( PAKEJ SUPER ADS ) KLIK SINI UNTUK BERIKLAN

Panduan Memberi Nama Anak Menurut Islam




Assalamualaikum dan salam hormat buat semua pembaca blog yang dirahmati .. Seperti yang semua sedia maklum, nama seseorang manusia adalah tanda dan alamat untuk dirinya. Tanpa nama, seseorang insan sukar dikenali dan dipanggil. Kerana itu, apabila lahir seorang bayi, wajib bagi penjaganya memberikan satu nama kepadanya. Imam Ibn Hazm menukilkan kesepakatan ulama tentang wajib memberi nama kepada anak lelaki dan perempuan.


Dalam memberikan nama anak, jangan kita memandang remeh. Kerana, nama yang kita berikan kepada sikecil inilah yang akan menjadi label untuk dirinya sampai bila-bila. Nama inilah yang akan tercatat dalam sijil kelahirannya, kad pengenalannya, lesen memandunya, sijil-sijil akademiknya, sehingga ke sijil kematiannya.


Jika nama yang diberikan memberi maksud yang tidak baik, dia akan dikenali dengan nama itu sehingga akhir hayatnya. Bukan itu sahaja, orang yang memberikan nama juga akan menerima malu. 

Sebagaimana pepatah (Arab) menyebut, ‘Melalui namamu, sudah kukenal siapa ayah kamu’.



Oleh hal yang demikian, sebelum memberikan suatu nama bagi anak yang lahir, wajar diperingatkan dengan beberapa perkara. Secara ringkasnya seperti berikut:


1) Nama memberi kesan kepada kehidupan seseorang. Pepatah (Arab) menyebut: ‘Bagi setiap yang empunya nama, pasti ada bahagian daripada namanya’. Hakikat ini diperakui oleh Ibnu Qayyim. Katanya: “Kebanyakan orang-orang yang hina, nama mereka munasabah dengan diri mereka. Dan kebanyakan orang-orang mulia dan tinggi, nama mereka sesuai dengan diri mereka”.


2) Waktu memilih nama anak . Dalam sunnah Nabi SAW, terdapat kelonggaran pada waktu memberi nama. Samada pada hari pertama, atau dalam masa tiga hari pertama, atau pada hari ketujuh. Disunatkan memberi nama kepada bayi pada hari ketujuh kelahirannya sebagaimana yang terdapat dalam sabda Nabi s.a.w.


كُلُّ غُلاَمٍ رَهِينٌ بِعَقِيقَةٍ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ، وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى
“Setiap anak kecil (bayi) dipertaruhkan dengan suatu aqiqah; disembelih untuknya pada hari ke tujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama”. (Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah dari Hasan r.a. dari Samurah bin Jundub r.a.)




3) Siapakah yang berhak memberi nama anak ? Jika kedua-dua ibu bapa bersetuju dengan satu nama, maka ia suatu yang baik. Tapi, kadangkala mereka berselisih. Dalam situasi ini, yang berhak ialah bapanya. Tapi, jika kuasa veto bapa boleh menjejaskan keharmonian keluarga, eloklah dicari nama yang dipersetujui oleh kedua-duanya. Ataupun meminta orang lain yang memberikan nama yang elok, sebagaimana sesetengah sahabat meminta Nabi SAW meletakkan nama anak-anak mereka.


4) Nama anak mesti dibinkan kepada bapanya, bukan ibunya. Demikianlah arahan Allah Taala dalam surah al-Ahzab, ayat 5 yang bermaksud, “Serulah mereka dengan nama bapa-bapa mereka”.



5) Pilihan nama yang baik. Nama yang baik ialah nama yang sebutannya elok, dan maknanya juga baik. Pepatah (Arab) menyebut, ‘Kewajipan ayah terhadap anaknya ialah: memilih baginya ibu yang baik, memberinya nama yang baik, dan mengajarnya adab yang baik’.



6) Contoh nama-nama anak yang digemari syarak ialah;

- Abdullah dan Abdul Rahman
- Nama yang dimulakan dengan ‘Abdul’, seperti: Abdul Malik, dan Abdul Aziz.
- Nama para Nabi seperti: Muhammad, Ibrahim, dan Musa.
- Nama orang-orang soleh, seperti nama-nama sahabat seperti Umar , Abu Bakar , Uthman , Ali,  



7) Mengelak daripada memberi nama-nama yang haram. Seperti:

- Nama ‘Abd’ yang dihubungkan dengan selain Allah, kerana Abd bermaksud ‘hamba’. Maka haram memberi nama: Abdul Syams, Abdul Qamar, Abdul Nabi, Abdul Husain, dan seumpamanya.

