iklan baris

Panduan Lengkap Solat Sunat Aidilfitri Berserta Niat



Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca setia blog redzua-ridz. Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasihani saya kongsikan entri kali ini. sedar tak sedar ramadhan telah sampai dipenghujungnya dan syawal bakal menjelma . dan untuk perkongsian kali ini saya kongsikan dengan anda , pembaca blog saya ini, panduan lengkap mengenai tatacara mengerjakan solat sunat aidilfitri seperti dibawah  ,


TATACARA SOLAT HARI RAYA
 

Waktu Mengerjakan Solat Hari Raya.

Waktu untuk mengerjakan solat Hari Raya adalah setelah terbitnya matahari setinggi tombak sehingga tergelincirnya matahari iaitu waktu dhuha. Disunnahkan untuk dilewatkan solat Aidilfitri agar memberikan kesempatan mereka yang belum menunaikan zakat fitrah untuk menyempurnakannya. Manakala bagi solat Aidiladha disunnahkan untuk mempercepatkannya bagi memudahkan untuk menguruskan penyembelihan haiwan korban setelah solat tersebut.
 
Tiada Solat Sunat sebelum Dan Sesudah Solat Hari Raya.
 
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ يَوْمَ الْفِطْرِ فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُصَلِّ قَبْلَهَا وَلاَ بَعْدَهَا.
Maksudnya:
 
Daripada Ibnu ‘Abbas bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada Hari Raya al-Fithri kemudian solat dua rakaat dan tidak solat sebelumnya dan tidak pula sesudahnya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 989.
Namun di Malaysia ini solat Hari Raya dikerjakan di masjid-masjid. Maka perlu untuk dilaksanakan solat Tahiyyatul Masjid kerana secara umumnya setiap kali seseorang masuk ke dalam masjid adalah disyari’atkan untuk dikerjakan solat sunat dua rakaat Tahiyyatul Masjid.
 
Tiada Seruan Azan atau Iqamah. 

Tidak ada azan atau iqamah mahupun apa-apa ucapan sebelum solat Hari Raya. Dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh:
 
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى الْعِيدَ بِلاَ أَذَانٍ وَلاَ إِقَامَةٍ.

Maksudnya:

Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melaksanakan solat Hari Raya tanpa azan dan tanpa iqamah. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 968.
Apa yang jelas baginda shallallahu ‘alaihi wasallam setibanya di musolla lalu terus mendirikan solat Hari Raya. Ini sebagaimana disampaikan oleh Abu Sa’id al-Khudri, dia berkata:
 
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى.
فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ.
Maksudnya:
Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju musolla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat Hari Raya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 956.
 
Menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah:
 
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mendirikan solat dua rakaat dahulu sebelum khutbah, tanpa ada ucapan al-sholatu jami’ah. Apa yang benar menurut al-Sunnah adalah tanpa ucapan itu. Baginda dan para sahabat tidak ada yang mengerjakan solat sebelum mahupun sesudah solat ‘Ied. - Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaadul Ma’ad, ms. 48.
 
 Tiada Laungan al-Sholatu Jami’ah.

Melaungkan al-Sholatu Jami’ah sebelum memulakan solat Hari Raya merupakan satu perbuatan yang lazimnya di amalkan di Malaysia dan inilah juga pendapat Imam al-Syafi’i rahimahullah. Amalan ini adalah bersandarkan kepada sebuah hadis mursal daripada al-Zuhri bahawa dia berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُ اَلْمُوءَذِّنَ فِي الْعِدَيْنِ أَنْ يَقُوْلَ: اَلْصَّلاَةُ جَامِعَة.

Maksudnya:
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah memerintahkan kepada mu’adzin (tukang azan) ketika di dalam solat Hari Raya untuk mengucapkan al-Sholatu Jami’ah.

Hadis mursal adalah hadis yang disandarkan kepada tabi’in secara langsung kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tanpa menyebut nama sahabat yang meriwayatkan. Di dalam hadis di atas al-Zuhri adalah seorang tabi’in yang menyandarkan sebuah hadis terus kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tanpa melalui seorang sahabat sedangkan al-Zuhri tidak pernah bertemu dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Hadis mursal hukumnya dha’if (lemah) dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah. Imam Muslim di muqaddimah kitab Shahih Muslim telah berkata:
 
Riwayat-riwayat yang mursal itu pada dasar perkataan kami dan perkataan/pendapat ahli ilmu hadis, tidaklah boleh dijadikan sebagai hujah. - Di nukil dari kitab Al Masaa-il (masalah-masalah agama) karya Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qolam, Jakarta 2004, jilid 3, ms. 291.

 Oleh itu sewajarnya kita kekal hanya dengan riwayat-riwayat yang sabit daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu dengan tidak melaungkan apa-apa perkataan seperti al-Sholatu Jami’ah sebelum memulakan solat Hari Raya.
  
Jumlah Rakaat Untuk Solat Hari Raya.

Jumlah rakaat solat Hari Raya adalah dua. Daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh dia berkata:
 
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ يَوْمَ الْفِطْرِ فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ...
Maksudnya:
 
Bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada Hari Raya al-Fithri kemudian solat dua rakaat… - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 989.
 
Takbir Dalam Solat Hari Raya.

Oleh itu perlaksanaan solat Hari Raya ini sama dengan tatacara perlaksanaan solat dua rakaat yang lain hanya sahaja terdapat tambahan dua belas kali takbir di dalamnya. Pada rakaat pertama setelah Takbirat al-Ihram dan doa Iftitah serta sebelum bacaan surah al-Fatihah disunatkan membaca takbir sebanyak tujuh kali dan pada rakaat kedua lima kali.
 
