iklan baris
Kisah Nabi Daniel A.S
Nabi Daniel (bahasa Ibrani: דָּנִיֵּאל, Daniyyel, Dāniyyêl; bahasa Parsi: دانيال, Dâniyal atau Danial, juga disebut Dani, داني ; Arabic: دانيال, Danyal) adalah tokoh yang dicatat dalam sejarah sebagai salah seorang Nabi ataupun Utusan Allah (Tuhan) dalam tiga agama samawi (Islam, Kristian, Yahudi). Namun begitu, maklumat mengenai Baginda banyak tertumpu kepada catatan dalam Kitab Daniel dalam agama Kristian Katolik dan Yahudi.
Kisah Nabi Daniel A.S.
Kitab Daniel, yang ditulis dalam bahasa Ibrani dan bahasa Aramik, adalah sebuah kitab suci Tanakh bagi agama Yahudi atau Perjanjian Lama bagi agama Kristian. Kisah dalam kitab ini berlaku semasa pembuangan di Babel, iaitu ketika bangsa Yahudi dibuang dan diasingkan ke Babil. Kisah ini berkisar seorang tokoh yang bernama Daniel yang berbangsa Israil dan menjadi penasihat Nebuchadnezar, penguasa Babil (Babylon) dari 605 SM - 562 SM.
Nabi Daniel A.S. bersama-sama bangsa Israil telah ditawan dan diasingkan ke Babil (Iraq) ketika masih kecil lagi. Ketika itu pemerintah Babil yang bernama Nebuchadnezzar telah menyerang Baitulmaqdis serta menghancurkan kota tersebut dan membawa para tawanan dari kalangan bangsa Israil dan mereka telah dizalimi oleh raja tersebut serta tidak dibenarkan pulang ke Baitulmaqdis.
Mimpi Raja Nebuchadnezzar
Dalam satu riwayat mengatakan bahawa ketika dalam tahanan penjara, Nabi Daniel bersama-sama rakannya tidak menjamah sedikit pun makanan yang diberikan oleh tentera Babylon sebaliknya hanya makan sayur dan minum air sahaja.
Kemudian pada satu ketika raja Nebuchadnezzar telah bermimpi sesuatu yang menakutkan sehingga dia telah meminta para ahli nujum untuk menafsirkan mimpinya namun dia sendiri tidak tahu apa yang dimimpikan olehnya. Raja Nebuchadnezzar mengancam untuk menjatuhkan hukuman bunuh kepada para ahli nujum sekiranya mereka tidak dapat menafsirkan mimpinya sehinggalah salah seorang daripada tawanan penjara memberitahu raja bahawa Nabi Daniel boleh menafsirkan mimpi raja itu.
Nabi Daniel telah menafsirkan mimpi raja itu mengenai sebuah patung besar yang mana setiap bentuk pada tubuh patung itu adalah daripada pelbagai logam iaitu kepalanya dari emas tua, dada dan lengannya dari perak, perut dan pinggangnya dari tembaga sedang pehanya dari besi dengan kakinya sebahagian daripada besi dan sebahagian lagi dari tanah liat. Nabi Daniel memberitahu lagi bahawa raja itu telah melihat sebuah batu tanpa perbuatan manusia telah menimpa patung itu tepat di bahagian kakinya yang dari besi dan tanah liat itu sehingga remuk. Akhirnya, batu itu yang menimpa patung tanpa perbuatan tangan manusia menghancurkan semua logam yang ada dipatung tersebut. Kemudian batu itu menjadi gunung yang besar memenuhi seluruh bumi.
