iklan baris

Solat Tarawih : Panduan , Niat , dan Hikmah




Assalamualaikum dan salam sejahtera ke atas semua pembaca. Alhamdillah dengan izin Allah s.w.t kita diberi kesempatan lagi untuk bertemu dengan bulan mulia dalam takwim islam iaitu bulan Ramadhan . di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut ramadhan al-mubarak buat semua umat islam. Bulan yang penuh dengan barakah, penuh dengan pengampunan dari Allah s.w.t .  Hari ini bermulanya hari pertama puasa. dan di bulan puasa ini dituntut kita supaya meningkatkan amal ibadah kita ,  dan  di dalam bulan puasa solat sunat tarawih merupakan sunat mua'akad , yakni solat sunat yang sangat dituntut dilakukan oleh setiap umat islam untuk menghidupkan malam Ramadhan. 

Dalam tazkirah mengenai fadhilat solat tarawih pada malam tadi di kawasan rumah saya ( taman selaseh greenwood ) ada menyentuh bahawa jika seseorang itu menyempurnakan  tarawih untuk sepuluh malam terawal dilimpahinya dengan rahmat dari Allah s.w.t. dan bagi sepuluh malam berikutnya adalah malam pengampunan dimana diampunkan segala dosa-dosa kita yang telah lalu. manakala bagi sepuluh malam terakhir , terlepasnya kita dari azab neraka jahannam dan jika kita insan terpilih oleh Allah s.w.t kita akan bertemu dengan malam laillatul qadar yakni malam yang lebih baik dari seribu bulan. dimana  bagi mereka yang beribadat kerana keredhaan Allah ganjaran amalannya seolah-seolah beribadat selama seribu bulan .


dibawah ini saya kongsikan dengan para pembaca mengenai  panduan ringkas, niat , hikmah solat tarawih. moga perkongsian  dibawah ini memberi sedikit sebanyak info berguna untuk kita dalam menunaikan solat sunat tarawih . insyallah. 


Solat Sunat Tarawih , (1) ialah solat pada malam bulan Ramadhan. Nama sebenar atau asalnya, seperti yang disebut oleh hadis sahih, ialah solat Ramadhan (Qiyam Ramadhan).

Tarawih adalah kata jamak bagi tarwihah, ertinya berhenti rehat. Qiyam Ramadhan ini dilakukan dengan setiap empat rakaat berhenti rehat, maka empat rakaat itu dipanggil satu tarwihah . Kalau sembahyang itu 20 rakaat, maka akan ada lima tarwihah, atau mengikut nahu Arab lima tarawih. Tidak ada hukum untuk berehat. Seseorang boleh sahaja terus sembahyang hingga habis, tanpa berhenti


Hikmah Solat Tarawih

Solat sunat tarawih (Qiyam Ramadhan) dilakukan pada malam Ramadhan, secara berjamaah. Solat ini dilaksanakan dengan “berehat-rehat”, kerana ia biasanya dilakukan di masjid secara berjamaah. Maksud berhenti rehat adalah berhenti sekejap. Tujuan solat berehat-rehat untuk mengelakkan ketegangan badan selepas berbuka puasa, disamping memberikan keikhlasan dan ketenangan kepada orang yang sembahyang, khususnya orang yang berumur.

Solat ini digalakkan sebagai cara untuk menghidupkan malam bulan Ramadhan. Nabi menggalakkan orang qiyam Ramadhan, tanpa menjadikannya wajib. Baginda bersabda: “Siapa yang qiyam Ramadhan dengan beriman dan cermat(ihtisaban)(2) akan diampuni dosanya yang lalu.” (Riwayat Jamaah) (3)
Bulan Ramadhan bulan yang penuh barakah dan diberikan hikmat, antaranya ialah malam diamana diturunkan  Al-Quran dan  malam “lailatul qadar”. Solat tarawih dapat menghapuskan segala dosa yang dilakukan oleh seseorang.  