عَنْ عَائِشَةَ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُكَبِّرُ فِي الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى
فِي الْأُولَى سَبْعَ تَكْبِيرَاتٍ وَفِي الثَّانِيَةِ خَمْسًا ... سِوَى تَكْبِيرَتَيْ الرُّكُوعِ.

Maksudnya:
Dari ‘Aisyah, dia berkata: Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam biasa bertakbir pada solat Aidilfitri dan Aidiladha, pada rakaat pertama tujuh kali takbir dan pada rakaat kedua lima kali takbir, selain dari dua takbir rukuk. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 970.
 
Tentang haruskah diangkat tangan atau tidak ketika takbir tersebut, menurut Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan: 

Tidak pernah diriwayatkan dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda mengangkat kedua tangannya ketika takbir pada solat Hari Raya (takbir pada rakaat pertama yang berjumlah tujuh kali dan pada rakaat kedua lima kali)… Namun Ibnul Mundzir berkata: “Malik telah berkata bahawa di dalam masalah ini (iaitu angkat atau tidak tangan ketika takbir tersebut) tidak ada sunah yang dianggap muktamad. Barangsiapa ingin mengangkat kedua tangannya pada waktu takbir tidak mengapa. Namun pendapat pertama (iaitu tidak mengangkat tangan) lebih aku sukai.” - Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan, Al-Qawl al-Mubiin fii Akhthaa’ al-Musholliin, ms. 395-396.
 
Syaikh Kamal bin al-Sayyid Salim berkata: 

Dan tidak ada sesuatu pun yang sahih bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengangkat tangan ketika takbir dalam solat Hari Raya. Akan tetapi Ibnul Qayyim menyatakan: Ibnu ‘Umar –dengan semangatnya mengikuti sunnah- beliau mengangkat tangannya setiap kali takbir

Saya katakan (Syaikh Kamal): Barangsiapa yang berpendapat bahawa Ibnu ‘Umar tidak melakukannya kecuali ada contoh daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, maka dia boleh mengangkat tangan setiap kali takbir, tetapi jika tidak maka sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. – rujuk Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim bertajuk Shahih Fiqh as-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Madzahib al-A’immah, jilid 1, ms. 935.
 
Oleh itu di dalam hal ini bolehlah kita memilih untuk mengangkat atau tidak tangan ketika takbir-takbir tersebut, namun yang lebih hampir kepada sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ialah dengan tidak mengangkatnya. Wallahu’alam. 

Bacaan Zikir Di Antara Takbir.

Mengenai bacaan di antara takbir-takbir tersebut maka Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari berkata: 

Tidak ada hadis yang sahih yang diriwayatkan daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai doa tertentu yang dibaca di antara takbir-takbir solat Hari Raya, tetapi telah ditetapkan dari Ibnu Mas’ud radhiallahu’ anh bahawasanya dia berkata mengenai solat Hari Raya: “Di antara dua takbir dipanjatkan pujian kepada Allah 'Azza wa Jalla sekaligus sanjungan ke atas-Nya. - Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari, Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah, ms. 61.

Menurut Imam Ahmad dan Imam al-Syafi’i rahimahumallah sunat di antara dua takbir itu membaca zikir seperti سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ “Subhanallah, walhamdulillah,wa la ilaha illallah, wallahu akbar”. - Dinukil darpada kitab Fikih Sunnah, karya Syaikh Sayyid Sabiq (edisi terjemahan oleh Mahyuddin Syaf, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990) jilid 2, ms. 286.Pendapat inilah yang telah dipilih oleh umat Islam di Malaysia.
 

Bacaan Ayat al-Qur’an Dalam Solat Hari Raya.

Tentang surah-surah yang dibacakan baginda shallallahu ‘alaihi wasallam setelah membaca al-Fatihah pada solat Hari Raya, Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah telah berkata:

Diriwayatkan secara sahih dari bacaan pertama surah Qaf dan surah al-Qamar dan bacaan kedua surah al-A’laa dan al-Ghaasyiah, dan hanya inilah riwayat yang sahih daripada baginda tentang bacaan itu (iaitu pada solat Hari Raya). - Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaadul Ma’ad, ms. 49.
 
Dalil yang dijadikan sandaran adalah seperti berikut:
 
عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ سَأَلَ أَبَا وَاقِدٍ اللَّيْثِيَّ:
مَا كَانَ يَقْرَأُ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الأَضْحَى وَالْفِطْرِ؟
فَقَالَ:كَانَ يَقْرَأُ فِيهِمَا بِق وَالْقُرْآنِ الْمَجِيدِ وَاقْتَرَبَتْ السَّاعَةُ وَانْشَقَّ الْقَمَرُ
 
Daripada ‘Ubaidillah bin ‘Abdullah bin ‘Utbah, bahawasanya ‘Umar bin al-Khatthab pernah bertanya kepada Abu Waqid al-Laitsi: Apa yang biasa dibaca oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri? Dia menjawab:Pada Hari Raya tersebut baginda membaca surah Qaaf wal quraanil majeed dan Iqtarabatis saa’atu wanshaqqal qamar. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedain, no: 891.
 
عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الْعِيدَيْنِ وَفِي الْجُمُعَةِ
بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى وَهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ.
قَالَ: وَإِذَا اجْتَمَعَ الْعِيدُ وَالْجُمُعَةُ فِي يَوْمٍ وَاحِدٍ يَقْرَأُ بِهِمَا أَيْضًا.
 