Nabi Daniel secara jelas dan tegas menjelaskan bahawa logam-logam itu melambangkan sebuah pengantian kekuasaan dari kerjaan-kerajaan besar yang berdiri dan kemudian roboh, dimulai dengan Babylon yang dilambangkan oleh kepala dari emas. Sesudah Babylon adalah Media-Parsi (lengan dan dada perak). Kemudian kerajaan itu digantikan oleh Yunani (tembaga), kemudian digantikan lagi oleh Kekaisaran Rom iaitu kerajaan yang keempat yang keras seperti besi, tepat seperti besi yang meremukkan dan menghancurkan segala sesuatu dan seperti besi yang menghancur luluhkan, maka kerajaan itu akan meremukkan dan menghancur luluhkan semuanya. Kemudian pada bahagian kaki yang daripada campuran besi dan tanah liat pula ialah merujuk kepada kerajaan-kerajaan di Eropah selepas keruntuhan kekaisaran Rom pada 476 masihi. Campuran besi dan tanah liat adalah juga merujuk kepada penyatuan negara-negara Eropah namun sentiasa mengalami kegagalan. Maka selepas itu, Nabi Daniel telah dilantik oleh raja itu untuk menjadi orang kanannya kerana raja itu kagum dengan kehebatan Nabi Daniel, namun para menteri yang lain berasa cemburu lalu mereka telah mengadakan pelbagai cara untuk membunuh Nabi Daniel. Digalilah sebuah lubang besar, kemudian Nabi Daniel dimasukkan ke dalamnya bersama-sama dengan binatang-binatang buas dan berbisa. Namun, setelah beberapa hari lamanya Nabi Daniel berada di lubang tersebut, Nebuchadnezzar mendapatkan Nabi Daniel dalam keadaan sihat serta tidak luka sedikitpun. Para menteri itu terus membuat perancangan untuk membunuh Nabi Daniel sehinggakan mereka telah menghasut raja Nebuchadnezzar bahawa Nabi Daniel telah 'buang air' terhadap raja itu ketika sedang tidur. Raja yang mendengar hasutan itu berasa geram lalu Nabi Daniel telah dipanggil oleh raja terbabit untuk tidur dibiliknya. Nebuchadnezzar telah memberitahu pengawalnya sekiranya terdapat orang yang ingin masuk ke biliknya walaupun dia mengaku sebagai raja, pengawal itu perlu membunuh orang itu. Nabi Daniel tidak keluar daripada bilik itu sebaliknya raja itu yang keluar kerana hendak membuang air sehinggakan pengawal yang berkawal itu tidak percaya sedikitpun kepada Nebuchadnezzar walaupun dia memberitahu dia adalah raja. Akhirnya dia telah dibunuh oleh pengawalnya sendiri. Begitulah Allah S.W.T. hendak menyelamatkan nabi-Nya daripada kezaliman Nebuchadnezzar.
Seterusnya kerajaan Babylon telah ditawan oleh kerajaan Media-Parsi dan pemerintahnya telah melantik Nabi Daniel sebagai penasihatnya. Nabi Daniel juga dikatakan telah dipenjarakan ketika berada di bawah pemerintahan kerajaan Media-Parsi kerana tidak mahu meninggalkan amalan ibadahnya yakni (menyembah Allah) walaupun telah dikuatkuasakan oleh kerajaan itu yang melarang rakyat mengamalkan amalan ibadah. Nabi Daniel telah dipenjarakan bersama-sama 3 ekor singa, namun singa-singa itu tidak sedikitpun mencederakannya.
Menurut Abul Barakat al-Hifny, Nabi Daniel kemudian berangkat menuju ke kota Iskandariyah dan menghabiskan sisa-sisa hidupnya untuk berdakwah di sana, bahkan wafat dan terdapat makamnya di sana. Kemudian wujudnya Masjid Nabi Daniel sewaktu Mesir di bawah pemerintahan seorang gabenor iaitu Amru Al As kerana beliau telah menjumpai makam Nabi itu lalu membina masjid dikawasan itu dan dinamakan sempena nama Nabi Daniel.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
tinggalkan komentar anda jika entri ini bermanfaat dan menarik untuk anda. segala pandangan sangat dihargai