- Nama yang khas untuk Allah sahaja, seperti: Ar-Rahman, Al-Khaliq.

- Nama-nama berhala, seperti: Al-Laat, Al-Uzza, Isaaf dan Naelah.


- Nama-nama Syaitan, seperti: Al-WalhanAl-A’war, dan Al-Ajda’.

- Nama yang menunjukkan sifat yang tidak layak bagi diri seseorang, haram memberi nama seperti: Malikul Amlak (Raja segala raja), dan Sayyid al-Naas (Penghulu segala manusia).



Sabda Rasulullah s.a.w.;
إنَّ أخْنَعَ اسْمٍ عِنْدَ اللَّهِ تَعالى رَجُلٌ تَسَمَّى مَلِكَ الأمْلاكِ

“Sesungguhnya sehina-hina/seburuk-buruk nama di sisi Allah ialah seorang lelaki yang bernama Malikul-Amlak”. (Riwayat Imam Bukhari dari Abu Hurairah r.a.)



8)Seboleh-bolehnya hendaklah menjauhi nama-nama yang makruh. Antaranya:

- Nama yang memberi maksud suatu yang kurang disenangi, seperti: Al-Harb (Peperangan), Fadhih (Yang membuka aib), Suham (sejenis penyakit unta).

- Nama-nama yang memberi makna yang merangsang nafsu, contohnya: Fatin فاتن (Penggoda).

- Nama-nama yang membawa maksud dosa dan maksiat, contohnya: Sariq (Pencuri).

- Nama-nama seperti: Firaun, Qarun dan Haman.

- Nama-nama haiwan yang terkenal dengan sifat dan perumpamaan yang tidak elok, contohnya: Himar (Keldai), dan Al-Kalb (Anjing).

- Nama-nama yang digabungkan dengan perkataan ‘Al-Din’ (Agama) dan ‘Al-Islam’, seperti: Dhiyauddin, Saiful Islam, Nurul Islam, Nurul Iman dan seumpamanya. Tujuannya untuk memelihara kedua-dua nama ini (Al-Din dan Islam) daripada menjadi nama individu yang tidak layak.

- Nama-nama yang digabungkan daripada dua nama. Kerana para salaf dahulu tidak memberi nama melainkan satu perkataan sahaja. Pada zaman-zaman terkemudian, timbul nama-nama gabungan, seperti: Muhammad Ali, Ahmad Yunus dan lain-lain.



9) Sunat menukarkan nama membawa maksud buruk kepada nama yang baik. contohnya nama yang diharamkan dan membawa maksud tidak baik, maka penyelesaiannya ialah dengan menukar nama. Dalam hadis disebut bahawa Rasulullah SAW menukar nama yang buruk kepada nama yang baik. 


Ibnu Umar r.a. menceritakan;
أَنَّ رَسُولَ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- غَيَّرَ اسْمَ عَاصِيَةَ. وَقَالَ: “أَنْتِ جَمِيلَةُ”.

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menukar nama (seorang perempuan bernama) ‘Ashiyah (yang bermaksud; perempuan yang engkar) di mana baginda berkata kepada (perempuan itu); ‘Kamu adalah Jamilah (bermaksud; yang indah)’”. (Riwayat Imam Muslim)

Said bin al-Musayyab menceritakan bahawa bapanya -yang bernama Hazn (bermaksud; susah/sedih)- telah datang kepada Nabi s.a.w., lalu baginda bertanya kepadanya; ‘Apa nama kamu?’. Jawab bapaku; ‘Hazn’. Lalu Rasulullah berkata; ‘Kamu adalah Sahl (yakni Nabi menukar namanya kepada Sahl yang bermaksud; mudah). Namun bapaku berkata; ‘Aku tidak akan menukar nama yang diberikan kepadaku oleh bapaku’. Said berkata; ‘(Dengan kedegilannya itu) maka berterusanlah huzunah (yakni kepayahan/kesedihan) membelenggu keluarga kami selepasnya’”. (Riwayat Imam Bukhari dari Said bin al-Musayyab dari bapanya)


Kesimpulan, pilihlah nama yang cantik dan bertepatan dengan syarak. Jangan hanya melihat kepada sebutan yang menarik dan glamour.

Sekian.


Rujukan:

- Tasmiyah al-Maulud
(PAKEJ STYLEZ ADS)klik sini untuk beriklan

1 ulasan:

tinggalkan komentar anda jika entri ini bermanfaat dan menarik untuk anda. segala pandangan sangat dihargai

komenlah dengan berhemah kerana komen anda mencerminkan peribadi dan perwatakan anda :)

komenla menggunakan nama anda atau nama samaran. komen tanpa nama tidak akan dipublish. sekian