Daripada Nu’man bin Basyir radhiallahu’ anh, dia berkata Rasulullah biasa membaca pada solat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha serta solat Jumaat Sabbihisma rabbikal a’laa dan Hal ataaka hadiitsul ghaasyiyah. Dia berkata: Jika Hari Raya bertepatan dengan hari Jumaat dibacakan kedua surah tersebut pada kedua solat tersebut. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 878.
 
 Mengqadha Solat Hari Raya.

Apabila seseorang tidak dapat menyertai solat Hari Raya bersama secara berjemaah maka hendaklah dia solat dua rakaat secara sendiri. Di dalam Shahih al-Bukhari terdapat sebuah riwayat dari Atha’ bahawa dia berkata:
 
وَقَالَ عَطَاءٌ: إِذَا فَاتَهُ الْعِيْدُ صَلَّى رَكَعَتَيْنِ.

Maksudnya:
Jika seseorang terlewatkan (dan tidak dapat menunaikan) solat Hari Raya, maka hendaklah dia solat dua rakaat. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, Bab Apabila Seseorang Tidak Mendapatkan Solat Hari Raya, Maka Hendaklah Dia Melaksanakan Solat Dua Rakaat.
 
Menurut Syaikh Muhammad at-Tuwaijiri: 

Sesiapa yang ketika ingin bersolat Hari Raya mendapati imam sebelum salam maka harus menyempurnakan sendiri solatnya sesuai dengan sifat solat Hari Raya. Dan orang yang tertinggal solat Hari Raya maka hendaklah dia mengqadhanya sesuai dengan sifat solat Hari Raya. – Syaikh Muhammad bin Ibrahim at-Tuwaijiri, Mukhtasar al-Fiqh al-Islami, ms. 720. 

Ringkasan tatacara mengerjakan solat Hari Raya.

 Rakaat Pertama

1)      Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat sunat Hari Raya Aidilfitri  

niat solat sunat aidilfitri :

 أُصَلِّي سُنَّةَ لِعِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى 
 sahaja aku solat sunat aidilfitri 2 rakaat menjadi makmum kerana Allah taala  

2)      Takbiratul Ihram
3)      Doa Iftitah
4)    Takbir Tujuh kali dan diselangi membaca zikir سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ “Subhanallah, walhamdulillah,wa la ilaha illallah, wallahu akbar” sebanyak enam kali
5)      Membaca surah al-Fatihah
6)      Membaca Surah al-Qur’an
7)      Rukuk
8)      Iktidal
9)      Sujud
10)    Duduk antara dua sujud
11)    Sujud kali kedua
12)    Bangun untuk rakaat kedua
 
Rakaat Kedua
1)      Takbir Lima kali dan diselangi membaca zikir سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ “Subhanallah, walhamdulillah,wa la ilaha illallah, wallahu akbar” sebanyak empat kali
2)      Membaca surah al-Fatihah
3)      Membaca Surah al-Qur’an
4)      Rukuk
5)      Iktidal
6)      Sujud
7)      Duduk antara dua sujud
8)      Sujud kali kedua
9)      Duduk untuk tahiyyat akhir
10)    Memberi salam ke kanan dan ke kiri
q  Khutbah Hari Raya.
Adalah disunnahkan untuk dilaksanakan khutbah sesudah mengerjakan solat Hari Raya. Dari Abu Sa’id al-Khudri, dia berkata:
 
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى
فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلَاةُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ
فَيَعِظُهُمْ وَيُوصِيهِمْ وَيَأْمُرُهُمْ.
Maksudnya:
Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju musolla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat Hari Raya. Kemudian baginda berpusing dan menghadap jamaah yang sedang duduk di shaf-shaf mereka. Kemudian baginda memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 956.
Khutbah Hari Raya berbeza dengan khutbah Jumaat kerana ianya tidak dibahagikan menjadi dua khutbah dan khatib tidak perlu duduk di antara dua khutbah tersebut. Imam al-Nawawi rahimahullah telah berkat

 Apa yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud bahawa dia mengatakan: “Disunnahkan berkhutbah pada Hari Raya dengan dua khutbah yang keduanya dipisahkan dengan duduk adalah dhai’f (lemah) lagi tidak bersambung. Tidak ada satu riwayat sahih pun yang menyebutkan dua khutbah. - Dinukil dari kitab Al-Kalimat al-Nafi’ah fil Akhtha’ asy-Sya’iah, karya Syaikh Wahid Abdussalam Bali, ms. 424.
 
Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari berkata:
 
Dan tidak ada satu hadis pun yang diriwayatkan secara sahih yang menyebutkan bahawa khutbah Hari Raya itu terdiri dari dua khutbah, yang dipisahkan antara keduanya dengan duduk.. - Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari, Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah, ms. 73.
 
Para jemaah juga tidak diwajibkan untuk menghadiri khutbah Hari Raya ini. Oleh itu setelah selesai mengerjakan solat Hari Raya bagi seseorang yang tidak ingin turut serta untuk mendengar khutbah maka dia dibenarkan untuk meninggalkan majlis tersebut. Ini sebagaimana diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin al-Sa’ib, dia berkata:
 
شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْعِيدَ فَلَمَّا قَضَى الصَّلاَةَ
قَالَ: إِنَّا نَخْطُبُ فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَجْلِسَ لِلْخُطْبَةِ فَلْيَجْلِسْ. وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَذْهَبَ فَلْيَذْهَبْ.
Aku pernah menghadiri solat Hari Raya bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan ketika selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah, barangsiapa ingin duduk untuk mendengarkan khutbah maka dipersilakan. Dan barangsiapa yang ingin pergi, maka dipersilakan untuk pergi. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 975.



sumber saya ambil dari 3 rujukan : halaqah.net , website jakim , i luv islam  

Seluruh Alam Menangisi Pemergian Mu Ramadhan




Seluruh alam menangisi pemergianmu wahai  Ramadhan yang bakal pergi beberapa hari sahaja lagi…, Seluruh alam ketika ini sedang bersedih menangisimu… termasuklah bukit, bukau, gunung ganang, Ikan di laut dan sungai, pokok-pokok, tumbuh-tumbuhan dan segala macam binatang dan juga hidupan di atas dunia ini………..hanya,  ya hanya….hanya  kita manusia sahaja yang gembira dan ketawa kerana bakal mengakhiri Ramadhan dan menyambut SYAWAL.


