iklan baris

Kenapa Hati Menjadi Keras ?





عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُمْاَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لاَ تُكْثِرُوْا الْكَلَامَ بِغَيْرِ ذِكْرِاللهِ فَإِنَّ كَثْرَةَ الْكَلَامِ بِغَيْرِ ذِكْرِاللهِ تَعَالَى قَسْوَةٌ لِلقَلْبِ,وَاَنَّّ أَبْعَدَ النَّاسِ مِنَ اللهِ الْقَلْبُ اْلقَاسِىْ
Maksudnya :
Daripada Ibnu ‘Umar Radhiyallahu 'anhuma berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda : “ Janganlah memperbanyakkan percakapan selain untuk berzikir kepada Allah SWT, sesungguhnya banyak bercakap selain daripada berzikir kepada Allah itu adalah menyebabkan hati seseorang menjadi keras. Dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia daripada Allah SWT itu ialah mereka yang berhati keras.
Hadith Riwayat Al-Tirmizi


Sedar atau tidak, ketandusan jiwa pada hari ini adalah suatu penyakit yang sangat ketara sekali di tengah-tengah masyarakat. Ramai orang yang susah hati, gelisah dan tidak merasakan ketenangan fikiran dalam kehidupan walaupun ia telah memiliki segala kemudahan yang dihasilkan oleh teknologi moden pada hari ini, bahkan jutaan wang yang dimilikinya, namun kepuasan hidup masih belum lagi dapat dirasainya. Ini semuanya berpunca dari hati yang keras, jiwa yang tandus dan mata yang tidak pernah menangis kerana takut kepada Allah SWT. Berapa ramai antara kita yang menjadikan ruang kosongnya untuk membaca ayat-ayat Allah SWT kecuali yang mendapat rahmatNya. Berapa ramai yang menjadikan sepertiga malam untuk sujud kepada Allah.
Selain itu, kekerasan hati juga adalah berpunca daripada banyak bercakap perkara-perkara yang tidak ada faedahnya dan tidak ada hubungkait dengan mengingati Allah SWT.  Oleh itu, bagi kita yang mengaku beriman kepada Allah SWT hendaklah selalu menggunakan lidah kita untuk berzikir kepada Allah SWT, ataupun bercakap perkara-perkara yang ada hubungkait dengan kemaslahatan dan kepentingan agama Islam yang dapat memberikan faedah dlaam meningkatkan ketaqwaan atau paling kurang bercakap perkara keduniaan yang dijadikan wasilah atau alatan yang dapat membantunya untuk mentaati Allah, atau kalau tidak mampu berbuat demikian hendaklah dia berdiam sahaja, jangan banyak bercakap-cakap.
Fenomena yang selalu kita lihat dalam kehidupan masyarakat kita pada hari ini ialah terdapat ramai di kalangan umat Islam yang selalu membuang masa dengan bercakap-cakap perkara yang tidak berfaedah bahkan ada yang berani bercakap perkara-perkara yang bercanggah dengan hukum-hukum syara’ dan berani bercakap sambil merendah-rendahkan ajaran agama yang boleh menyebabkan kefasiqan dan membawa 
kepada kekufuran. Berbeza dengan budaya masyarakat yang bukan Islam, seperti masyarakat Jepun yang begitu mengambil berat tentang penjagan masa, berkerja secara sistematik dan tersusun. Sepatutunya budaya yang baik ini dimiliki oleh umat Islam.
Pada hakikatnya, hati yang keras adalah hati yang tidak mudah menerima nasihat orang lain. Kalau ditegur dia selalu melenting dan menunjukkan rasa besar diri, pantang ditegur dan tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh orang lain. Hati yang keras juga sentiasa mendorong untuk membuat maksiat dan kejahatan dan merasa berat untuk berzikir atau membawa Al-Quran dan sangat malas untuk melaksanakan segala jenis ibadat yang diwajibkan Allah SWT. Inilah penyakit yang menimpa di kalangan umat Islam di seluruh dunia akibat sikap membelakangkan hukum Allah dan syariat Islam di muka bumi, sedangkan mereka adalah khalifah Allah SWT di dunia ini.
Sebagai contohnya, apabila masuknya waktu sembahyang dia akan merasa terbeban dengan ibadat sembahyang itu, bukannya dia merasa sangat bertuah kerana diberikan Allah peluang kepadanya untuk berhadapan kepada Allah SWT,dan kalau dia sembahyang pun maka badannya sahaja yang bersembahyang, sedangkan hatinya pergi merayau ke sana ke sini. Tetapi kalau mahu melihat sesuatu pertunjukan yang melalaikan daripada mengingati Allah SWT, hatinya selalu terpanggil ke sana. Dia akan sanggup bersusah payah untuk sampai ke sana dan merasa ringan walaupun terpaksa mengorbankan apa jua yang diperlukan asal maksud di hatinya dapat dicapai.
Hati yang keras ini adalah disebabkan hati itu telah berkarat. Sesungguhnya hati itu akan berkarat sekiranya ia tidak dididik, tidak diproses maka ia pasti akan kotor apatah lagi sekiranya di sekeliling kita nafsu yang menguasai diri, maksiat dan syaitan meruntun-runtun dalam jiwa kita. Sedetik terleka akibatnya amat menakutkan. Kesan yang akan lahir daripada hati sudah menjadi keras dan berkarat ini ialah kesan yang kita dapat lihat pada masyarakat pada hari ini sehingga masyarakat tidak dapat membezakan yang makruf dan yang mungkar. Akibatnya masyarakat tidak mengenali yang mana dikatakan mungkar, yang mana dikatakan makruf.
Bagaimana hendak mengubati hati yang keras dan berkarat ini ? Rasulullah SAW telah memberikan jawapan kepada kita semua iaitu untuk mengubatinya ialah dengan Tilawatul Quran dan mengingati mati. Selain itu, para ulama juga telah mengariskan beberapa panduan untuk mengubatinya antaranya ialah dengan menjauhi maksiat samaada kecil atau besar, melazimi amalan harian terutamanya membaca Al-Quran, memperbanyakkan berzikir kepada Allah, sentiasa mengingati mati dan persoalan kubur, menghadiri majlis ilmu, muhasabah diri dan sebagainya. Oleh itu, marilah bersama-sama kita menterjemahkan semua saranan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW untuk mengelakkan hati kita menjadi keras dan berkarat, kerana apabila berkaratnya hati maka kita tidak lagi dapat merasai nikmat dan kelazatan berubudiyah kepada Allah SWT.

Susunan:
Ustaz Mohd Khusyairie Marzuki
Pegawai Penasihat Agama
UiTM Sarawak


3 ulasan:

tinggalkan komentar anda jika entri ini bermanfaat dan menarik untuk anda. segala pandangan sangat dihargai