Solat tarawih ini jika dilakukan pada bulan selain bulan Ramadhan dipanggil solat malam – “solat lail”. Namun solat tarawih lebih utama kerana kedudukannya pada bulan Ramadhan. Solat ini tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi, tetapi cara melakukannya ada kalanya berjamaah di masjid dan ada kalanya tidak.
  

Cara Melaksanakan Solat Tarawih

Solat sunat tarawih atau qiyam Ramadhan dilakukan selepas solat Isyak. Jumlah rakaatnya berbeza-beza antara lapan rakaat , dua puluh rakaat, tiga puluh rakaat dan sebagainya. Terdapat hadis Bukhari dan Muslim mengatakan bahawa Saidatina Aisyah r.a, isteri Rasulullah s.a.w, melihat baginda bersolat tarawih di rumah lapan rakaat.(4) Dan terdapat amalan sahabat Nabi s.a.w yang pernah menjadi imam solat tarawih pada zaman Nabi, iaitu Ubai bin Kaab r.a, yang mendirikan solat ini 20 rakaat (juga diriwayatkan oleh Bukhari). (5)

Terdapat juga amalan penduduk Madinah melakukan solat tarawih 36 rakaat, dan dalam hadis riwayat al-Baihaqi mengatakan ada sahabat yang solat tarawih 200 rakaat.(6) Mereka berpendapat bahawa solat tarawih (qiyam Ramadhan) adalah nama lain bagi solat mutlak malam (qiyamulail}. Jika qiyamullail tidak dihadkan jumlah rakaatnya, maka qiyam Ramadhan pun demikian.

Solat sunat Ramadhan lapan rakaat, seperti yang dilihat oleh Aisyah r.anha di rumah, adalah yang 
minimum. Jumlah ini dipilih oleh segelintir umat Islam. Namun, solat tarawih 20 rakaat menjadi pilihan Imam Shafei, Hanbali dan Hanafi. Alasannya ialah amalan 20 rakaat itu dilakukan oleh Ubai bin Kaab r.a di masjid. Beliau, yang pernah menjadi imam pada zaman Nabi s.a.w, zaman Saidina Abu Bakar r.a dan zaman Saidina Umar r.a, melakukan solat tarawih 20 rakaat,(7) sehingga Saidina Umar r.a pun menetapkan solat tarawih berjamaah di masjid 20 rakaat.(8)

Sebagai hamba kepada Allah yang ingin mengabdi dan berbakti, kita mempunyai pilihan, keupayaan dan kehendak sendiri. Sebabnya, solat tarawih ini ibadat tambahan, dan satu cara untuk menunjukkan kebaktian dan ketaatan kepada Allah, maka Rasulullah s.a.w menyuruh ia dilakukan mengikut kemampuan (9), keikhlasan dan kerelaan. Sekiranya memadai dengan lapan, atau perlu ditambah hingga 20, itu hanyalah pilihan.

Perlu diingatkan ialah manusia perlu menjaga kesihatan, perlu tidur, perlu rehat seperti yang disabdakan oleh Nabi: “Adakah kamu yang memberitahu aku, kamu berpuasa pada siang hari dan solat sepanjang malam? Maka Abdullah bin Amru menjawab: Benar! Maka sabda Nabi: “Jangan buat begitu. Tetapi puasalah, bukalah, solatlah dan tidurlah. Badan kamu ada hak, dan mata kamu pun ada hak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)(10).

Solat tarawih dilakukan dengan setiap dua rakaat satu salam. Selepas membaca bacaan wajib iaitu Fatihah, sunat membaca sebarang ayat atau surah daripada Quran, tidak kira pendek atau panjang, atau berulang-ulang, asalkan bacaan itu betul dan solat ini dibuat dengan cermat. Tidak ada hadis Nabi tentang bacaan surah ini. 