Kegembiraan kita menyambut Syawal lebih daripada kegembiraan kita menyambut kedatangan Ramadhan. 

Menangisi kerana ditinggalkan Ramadhan, bulan yang sangat mulia dan penuh keberkatan…dimana segala doa tidak ditolak, Segala dosa diampunkan, diawalnya rahmat, dipertengahannya keampunan dan di akhirnya pembebasan dari Azab Api Neraka.  

Tiada suatu bulan pun yang setara denganmu wahai Ramadhan….bulan yang terdapat di dalamnya satu malam yang sama dengan seribu bulan amalan.  Kurniaan Allah dan Rahmat Allah pada kita Umat Nabi Muhammad SAW bagi menyaingi kehebatan amalan  Umat Nabi Musa dan umat-umat terdahulu yang umur mereka ribuan tahun dipenuhi amalan

Bulan yang di mana seluruh penghuni Kubur dari zaman Nabi Allah Adam hingga sekarang direhatkan dari siksaan Azab Kubur….dan disambung seksaan semula pabila berkumandangnya Takbir Pertama Aidil Fitri di malam Hari Raya Aidil Fitri.   Pada masa itu berdoalah kedua Ayahanda dan Bonda yang telah pergi meninggalkan kita…….

” Wahai anak-anakku……Di manakah kalian, di manakah hadiah………di manakah doa buat ayah…..buat ibumu ini?
Di manakah…..hadiah bacaan Al-Quran untuk kami..?
Di manakah….hadiah zikirullah untuk kami…?
Di manakah….hadiah sedekah jariah untuk kami….wahai anak-anakku?

Di manakah …..TAHLIL untuk kami wahai  anak-anakku…apakah engkau sudah melupakan kami…..wahai penyambung zuriatku.  (Tidakkah menitis airmata kita wahai sahabat, jangan lupakan ayah dan bonda yang telah melahir dan membesarkan kita dengan susah payah..jasa dan pengorbanan mereka tidak dapat kita balas….berdoalah agar mereka diampunkan Allah dan Allah membalas jasa dan pengorbanan mereka terhadap kita dan adik beradik kita dengan syurga.).  
Tiada gunalah engkau menjadi seorang Engineer, Lawyer, Magistrate, Doctor atau whatever laa yang hebat di dunia ini......jika tiada engkau menjadi soleh dengan pangkatmu itu bagi mendoakan keampunan dan Rahmat Allah ke atas ayah dan ibumu yang diseksa di dalam kubur. 

Begitulah rintihan pilu Arwah Ayahanda dan Bonda……tatkala Malaikat Munkar dan Nakir menjenguk mereka bagi meneruskan nyalaan Api dikuburan….Tetapi kita di atas dunia ini….gembira dan bersuka ria dengan pemergian Ramadhan dan cukup gembira dengan kehadiran Syawal.  
Boleh gembira….bukan tidak boleh gembira….tetapi gembira sekadar yang digariskan oleh Nabi SAW, kerana umat di atas bergembira..umat dibawah(dikuburan) berdukacita.

Wahai sahabat sekalian….Ramadhan cuma tinggal beberapa hari lagi…….belum lewat lagi, ayuh marilah kita berhabis-habisan lawanlah nafsu malasmu.  Menangislah kita di malam hari di hadapan Allah. 
Mohonlah keampunan dan kebebasan dari Api Neraka. Berdoalah untuk keampunan dan kebaikan dan kerahmatan kedua ibu bapa kita samaada yang hidup mahupun yang telah pun pergi meninggalkan kalian….huhuhu….

Imam Ali Ar-Ridha (sa) berkata: “Orang yang benar-benar celaka adalah orang yang keluar dari bulan ini, tetapi dosa-dosanya tidak diampuni. Ketika itulah ia menjadi orang yang rugi saat orang-orang yang baik memperoleh keuntungan dari Tuhan Yang Maha Mulia.” (Fadhail Al-Asyhur Ats-Tsalatsah: 74)

Allah cukup kasih dan sayang kepada kita wahai sahabat…..punya sayang Allah pada kita hambanya.  Setiap malam Allah memanggil hambanya.  Di manakah kita pada waktu itu….di manakah kita tuan…???

Hadis riwayat Abu Hurairah r.a., ia berkata: 
 
Rasulullah saw. bersabda: Allah Taala berfirman: Aku sesuai dengan persangkaan hamba-Ku terhadap-Ku dan Aku selalu bersamanya ketika dia mengingat-Ku. Apabila dia mengingat-Ku dalam dirinya, maka Aku pun akan mengingatnya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingat-Ku dalam suatu jemaah manusia, maka Aku pun akan mengingatnya dalam suatu kumpulan makhluk yang lebih baik dari mereka. Apabila dia mendekati-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekatinya sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, maka Aku akan mendekatinya sedepa. Dan apabila dia datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari. (Shahih Muslim No.4832)

Apakah kita akan bertemu lagi Ramadhan yang akan datang ?

