Mengapa Sulu Ceroboh di Ambang PRU13 ?




Mungkinkah ada kaitan kemunculan penceroboh yang mendakwa pewaris kesultanan Sulu di Lahad Datu dengan tarikh pembubaran parlimen Malaysia?

Dalam kehangatan isu berkenaan, penggal ke-12 Dewan Undangan Negeri Sembilan akan berakhir pada 22 Mac ini, manakala parlimen pula pada 28 April depan.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, ketika suasana politik sekarang dianggap ramai tidak menyebelahi Umno dan BN, tiba-tiba pula muncul isu lain.

Mungkinkah katanya, dalam suasana itu Umno mencari kaedah lain pula bagi meneruskan kuasa yang ada.

“Sedangkan kita tahu keturunan Sulu ada susur galurnya daripada keturunan Nabi Muhammad saw. Mereka terkenal dengan amalan Islam.

“Bagaimanapun rakyat kecewa cara pengurusan isu Lahad Datu yang dilakukan kerajaan. Kerajaan BN seperti lumpuh. Timbul persoalan kalangan rakyat mengapa penceroboh datang ketika dekat tarikh tarikh PRU13,” katanya pada program solat hajat keamanan di Kok Lanas malam tadi.


Isu pencerobohan di Lahad Datu yang berlarutan hampir sebulan berakhir dengan tragedi berdarah apabila ramai penceroboh dan anggota keselamatan menjadi korban.

Bagaimanapun isu berkenaan menjadi begitu rumit apabila berita dari Manila mendakwa komander Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang pernah dilatih di Malaysia akan datang membantu pasukan Kesultanan Sulu di Sabah.

Bekas ketua propaganda MNLF, Hadji Acmad Bayam ketika memberitahu Buletin Manila, MNLF disebutnya mempunyai simpanan senjata yang banyak disembunyi di Sabah dibekal pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.

Bayam juga mendakwa ramai penduduk Filipina yang tinggal di Sabah telah menyertai perjuangan pasukan Sulu.

Sebelum ini isu kad pengenalan kepada warga asing dibongkar pada perbicaraan dikendalikan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di Sabah, di mana ada dakwaan ribuan penduduk Filipina diberi IC.

Husam berkata, projek IC ada kaitan dengan usaha bagi menumbangkan kerajaan PBS di Sabah pada 1995.

Oleh itu katanya, kebimbangan sekarang kerajaan boleh mengulangi sejarah yang pernah dilakukan dengan mengisytiharkan Mageran (darurat) di Kelantan pada 1977 bagi menumbangkan kerajaan PAS.

Beliau juga meluahkan rasa terkejut ketika isu keselamatan diperkatakan meluas, Majlis Keselamatan Negara pula dikatakan menganjur forum politik di Tanjung Chat dengan mengundang pemimpin Umno dan wakil dari selatan Thailand.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, projek IC membabitkan ramai warga asing kemungkinan besar akan menimbulkan krisis serupa pada masa datang.

“Sekarang rakyat Filipina yang membuat onar, mungkinkah pada masa hadapan rakyat  Indonesia, Bangladesh atau mana-mana negara yang diberi IC mengambil tindakan serupa.

“Inilah persoalannya sekarang. Di sebalik isu di Lahad Datu seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan kerajaan. Oleh itu kita menuntut Perdana Menteri menjelaskan keadaan sebenar,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

tinggalkan komentar anda jika entri ini bermanfaat dan menarik untuk anda. segala pandangan sangat dihargai