Peribadi Mulia Saidina Umar R.A



Saidina Umar Al-Khattab r.a. sering memegang sehelai jerami sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau aku dapat menjadi jerami seperti ini." Kadang-kala dia berkata: "Alangkah baiknya kalau aku tidak dilahirkan oleh ibuku!"
.
Pada suatu ketika, Umar sedang sibuk dengan urusan yang penting. Tiba-tiba datang satu hamba Allah dengan satu pengaduan menuntut pembelaan. Umar memukul orang itu di bahagian bahunya. Umar berkata: "Bila aku duduk hendak menerima pengaduan engkau tidak datang tetapi bila aku sibuk dengan urusan penting engkau datang mengganggu aku." Tanpa berkata apa-apa, orang itu pun meninggalkan Umar.

Sejurus kemudian dia dibawa kehadapan Umar sekali lagi. Sambil mengunjukkan cemeti tadi padanya Umar berkata: "Pukullah aku sebagai membalas perbuatan tadi." Kata orang tersebut: "Saya memaafkan anda kerana Allah SWT."
.
Kekesalan Saidina Umar tidak dapat dibayangkan. Dengan cepat dia kembali ke rumahnya lalu mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat. Dia mengkritik dirinya sendiri seperti berikut: "Wahai Umar, dahulu kedudukanmu rendah tetapi kini telah ditinggikan oleh Allah SWT. Dahulu kamu sesat tetapi kini telah dipimpin oleh Allah SWT dan Dia telah memberi kamu kuasa ke atas hamba-hambaNya. Apabila salah seorang daripada mereka datang untuk mendapat keadilan ia dipukul dan disakiti. Apakah alasan yang hendak kamu berikan di hadapan Allah SWT?"
.
Soalan ini dihadapkan kepada dirinya bukan sekali malah beberapa kali. Pada suatu malam, Saidina Umar sedang meronda di suatu tempat di sekitar kota Madinah dengan hambanya Aslam. Tiba-tiba kelihatan cahaya api tidak jauh dari tempat mereka berada. Dia berkata: "Nun ditengah-tengah padang pasir nampaknya ada khemah, mungkin kepunyaan suatu kafilah yang tidak dapat memasuki kota kerana kegelapan malam. Mari kita uruskan perlindungan mereka." Setibanya mereka di tempat perkhemahan itu, yang kelihatan hanyalah seorang perempuan dengan beberapa orang anaknya. Si ibu tadi sedang menjerang secerek air, sambil memberi salam dia meminta izin untuk mendekatinya.
.
Umar: "Mengapa kanak-kanak ini menangis?"
Perempuan: "Kerana mereka lapar."
Umar: "Apa yang ada di dalam cerek itu?"
Perempuan: "Hanya air untuk memperdayakan mereka supaya mereka tidur dengan sangkaan yang makanan sedang disediakan untuk mereka. Ah, Allah SWT akan mengadili pengaduanku terhadap Umar pada hari kiamat nanti kerana membiarkan aku di dalam keadaan begini."
Umar: (Menangis) "Semoga Allah SWT mengampuni kamu tetapi bagaimanakah Umar hendak mengetahui tentang penderitaan kamu!"
Perempuan: "Orang yang menjadi Amir patut tahu akan keadaan setiap rakyatnya."
.
Saidina Umar pulang ke kota dan terus ke Baitulmal. Dia mengisikan sebuah karung dengan tepung, buah tamar, minyak dan kain baju. Dia mengeluarkan juga sedikit wang. Apabila karung tadi telah penuh, Umar pun berkata kepada Aslam: "Letakkan karung ini keatas belakangku Aslam." Aslam menjawab: "Tidak, tidak, ya Amirul Mukminin! Biar saya yang memikulnya." Umar berkata: "Apa! Adakah engkau yang akan memikul dosaku di hari kiamat kelak? Aku terpaksa memikulnya kerana akulah yang akan dipersoalkan nanti mengenai perempuan ini."
.
Dengan perasaan serba salah, Aslam meletakkan karung itu di atas belakang Saidina Umar. Dengan diikuti oleh Aslam, beliau berjalan dengan pantas menuju khemah perempuan itu. Dia memasukkan sedikit tepung, buah tamar dan minyak ke dalam cerek tadi lalu mengacaunya. Dia sendiri meniup bara untuk menyalakan api. Kata Aslam: "Saya melihat asap mengenai janggutnya."
.
Sebentar kemudian makanan itu pun siap. Saidina Umar sendiri menghidangkan kepada keluarga miskin itu. Selepas kenyang perut kanak-kanak itu, mereka pun bermainlah dengan gembiranya. Melihat keadaan anak-anaknya, perempuan itu pun berkata: "Semoga Allah SWT memberi ganjaran kepada kamu kerana kebaikan hatimu. Sesungguhnya kamu lebih layak memegang jawatan khalifah daripada Umar." Umar menghiburkan hati perempuan itu lalu berkata: "Apabila kamu datang berjumpa dengan khalifah, kamu akan menjumpai aku di sana."
.
Setelah melihat kanak-kanak itu bermain beberapa ketika, Saidina Umar pun beredar dari situ. Dalam perjalanan pulang, Saidina Umar bertanya kepada Aslam: "Adakah kamu tahu mengapa aku duduk di situ beberapa ketika? Aku ingin melihat mereka bermain-main dan gelak ketawa kerana kesukaan setelah melihat mereka menangis kelaparan."
.
Mengikut riwayat, ketika mengerjakan solat fajar, Saidina Umar sering membaca Surah Al-Kahfi, TaHa dan lain-lain surah yang hampir-hampir sama dengan surah-surah itu. Waktu inilah dia kerap menangis sehingga tangisannya jelas kedengaran beberapa saf di belakang. P

ada suatu subuh ketika membaca ayat Surah Yusuf 86 yang bermaksud: "Hanya aku mengadukan kesusahanku dan kedukacitaanku kepada Allah", beliau telah menangis teresak-esak sehingga tidak dapat meneruskan pembacaannya.
.
Semoga kisah-kisah Saidina Umar dijadikan teladan oleh kita bersama. Saidina Umar diketahui umum merupakan pahlawan Islam yang terkenal kerana gagah beraninya. Namanya saja sudah dapat mengecutkan perut pemusuh-pemusuh Islam. Namun demikian di hadapan Allah SWT, dia menangis ketakutan.
.
Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

tinggalkan komentar anda jika entri ini bermanfaat dan menarik untuk anda. segala pandangan sangat dihargai