Lagenda Burung Jentayu




Uwais Al-Qarni : Tidak Terkenal di Bumi Tetapi Terkenal di Langit





Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Saidina Umar r.a. dan Saidina Ali : Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu. Kamu berdua pergilah mencari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.” 

 Saidina Umar dan Saidina Ali lalu sama-sama menanyakan kepada Rasulullah SAW: Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, ya Rasulullah?
Rasulullah SAW menjawab: Mintalah kepadanya agar dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian."
 
Memang benarlah kata-kata Rasulullah SAW, Uwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman Saidina Umar dan Saidina Ali. Mereka memang menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu juga dengan Uwais al-Qarni. Pada pandangan mata kasar, tidak mungkin dia orang yang Rasulullah SAW maksudkan kerana di kalangan orang awam, Uwais dianggap sebagai seorang yang kurang waras.

Uwais Al-Qarni adalah seorang yang berpenyakit sopak, badannya putih, yakni putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun dia seorang berpenyakit sopak, dia adalah seorang yang soleh yang amat mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Beliau berpenyakit sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaganya sampai beliau dewasa.
 
Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin untuk mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya berikhtiar agar dia dapat membawanya ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Mekah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’. Haudat ialah sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa namun perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian. Beliau tidak memiliki unta dan juga tidak mampu untuk membayar sewa.    

Pada suatu hari, ibu Uwais yang semakin uzur berkata kepada anaknya: Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji.”
 
Uwais mendapat suatu ilham. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil di atas sebuah ‘Tilal’ iaitu sebuah tanah tinggi (rumah untuk lembu itu di atas bukit). Apa yang dia lakukan, pada petang hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas Tilal. Pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari Tilal tersebut untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras.
 
Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit. Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.
 
Selepas lapan bulan, apabila sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya. Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringan. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.
Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya: Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?
 
Uwais menjawab: Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.
Ibunya bertanya lagi: Bagaimana pula dengan dosa kamu?
Uwais menjawab: Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga."

Ibunya berkata lagi: Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini." Uwais berkata: Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala."
Ibunya menambah: Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa."
 
Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah menyembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Namun kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya, dia berdoa: Tolonglah ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkanlah sedikit.”
Allah SWT lalu menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais kerana permintaannya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Rasulullah SAW kepada Saidina Umar dan Saidina Ali: "Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu, dialah Uwais al-Qarni."
 
Tidak lama kemudian, ibunya meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah. Saidina Umar dan Saidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW, mereka meminta supaya Uwais berdoa agar Allah SWT berkenan mengampuni semua dosa-dosa mereka berdua. 

Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Saidina Umar dan Saidina Ali, beliau berkata: Aku ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah SAW kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku." Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua. 

Setelah itu Saidina Umar, yang ketika itu memegang jawatan Khalifah, bertanya kepadanya: "Anda hendak pergi ke mana?” “Kufah”, jawab Uwais. Saidina Umar bertanya lagi: “Mahukah aku tuliskan surat kepada Gabenor Kufah agar melayanimu?” Uwais menjawab: “Berada di tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku sukai.” (Hadis Riwayat Muslim)

Demikianlah kisah Uwais Al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya. Seorang Wali Allah yang tidak terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit.  Wallahua’lam.

Fadhilat Berzikir Kepada Allah s.w.t

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog redzuan-ridz ini. Dengan nama Allah yang maha pemurah dan maha pengasihani saya mulakan perkongsian bermanfaat ini. Entri kali ini saya kongsikan dengan anda mengenai kelebihan bagi orang-orang suka berzikir kepada Allah s.w.t .





Firman Allah SWT, maksudnya: "Dan orang-orang lelaki yang banyak menyebut Allah, maka Allah telah menyediakan untuk mereka keyakinan dan ganjaran pahala yang besar." (QS Al-Ahzab:35)

" Mereka yang beriman dan tenang hatinya dengan berzikir kepada Allah.." ( Ar-Ra'ad : 28 )

Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang mengucapkan 'Subhanallah Hil Azimi Wabihamdih', maka akan ditanamkan untuknya sepohon pokok tamar didalam syurga." (HR Muslim)

Berikut adalah antara beberapa keuntungan bagi orang-orang yang sentiasa berzikir:

1. Akan mendapat keredhaan Allah SWT dan memperolehi ketenangan pada hati serta dapat merasakan kelazatan berzikir di dalam jiwa.

2. Akan menimbulkan kejernihan dan kemanisan pada hati dan wajah.

3. Akan mendapat kasih sayang, kecintaan serta keampunan dari Allah SWT serta dimurahkan rezekinya.

4. Akan dapat merasakan kebesaran, keagungan, kehebatan dan kekuasaan Allah SWT.

5. Akan segera mendapat pembelaan / pertolongan dari Allah SWT tatkala seseorang itu berada di dalam kesusahan atau kedukaan.

6. Akan mendapat penghormatan serta doa dari para malaikat yang sentiasa berzikir memuji Allah SWT.

7. Akan memperolehi pohon tamar di dalam syurga kelak; semakin banyak seseorang itu berzikir, maka semakin banyaklah pohon-pohon tamar itu disediakan untuknya.

8. Akan mendapat nur dari Allah SWT dalam kehidupan di dunia ini, di alam barzakh dan juga pada titian sirat kelak.

9. Akan dapat membina rumah dan juga istana di dalam syurga. Bila seseorang itu berhenti berzikir, maka berhentilah pembinaan rumahnya di syurga.

