. Nabi Yunus setelah sembuh dan menjadi segar kembali diperintahkan oleh Allah s.w.t. agar pergi kembali mengunjungi Ninawa di mana seratus ribu lebih penduduknya menharapkan kedatangannya untuk memimpin mereka dan memberi tuntunan lebih lanjut untuk menyempurnakan iman dan aqidah mereka. Dan alangkah terkejutnya Nabi Yunus tatkala masuk Ninawa dan tidak melihat satu pun patung berhala berdiri. Sebaliknya ia menemui orang-orang yang dahulunya berkeras kepala menentangnya dan menolak ajarannya dan kini sudah menjadi orang-orang mukmin, soleh dan beribadah memuja-muji Allah s.w.t.

Cerita tentang Yunus terurai di atas dikisahkan oleh Al-Quran dalam surah Yunus ayat 98, surah Al-Anbiaa' ayat 87, 88 dan surah Ash-Shaffaat ayat 139 sehingga ayat 148.


Kisah Nabi Musa a.s Dengan Seekor Burung Helang




Pada suatu hari Nabi Musa a.s. telah keluar dan pergi berjalan-jalan bersama dengan Yusa' bin Nun , tiba-tiba ada seekor burung putih yang hinggap pada bahu Nabi Musa a.s.

Burung itu berkata : "Wahai Nabi Allah lindungilah aku dari suatu pembunuhan pada hari ini".

Nabi Musa a.s bertanya : "Dari siapa?"

Jawab burung itu : "Dari burung helang yang mahu memakan aku."

Burung itu lalu masuk kelengan baju Nabi Musa a.s dan tidak berapa lama datanglah burung helang terbang menghadap Nabi Musa a.s dan berkata

Burung helang berkata : "Hai Nabi Musa, janganlah engkau menghalangi aku dari buruanku."

Nabi Musa berkata : "Aku akan menyembelih seekor kambingku untukmu sebagai gantinya."

Jawab burung helang : "Daging kambing tidak sesuai bagiku."

Selanjutnya burung helang itu berkata : "Sebagai ganti, aku ingin makan dua biji matamu sebagai ganti."

Jawab Nabi Musa a.s : "Baiklah kalau demikian."

Kemudian Nabi Musa a.s tidur menelentang dan datanglah burung helang itu hinggap di dada Nabi Musa a.s dan hendak mematuk dua matanya dengan paruhnya.

Melihat yang demikian ini Yusa' bin Nun berkata : "Wahai Nabi Allah, apakah engkau menganggap mudah dua mata engkau, hanya dalam urusan burung ini sahaja?"

Maka burung itu terbang dari lengan baju Nabi Musa a.s dan helang pun mengejarnya. Akhirnya kedua-dua burung itu kembali menghadap kepada Nabi Musa a.s seraya berkatalah seekor dari antara keduanya :


"Aku sebenarnya adalah malaikat Jibril dan kawanku ini adalah malaikat Mikail. Tuhanmu telah menyuruh kami menguji kepadamu boleh bersabarkah engkau dari qadha' Tuhanmu atau tidak."


Memang kesabaran itu harus dimiliki oleh setiap orang, lebih-lebih lagi orang yang beriman kepada Allah kerana memang orang yang beriman tidaklah akan dibiarkan begitu sahaja setelah ia menyatakan beriman kepada Allah, melainkan ia harus melalui ujian atau cubaan pula.


Rasulullah s.a.w bersabda bahawa sabar itu ada tiga:

Sabar terhadap bencana.
Sabar berlaku taat.
Sabar menjauhi perbuatan derhaka.


Barangsiapa sabar terhadap bencana, maka dicatat baginya tiga ratus darjat yang jaraknya jauh antara tiap-tiap dua darjat seperti jauhnya antara langit dan bumi.

Barangsiapa sabar berlaku taat, maka dicatatkan baginya enam ratus darjat yang jarak jauhnya antara dua darjat seperti jarak jauh antara permukaan bumi yang paling atas dengan dasar bumi yang ketujuh.

Barangsiapa sabar menjauhi perbuatan derhaka, maka dicatatkan baginya sembilan ratus darjat, yang jaraknya jauh antara tiap-tiap dua darjat seperti jarak jauhnya antara Arsy dengan bumi."


sumber : kisah-kisah nabi