Bidadari Syurga Memandikan Jenazah Ibu Nabi Isa A.S


Nabi Isa a.s adalah nabi yang dilahirkan tanpa ayah dengan izin Allah dan Maryam adalah ibu yang telah melahirkan, manjaga dan mendidik Nabi Isa dengan penuh kasih sayang. Suatu hari Nabi Isa telah berkata kepada ibunya, “Sesungguhnya dunia ini adalah kampung yang akan musnah dan sesungguhnya akhirat itu adalah kampung yang kekal, oleh itu, marilah ibu bersama saya.”

Setelah berkata demikian, maka berangkatlah mereka menuju ke gunung Lebnon. Apabila sampai di gunung tersebut, maka Nabi Isa a.s dan ibunya berpuasa di siang hari dan mendirikan solat di malam hari. Makanan mereka terdiri daripada dedaun kayu dan meminum air hujan sahaja.

Setelah sekian lama Nabi Isa a.s dan ibunya tinggal di gunung tersebut, maka suatu hari Nabi Isa turun dari gunung tersebut untuk mencari daun kayu untuk mereka berdua berbuka puasa. Setelah Nabi Isa turun ke bawah, datanglah malaikat menghampiri Maryam dan berkata, “ Assalamualaiki ya Maryam, orang yang sangat patuh mengerjakan puasa di siang hari dan mengerjakan solat pada malam hari.”

Sebaik sahaja Maryam melihat orang yang memberi salam itu, maka Maryam berkata, “Siapakah kamu ini? Badan dan seluruh anggotaku menggeletar dan merasa takut mendengar suaramu.” Malaikat tersebut menjawab, “Aku adalah malaikat yang tidak mempunyai belas kasihan kepada sesiapa pun baik anak kecil, orang tua atau sebagainya sebab aku adalah malaikat pencabut nyawa (Izrail).”

Mendengar penjelasan malaikat maut, maka Maryam bertanya, “Wahai malaikat maut, apakah tujuan kamu ke sini? Adakah kamu mahu menziarahi aku atau pun mencabut nyawaku?”

Izrail menjawab, “Wahai Maryam, kedatanganku adalah untuk menacabut rohmu”. Maryam yang mengetahui ajalnya sudah hampir berkata lagi, “Wahai malaikat maut, apakah kamu tidak mahu memberikan peluang sehingga anakku yang menjadi penawar mengubati kerisauan hatiku pulang?”


Malaikat maut menjelaskan perintah Allah yang memerintahkannya untuk menjemput roh Maryam dan beliau tidak dapat mensia-siakan walaupun sesaat. Mendengar penjelasan Izrail, dengan hati yang ikhlas, Maryam berkata, “Wahai malaikat maut, kamu telah menerima perintah Allah, oleh itu laksanakanlah perintah itu dengan segera.” Izrail segera mendekati Maryam dan mencabut rohnya.

Selesai waktu Isyak yang akhir, Nabi Isa pulang dengan mendaki gunung tersebut dan membawa bekalan berbuka puasa. Beliau melihat ibunya sedang berada di tempat solat dan menyangka bahawa ibunya sedang sembahyang. Beliau meletakkan bekalan makanan untuk berbuka dekat dengan ibunya lalu beliau berdiri menghadap kiblat. Setelah sekian lama, beliau memanggil ibunya untuk berbuka puasa dan mengerjakan ibadah tanda syukur keada Allah, namun beliau melihat tak sedikit pun makanan terusik oleh ibunya walau dua pertiga malam telah berlalu.


Nabi Isa memanggil lagi ibunya, “Assalamualaiki ya Ummahu”. Oleh kerana fajar telah menjelma dan ibunya tidak lagi bangun, maka beliau menghampiri ibunya dan meletakkan pipinya pada pipi ibunya lalu menciumnya sambil menangis dan berkata, “Assalamualaiki ya Ummahu. Malam telah berlalu dan fajar telah menjelma, ini adalah masa untuk menunaikan fardhu yang telah diwajibkan oleh Allah”.