10. Zikir akan menjadi pendinding dan juga perisai dari neraka jahanam.


mudah-mudahan insyallah  ..

Umar Mukhtar : Singa Padang Pasir Yang Digeruni


KEMERDEKAAN merupakan impian setiap manusia. Tiada manusia yang sanggup dibelenggu oleh penjajahan dan penindasan. Apabila hal ini berlaku, manusia akan tampil memberontak dan berusaha membebaskan diri mereka ataupun negara mereka dari cengkaman tersebut. Inilah yang dapat diperkatakan mengenai Umar Mukhtar, wira kebanggan rakyat yang namanya bersemadi di dalam hati sanubari rakyat Libya hingga ke hari ini. Sedari usia muda beliau bangun memperjuangkan kemerdekaan negaranya daripada dibelenggu oleh cengkaman kuasa fasis Itali walaupun akhirnya Umar Mukhtar terpaksa syahid di tali gantung. Namanya terpahat kukuh dalam tinta emas, menjadi inspirasi dan dianggap simbol keagungan dalam usaha membebaskan Libya daripada belenggu penjajahan.

Umar Al Mukhtar telah dilahirkan pada tahun 1862 dan merupakan putera kepada Mukhtar bin Umar dan Aiesha binti Muhareb. Dia berasal daripada suku Boray dan Al Manfah. Sebagai seorang remaja, beliau didoktrinkan berdasarkan ideologi gerakan Sanusiah. Pada usianya 16 tahun, ayahnya meninggal dunia semasa menunaikan haji ke Makkah, dan menjadikan dia seorang anak yatim pada usia yang muda. Mukhtar kemudian berpindah ke Jaghboub. Di sana, dia belajar di Institut Pengajian Tinggi dalam bidang Sains Islam selama 8 tahun.

Kerana kewibawaan, kepimpinan dan kecemerlangannya dalam segala bidang, dia memperoleh pengiktirafan yang tinggi daripada syeikh dan pemimpin Sanusi. Pada tahun 1897, dia telah dilantik oleh Sidi Al Mahdi sebagai Syeikh Zaywat AlíAqour. Pada bulan Oktober 1911, tentera Itali memulakan tindakan untuk menawan Libya. Rakyat Libya dengan sungguh-sungguh berjuang mempertahankan negara mereka walaupun dengan kelengkapan senjata yang kurang sempurna. Pada awal penjajahan mereka, tentera Itali memberi tumpuan kepada bandar-bandar di tepi pantai seperti Tripoli, Benghazi, Misrata dan Derna. Pertempuran yang hebat berlangsung di Al-Hani berhampiran Tripoli (23 Oktober 1911), Ar-Rmaila berhampiran Misrata, Al-Fwaihat dekat Benghazi (Mac 1912) dan Wadi Ash-Shwaer berhampiran Derna. Pertempuran-pertempuran yang lain berlaku di kampung, gunung dan padang pasir. Salah satu daripada pertempuran hebat yang berlaku di Ghertabiya dekat Sirt (April 1915) telah menyebabkan beribu-ribu tentera Itali terkorban.

Akibat kebencian dan kemarahan yang meluap-luap, rakyat Libya segera bangkit mempertahankan tanah air mereka. Umar Al Mukhtar diarahkan oleh Sidi Idris Al Mahdi mengetuai pertempuran. Beliau mengatur strategi dengan membentuk satu pasukan tentera yang digelar tentera Mujahidin dengan bersumberkan cukai yang meliputi cukai binatang ternakan dan bijirin. Rakyat Libya membantu pasukan Mujahidin dengan makanan, tentera dan bekalan senjata.

Walaupun selepas beberapa tahun berjuang Itali berjaya menawan Libya, namun pada peringkat awal mereka tidak dapat berbuat demikian kerana pejuang Mujahidin Libya seperti Umar Mukhtar dan para pengikutnya memberikan tentangan yang begitu hebat kepada tentera Itali. Mereka meninggalkan rumah dan bergerak menuju ke kawasan pergunungan untuk merancang dan melancarkan serangan terhadap tentera Itali. Pejuang-pejuang Mujahidin Libya lain yang turut gigih menentang pendudukan Itali ialah Ramadan as Swahili, Mohamed Farhat Az Zawawi, Al-Fadeel Bo-Omar, Solaiman Ai-Barouni dan Silima An Nailah. Umar Mukhtar bertanggungjawab menyusun semula gerakan tenteranya di Gunung Hijau (Aj-Jabal Al-Akdar, Timur Jauh) Libya dan melancarkan serang padu terhadap Itali selepas Perang Dunia 1. Pasukan Mujahidin menyerang troop tentera Itali di atas puncak bukit, hutan dan lembah Gunung Akhdar.

Pada tahun 1922, Itali mula tertakluk di bawah undang-undang fasis. Semua perjanjian yang telah ditandatangani dengan Sidi Idris As-Sanusi telah digantung dan polisi yang menindas dan zalim telah dikenakan terhadap Libya. As-Sanusi terbang ke Mesir pada tahun 1923 meninggalkan Umar Mukhtar yang bertanggungjawab untuk penentangan secara habis-habisan dalam keadaan serba kekurangan.

