Kisah Salman Al Farisi r.a , Huzaifah Al Yamani r.a , Jabir bin Abdullah r.a



kisah salman al-farisi



Ada kisah yang menakjub berkaitan ketiga-tiga sahabat r.a ini. Mereka berjuang bersama-sama di Perang Khandak /Ahzab.

Salman Al Farisi r.a yang mencadangkan kepada Rasulullah s.a.w agar membina parit sekitar Kota Madinah. Hampir kesemua umat Islam ketika itu bekerja sama bergotong royong membina parit.

Jabir bin Abdullah r.a kemudian melihat Nabi s.a.w keletihan lalu menjemput Nabi s.a.w makan di rumahnya (Jabir bin Abdullah r.a). Pada mulanya Jabir r.a ingin menjemput juga beberapa orang sahabat r.a yang lain tetapi Rasulullah s.a.w menjemput kesemua orang Islam pergi ke rumah Jabir bin Abdullah r.a.

Melihat kehadiran orang Islam yang ramai ke rumahnya membuatkan Jabir bin Abdullah r.a. serta isterinya berasa risau makanan tidak cukup. Rasulullah s.a.w berpesan beberapa perkara kepada Jabir bin Abdullah r.a yang mesti dituruti antaranya periuk tidak boleh dibawa turun dari dapur.

Di sinilah mukjizat Rasulullah s.a.w mencukupkan makanan yang sedikit sehingga kesemua orang Islam yang pergi ke rumah Jabir bin Abdullah r.a. dapat makan dengan kenyang. Bahkan makanan di dalam periuk masih berbaki dengan banyak.

Manakala Huzaifah Al Yamani r.a pula diarahkan oleh Rasulullah s.a.w menjadi pengintip dan menyelinap ke kubu musuh. Beliau sempat mendengar dan melihat Ketua Musuh iaitu Abu Sufyan b Harb kerisauan dan gelisah. Ketika itu khemah musuh sudah mula ditiup angin kencang lalu membuatkan Abu Sufyan b. Harb mengarahkan tentera pakatan berundur. Mujur Rasulullah s.a.w mengarahkan sebelum itu agar Huzaifah r.a tidak melakukan apa-apa, jika tidak Huzaifah r.a berkemampuan memanah Abu Sufyan.

Salman Al-Farisi r.a meninggal dunia sekitar tahun 32Hijrah atau 35Hijrah dan dikebumikan di Kota Madain.Waktu itu beliau memegang jawatan Gabenor Madain.

Huzaifah r.a pula terbunuh sebelum berlakunya Perang Jamal di zaman Khalifah Ali bin Abu Talib r.a. Beliau juga adalah salah seorang gabenor di Madain.

Manakala Jabir bin Abdullah r.a dianugerahkan usia yang panjang. Beliau hidup sehingga zaman Khalifah Abdul Malik bin Marwan iaitu salah seorang Khalifah Bani Umaiyah. Beliau sempat bertemu dengan Ciut Rasulullah s.a.w iaitu Muhammad Al-Baqir b. Ali Zainul Abidin b. Hussain r.a. Waktu itu Jabir bin Abdullah r.a berusia 94tahun dan matanya telah buta. Beliau sudah diberitahu oleh Rasulullah s.a.w akan pertemuannya dengan Ciut Rasulullah s.a.w

“Jabir bin Abdullah r.a memberitahu, “Suatu hari aku sedang duduk bersama Rasulullah, sedangkan Husain r.a berada di ribaannya. Beliau s.a.w berkata padaku, ‘Hai Jabir, putraku ini kelak mempunyai seorang anak yang bernama Ali. Dan pada Hari Kiamat, seseorang akan memanggilnya ‘Sayyidul Abidin’. Kemudian melalui Ali, seorang anak yang bernama Muhammad Al-Baqir—yang memiliki keluasan ilmu—akan lahir. Bila engkau berjumpa dengannya, sampaikan salamku kepadanya.”

Rasulullah s.a.w juga memberitahu kepada Jabir b. Abdullah r.a usianya tidak panjang selepas pertemuan bersejarah itu. Beliau diracun oleh Hajjaj bin Yusof . Jabir bin Abdullah dikebumikan berhampiran makam Huzaifah Al Yamani r.a di tepi Sungai Tigris.

Pada tahun sekitar 1932, berlaku banjir besar yang menyebabkan makam Jabir bin Abdullah r.a dan Huzaifah Al Yamani r.a dibanjiri dengan air sungai Tigris. Huzaifah Al Yamani r.a kemudian datang di dalam mimpi pemerintah Iraq ketika itu tetapi tidak diendahkan lalu beliau r.a hadir pula di dalam mimpi Mufti Besar Iraq.

Berikutan itu, Pemerintah Iraq dan Mufti Besar Iraq segera mengarahkan proses pengalian semula makam kedua sahabat r.a. Semasa dikeluarkan dari makam jasad kedua sahabat r.a ini masih utuh tidak terjejas biarpun sudah lebih seribu tahun dikebumikan di situ.

Jasad Jabir bin Abdullah r.a dan Huzaifah Al Yamani r.a kemudiannya dikebumikan berhampiran sahabat mereka yang turut berbakti di Perang Khandak iaitu Salman Al-Farisi r.a .

Semoga Allah berikan kebaikan kepada ketiga-tiga sahabat r.a. ini dan memberi kesempatan untuk kita semua mengucapkan salam kepada mereka bertiga. In shaa Allah . Aamiin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

tinggalkan komentar anda jika entri ini bermanfaat dan menarik untuk anda. segala pandangan sangat dihargai