Setelah Nabi Isa berkata demikian, maka menangislah para malaikat dan para jin yang berada di sekitarnya dan bergoncanglah gunung di bawahnya. Kemudian Allah mewahyukan kepada para malaikat, “Apakah yang menyebabkan kamu semua menangis?”

Para malaikat berkata. “Tuhan kami, Engkau Maha Mengetahui”. Setelah itu tiba-tiba kedengaran satu suara berbunyi, “ Wahai Isa, angkatlah kepalamu itu, sesungguhnya ibumu telah meninggal dunia dan Allah telah melipatgandakan pahalamu”.


Sebaiksahaja Nabi Isa mendengar suara tersebut, maka beliau menangis sambil berkata, “Siapakah yang akan menjadi temanku tatkala aku sunyi dan dikala aku menangis? Siapakah yang dapat aku ajak berkata-kata dan siapakah yang dapt membantu aku dalam ibadahku?” Kemudian Allah mewahyukan kepada gunung yang bermaksud, “Wahai gunung, nasihatilah Ruh-Ku (Isa A.S).

Berkata-katalah gunung tersebut dengan izin Allah, “Wahai Ruh Allah, apakah erti kesusahanmu itu, ataukah kamu mahu Allah sebagai pendampingmu yang menggembirakan?” Setelah mendengar nasihat gunug, lalu Nabi Isa turun ke sebuah desa tempat tinggal Bani Israil dan meminta pertolongan mereka untuk menguruskan jenazah ibunya. Namun, mereka tidak mahu menolong Nabi Isa kerana takut pada ular-ular besar yang ada gunung tersebut.


Nabi Isa dengan perasaan hampa naik kembali ke gunung dan beliau melihat dua orang pemuda yang sangat kacak rupa parasnya lalu beliau memberi salam dan meminta pertolongan mereka untuk memakamkan jenazah ibunya. Lalu berkata salah seorang daripada pemuda itu, “Aku ini sebenarnya adalah malaikat Mikail dan sahabatku ini adalah malaikat Jibrail. Aku ada membawa ubat tubuh dan kain kafan dari Tuhanmu dan para bidadari jelita sekarang sedang turun dari syurga untuk memandikan dan mengkafankan ibumu”.

Setelah itu, malaikat Jibrail pun menggali kubur di atas gunung. Selesai sahaja kerja memandi dan mengkafankan dilakukan oleh para bidadari syurga, mereka menyembahyangkan jenazah Maryam dan mengebumikannya.

Lalu Nabi Isa berdoa kepada Allah, “Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui tempatku dan Engkau mendengar kata-kataku dan tidak sedikitpun urusanku yang tersembunyi dariMU. Ibuku telah meninggal dunia sedang aku tidak menyaksikannya sewaktu dia wafat. Oleh itu izinkanlah dia berkata sesuatu kepadaku.”


Kemudian Allah menwahyukan kepada Nabi Isa, “sesungguhnya aku telah memberi izin kepadanya”. Nabi Isa lalu pergi ke kubur ibunya dan berkata, “ Asslamualaiki ya ibu, bagaimanakah dengan tempat pembaringanmu dan tempat kembalimu dan bagaimanakah pula kedatangan Tuhanmu?” Dengan izin Allah, Maryam berkata, “Tempat pembaringanku dan tempat kembaliku adalah sebaik-baik tempat, sedang aku menghadap kepada Tuhanku, aku tahu bahawa Dia telah menerimaku dengan rela.”

Berkata Nabi Isa lagi, “Wahai ibu, bagaimanakah rasa sakitnya mati?” Ibunya menjawab, “Demi Allah yang telah mengutuskanmu sebagai nabi dengan sebenar-benarnya, belum hilang lagi rasa pedihnya mati, demikian juga dengan rupa malaikat maut yang datang belum hilang dari pandangan mataku. Alaikassalam wahai kasih sayangku sampai hari kiamat.


Rujukan : Himpunan kisah-kisah nabi dan teladan.

2 ulasan:

  1. perghhhh kart dunia lagi dh dpt bidadari.sapa tamau

    BalasPadam
  2. suke sgt baca.....!

    BalasPadam

tinggalkan komentar anda jika entri ini bermanfaat dan menarik untuk anda. segala pandangan sangat dihargai