Apabila Itali merasakan bahawa mereka sukar untuk menghadapi tentera Mujahidin dan mungkin kehilangan Libya kepada pihak Mujahidin, pihak berkuasa Itali menghantar salah seorang pegawai tertinggi mereka, Badolio. Badolio menggunakan kaedah yang tidak berperikemanusiaan untuk menamatkan penentangan. Dia bukan hanya mengetuai penentangan terhadap Umar Mukhtar dan pengikut-pengikutnya tetapi turut bertindak menghukum penduduk-penduduk yang tinggal di bandar dan di desa dan menuduh mereka membantu tentera Mujahidin Libya. Di samping Badolio, kerajaan Itali yang diketuai oleh Mussolini turut menghantar Rodolfo Grasiani unttuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Semasa Libya di bawah Grasiani beribu-ribu rakyat Libya yang tidak berdosa sama ada tua, muda, perempuan, dan kanak-kanak dibunuh secara kejam. Mussolini mengarahkan Grasiani melakukan apa-apa sahaja bagi menghadapi penentangan rakyat Libya.

Grasiani bersetuju ke Libya jika Mussolini membenarkan dia melakukan apa-apa yang di suka hatta termasuk membelakangi undang-undang yang sedia ada. Sebelum pergi ke Libya, terlebih dahulu pegawai yang kejam ini berkunjung ke Morj, Switzerland untuk bersuka ria dan pada masa yang sama merancang serangan bunuh terhadap rakyat Libya dengan berpandukan kepada motto yang dipegang oleh Mussolini, "Jika anda tidak bersama saya, anda menentang saya!" Ini bermakna satu cara terbaik untuk menawan negara tersebut dan mengawal rakyatnya adalah dengan membunuh! Akibatnya, semasa Libya berada di bawah penjajahan Itali, hampir separuh daripada rakyatnya telah dibunuh dengan kejam.

Kaum lelaki, wanita, orang tua dan kanak-kanak telah dizalimi dan dibunuh sama ada dengan menembak mereka, menggantung mereka di khalayak ramai dan membunuh secara tidak langsung iaitu dengan membiarkan mereka mati kelaparan, dan tidak diberi ubat apabila mereka sakit. Tindakan- tindakan kejam ini dilakukan demi untuk menunjukkan kepada dunia bahawa mereka berkuasa dan mampu menceroboh dan menawan negara lain, sama seperti kuasa-kuasa lain di dunia.

Perancangan Grasiani ialah memencilkan Libya sepenuhnya dan menghalang sebarang hubungan secara langsung atau tidak langsung antara Mujahidin Libya dengan jiran-jiran mereka yang selama ini membekalkan mereka dengan senjata dan maklumat. Grasiani telah membina tembok berwayar yang panjangnya sejauh 300km, tingginya 2 meter dan 3 meter lebar, bermula dari Pelabuhan Bardiyat yang terletak di utara Libya hingga ke Al-Jaghoub di Tenggara Libya, Perancangan beliau yang kedua ialah membina kem tahanan berpuusat di Al-Aghaila, Al-Maghroun, Solouq dan Al-Abiyar.

Pada penghujung November 1929, semua rakyat Libya tinggal di khemah di Al-Jabar Al-Akdar, Mortaf-Aat Al-Thahair, dari Utara Beneena hingga ke Ash- Shlaithemiya Selatan, dari Tawkera hingga ke selatan padang pasir Balt Abdul-Hafeeth. Semua penduduk daripada mana-mana kabilah, dipaksa meninggalkan tanah dan rumah mereka untuk sama-sama tinggal di kem tahanan berpusat. Kehidupan yang sangat menyedihkan di dalam kem tahanan seperti kelaparan dan berpenyakit telah menyebabkan beribu-ribu rakyat Libya menemui ajal mereka. Mereka yang dipercayai membantu pasukan Mujahidin telah digantung dan ditembak. Lebih 100,000 orang telah dipaksa ke kem tahanan di kawasan Baraqa. Daripada jumlah itu hanya 35,000 orang yang berjaya meneruskan kehidupan.

Marshall Roodolfo Graziani juga mengetuai kempen ketenteraan dengan menawan kumpulan Oasis Al Kufra, yang merupakan tulang belakang penentang. Di luar kem iaitu di kawasan pergunungan, pasukan Mujahidin kembali berjuang menentang pendudukan Itali. Umar Mukhtar tetap teguh dengan pendiriannya. Beliau sekali-kali tidak akan menyerah atau berputus asa. Beliau meningkatkan penentangan di Gunung Akhdar. Suku kaum dari daerah yang berhampiran turut menyertai beliau dalam perjuangannya.

Tetapi pada tahun 1931, pihak Mujahidin kehabisan bekalan makanan, maklumat dan bekalan senjata. Umar Mukhtar yang pada ketika itu telah berumur 80 tahun telah jatuh sakit beberapa kali. Ramai pengikutnya meminta beliau menggantung senjata dan meninggalkan negara tersebut. Beliau begitu marah apabila dinasihatkan meninggalkan perjuangannya selama ini dek kerana usianya yang sudah lanjut. Tetapi dengan semangat yang teguh beliau terus meneruskan perjuangan membebaskan negaranya. Atas dasar itu beliau telah digelar "Singa Padang Pasir".

Pihak Itali yang menyangka bahawa Umar Mukhtar boleh dibeli telah menawarkan beliau elaun sebanyak 50,000 lira Itali sebagai pertukaran untuk beliau menandatangani perjanjian perdamaian. Namun beliau enggan dengan berkata bahawa pendiriannya tetap teguh dan jitu. "Kita mempunyai sunnah Nabi Muhammad yang boleh membimbing kita dalam jihad kita," kata beliau memberikan kata-kata semangat kepada pengikut-pengikutnya.