Segala bacaan di luar solat, seperti salawat, doa dan periwayatan khalifah tidak termasuk amalan solat tarawih, tetapi hanya selingan antara solat. Tidak ada larangan untuk bersalawat atau berdoa, jika cara dan adab melakukannya baik. Dan ia tidak menjejaskan solat tarawih jika ditinggalkan.

Tambahan :

Sekiranya solat sendirian di rumah, maka bolehlah membaca surah panjang atau ayat Quran sebanyak-banyaknya. Namun sekiranya berjamaah di masjid umum, maka pendapat yang terpilih ialah bacaan imam haruslah ringkas, yang terdiri lima atau enam ayat untuk satu rakaat. Perkara yang perlu dijauhi ketika mendirikan solat sunat, apa jenis solat sunat pun, ialah menjauhkan sikap riya’. Hal ini ditegah Allah: “Celakalah (orang yang solat) yang mereka menunjuk-nunjuk. (al-Ma’un :6) (11)



Lafaz Niat Solat Tarawih





أ ُصـَــلـِّــى سـُــنـَّـَــة َ الــتـَّـَــرَاو ِيـْــح ِ رَكـْــعـَــتـَــيـْــن ِ لـِــلـَّـَـه تـَــعـَــالـَــى

 
Niat di hati: “Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”


Peringatan :

Semua solat sunat bersendirian boleh dilakukan dengan cara duduk (solat fardhu tidak sah dilakukan sambil duduk sekiranya berupaya berdiri)(12) 

Nota Kaki :

(1) Nawawi mengatakan semua ulama sepakat tentang hukumnya. Lihat al-Majmu’, Juz 4, hlm 37.
(2) Mengikut Syaukani, ertinya solat yang ikhlas dan tidak riya’. Lihat NailulAutar, Juz 3, hlm 50.
(3) Sahih Bukhari, Juz 2, hlm 251; al-Jami’ al-Sahih, Juz 2, hlm 176; Sunan Abu Daud, Juz 2, hlm 49; Sunan al-Nasai, Juz 4, hlm 155; Sunan Ibnu Majah, Juz 1, hlm 420; Sunan al-Darimi, Jilid 1, hlm 474; al-Muwatta’, Juz 1, hlm 113.
(4) Sahih Bukhari, Juz 2, hlm 253.
(5) Sahih Bukhari, Juz 2, hlm 252.
(6) Al-Majmu’, Juz 5, hlm 38.
(7) Sahih Bukhari, Juz 2, hlm 252.
(8) al-Baihaqi, Juz 2, hlm 496.
(9) Bukhari, Juz 2, hlm 48; Muslim, Juz 2, hlm 189.
(10) Bukhari, Juz 2, hlm 245; Muslim, Juz 3, hlm 162.
(11) Quran, surah al-Ma’un (107), ayat 6.
(12) Sahih Bukhari, Juz 2, hlm 40; Muslim, Juz 2, hlm 163.


Rujukan Sumber  Bacaan :

1. Haji Mohamad Jajuli Abd. Rahman. 2005. Solat-solat Sunat Hikmah Dan Cara. Selangor : Wholesale-mart Business Point Sdn Bhd. m.s 37-41

rujukan website :

2. Ad-Diyari.com

4 ulasan:

  1. =) bagus2 entry ni... salam ramadhan...=)

    BalasPadam
  2. AsSalam..

    blogwalking here..teruja dengan entry2 yang bermanfaat dalam blog ini..terus saya follow..

    terus kan penulisan seperti ini..
    terima kasih diatas perkongsian bahan/ilmu..

    BalasPadam
  3. bagaimana niat solat tarawih mngikut sunnah? adakah nabi membaca niat sedemikian ketika mendirikan solat sunat Qiyam Ramadhan?

    BalasPadam

tinggalkan komentar anda jika entri ini bermanfaat dan menarik untuk anda. segala pandangan sangat dihargai