Dalam usaha memerangkap Mukhtar dan orang-orangnya yang terperangkap di Gunung Akhdar, kerajaan Itali telah mengarahkan sempadan Mesir, Chad dan Sudan ditutup. Peristiwa ini dipanggil Italy Holocaust di Libya. Pada 12 September 1932, dalam satu misi pengintipan tentera Itali, selepas satu pertempuran yang sengit, Umar Mukhtar dan pasukannya telah diserang dan ditangkap. Kira-kira 40 orang pengikutnya telah terbunuh. Hanya beliau yang terselamat dan telah diserahkan kepada Komandan tentera Itali.#Umar Mukhtar telah ditawarkan pengampunan dalam usaha menukar pendirian beliau dan pengikut-pengikutnya agar menghentikan perjuangan. Tetapi tawaran itu telah ditolak oleh Umar Mukhtar dengan tegas. Beliau bersedia untuk menghadapi perbicaraan pada 15 September 1931. Perbicaraan itu merupakan suatu perbicaraan yang tidak adil yang hanya mengambil masa selama 75 minit. Hasil perbicaraan itu, Umar Mukhtar telah jatuhkan hukuman mati.#Hukuman mati itu berlangsung pada 16 September 1931 di bandar raya Solouq di hadapan 20,000 rakyat Libya. Hukuman mati yang dikenakan terhadap Umar Mukhtar telah dilaksanakan tanpa menimbangkan usianya yang telah lanjut dan tanpa mengikut undang-undang antarabangsa dan perjanjian semasa peperangan. Namun sewaktu hendak di tali gantung jelas kelihatan ketenangan di raut wajah Umar Mukhtar. Beliau sempat bersembahyang sunat sebelum dihukum gantung. Selepas dihukum gantung, Umar Mukhtar yang dianggap simbol pembebasan dan jihad Libya dengan segera telah dikebumikan di Ben-Ghazi. Makamnya telah dikawal dengan rapi oleh tentera Itali.

Kematian Umar Mukhtar telah mencetuskan bantahan daripada negara Arab dan negara Islam. Rakyat mengadakan demonstrasi jalanan dan sembahyang jenazah untuk beliau telah diadakan. Kematian Umar Mukhtar telah menyebabkan pergerakan pembebasan di Libya hilang arah tujuannya. Hal ini telah memudahkan kerajaan Rom mengisytiharkan Libya diletakkan di bawah pemerintahan tentera Itali pada 24 September 1932. Penguasaan Itali terhadap Libya berterusan sehingga Itali tewas dalam Perang Dunia Kedua dan Libya diletakkan di bawah penyeliaan Tentera Bersekutu sehingga 24 Disember 1951, apabila Libya mencapai kemerdekaan selepas beberapa tahun dijajah.

Pada tahun 1933, Pengerusi Jabatan Kesihatan dan Ketenteraan Itali, Dr. Todesky telah menulis di dalam bukunya Cerinaica Today, antara kandungan tulisannya berbunyi : Dari May 1930 hingga September 1930, dianggarkan kira-kira 80,000 rakyat Libya telah dipaksa meninggalkan tanah dan rumah mereka untuk tinggal di kem tahanan berpusat. Dalam satu-satu masa 300 orang telah dibawa ke kem tersebut dengan dikawal oleh tentera Itali bagi memastikan mereka tidak melarikan diri. Dr. Todesky menyambung, "Pada penghujung 1930, semua rakyat Libya yang tingal di dalam khemah telah dipaksa tinggal di dalam kem tersebut. 55% daripada mereka telah menemui ajal di dalam kem tahanan tersebut". Ahli sejarawan Libya, Mahmoud Al At-Taeb berkata di dalam wawancara dengan majalah Libya, Ash-Shoura (Oktober 1979) bahawa pada bulan November 1930, sekurang-kurangnya 17 upacara pengebumian diadakan di kem tersebut akibat mati kelaparan, penyakit dan kemurungan.

Apabila akhbar-akhbar dari seluruh dunia mempersoalkan tentang nasib buruk serta layanan yang tidak berperkemanusiaan yang diterima oleh rakyat Libya di dalam kem tahanan tersebut, tentera Itali mula mengambil perhatian dengan membekalkan makanan kepada rakyat Libya sebanyak 22 kg seorang untuk sebulan. Namun tindakan kerajaan Itali itu sudah terlambat kerana ramai rakyat Libya yang telah terkorban akibat kekejaman mereka.

Walaupun Umar Mukhtar telah meninggal dunia, jasa, perjuangan dan pengorbanannya menentang penjajahan telah menjadi inspirasi dan sentiasa bersemadi di dalam hati rakyat Libya mahupun masyarakat Arab dan Islam hingga ke hari ini. Lantaran itu, sebagai penghargaan kepada Umar Mukhtar:

• Libya mengisytiharkan kemerdekaannya pada 16 September, tarikh Umar Mukhtar dihukum gantung.

• Pada ulang tahun ke 56 kematian Umar Mukhtar, kerajaan Libya membina sebuah muzium untuk menunjukkan kepada rakyat senjata yang digunakan oleh Umar Mukhtar dan pengikut-pengikutnya.

• Mata wang kebangsaan Libya - dinar memaparkan gambar Umar Mukhtar.

• Pada tahun 1991, Umar Mukhtar telah dianugerahkan Yemeni Medal of Independence of The First Degree yang diterima oleh anaknya.

• Pada tahun 1940, kelab Umar Mukhtar telah ditubuhkan di Mesir. Persatuan lain juga telah ditubuhkan menggunakan namanya di seluruh negara Arab dan negara-negara Islam.

• Sebuah filem berdasarkan riwayat hidupnya lakonan Anthony Quinn telah diterbitkan.



sumber : diambil dari pelbagai sumber.
sumber internet : blog pengembara info